iklan responsive
Nama Yakjuj dan Makjuj disebut sebanyak dua kali di
dalam al-Quran, iaitu di dalam surah al-Kahfi ayat 94 dan surah al-Anbiya ayat
96. Di dalam surah al-Kahfi diterangkan bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah
orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi yang ditakuti oleh suatu kaum
yang tinggal di antara dua pergunungan sehingga ketika Zulkarnain datang ke
tempat itu, kaum tersebut memohon kepadanya agar dibuatkan tembok penghalang
daripada serangan mereka. Di dalam surah al-Anbiya, disebutkan bahawa Yakjuj
dan Makjuj itu akan segera turun dengan cepat dari tempat yang tinggi ketika
tembok penghalang mereka terbuka sebagai tanda telah dekatnya kedatangan janji
Allah s.w.t.
Al-Quran tidak menerangkan siapa sebenarnya Yakjuj
dan Makjuj, daripada bangsa dan keturunan mana mereka itu. Al-Quran hanya
menjelaskan sifat-sifat mereka, iaitu kaum pembuat kerosakan di bumi; kalau
tembok penghalang dibuka, mereka akan turun mengalir seperti mengalirnya air
bah, dan apabila tembok penghalang kukuh, mereka tidak masuk dan tidak dapat
membuat kerosakan. Oleh kerana itu timbullah beberapa tafsiran, antara lain:
(1) Ahmad
Mustafa al-Maragi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa Yakjuj adalah
berbangsa Tartar, dan Makjuj adalah berbangsa Mongol. Mereka berasal daripada
satu bapa yang bernama Turk, tempat tinggal mereka di bahagian utara Asia.
Daerah mereka memanjang dari Tibet dan China sampai ke Laut Baku Utara, di
barat sampai Turkestan.
Dalam pelbagai zaman, bangsa-bangsa ini sering
menyerang, membuat kerosakan di muka bumi dan menghancurkan bangsa-bangsa lain.
Di antara mereka terdapat bangsa-bangsa yang kejam, turun dari bukit-bukit di
Asia Tengah dan pergi ke Eropah pada masa dahulu, seperti bangsa Semith,
Simeria, dan Hun. Mereka banyak menyerang negeri-negeri China dan Asia Barat.
Dengan munculnya Temujin yang dikenal dengan nama Genghis Khan (di dalam bahasa
Mongol bermaksud “Raja Alam”; 1167-1227), pada awal abad ke-7 H / 12 M,
berikutan tenteranya yang perkasa keluar jauh ke Asia Tengah. Ia menundukkan
China Utara kemudian pergi ke negeri-negeri Islam, lalu menundukkan Sultan
Qutbuddin bin Armilan, salah seorang raja Seljuk yang menganut aliran Khawarij.
Genghis Khan melakukan kekejaman yang belum pernah berlaku sebelumnya di negeri
tersebut.
(2) Musnad
Imam Ahmad bin Hanbal (Imam Hanbali), seperti dikutip Ibnu Kasir menyebutkan
bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Nuh memiliki tiga orang anak, iaitu Sam, nenek moyang orang Arab;
Ham, nenek moyang orang Sudan; dan Yafis, nenek moyang orang Turk.” Menurut
sebahagian ulama, Yakjuj dan Makjuj adalah keturunan Yafis, putera Nuh ini.
Demikian juga pendapat Nasafi, seorang ahli fekah, usul fekah dan tafsir yang
bermazhab Hanafi yang menyatakan bahawa Yakjuj berasal daripada suku Turk,
manakala Makjuj pula berasal daripada suku Jail serta Dailam keturunan Yafis
yang membuat kerosakan di muka bumi. Mereka tidak mati dan masing-masing memiliki
seribu keturunan yang diperlengkapi dengan senjata.
(3) Hamka
pula memberi tafsiran bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah segala gerakan yang telah
dan akan merosakkan dunia ini. Oleh hal yang demikian, baik diri, keluarga,
mahupun negara serta bangsa wajib mendirikan tirai besi sebagai benteng agar
Yakjuj dan Makjuj tidak dapat masuk. Mungkin Yakjuj dan Makjuj dapat
ditafsirkan sebagai berfikiran jahat, bermaksud buruk, dan ideologi yang
menyesatkan yang dianuti sebahagian manusia. Manusia yang menganutnya dengan
kelicikan kejahatannya boleh mempergunakan manusia sesamanya sebagai alat untuk
merosakkan bumi ini. Sebab itu, fikiran yang baik, cita-cita yang mulia, dan
ideologi yang sihat harus ditanam dengan teguh pada setiap diri, keluarga, dan
negara serta bangsa untuk membentengi Yakjuj dan Makjuj. Yakjuj dan Makjuj
laksana air, senantiasa mencari tempat untuk masuk walaupun hanya sebesar
lubang jarum.
Catatan Abu
Fattah
kredit : tanwir.my
ikalan saiz 250
iklan adnow
0 Response to "SIAPA SEBENAR YAKJUJ DAN MAKJUJ?? "
Post a Comment