iklan responsive
8 Ayat Sensitif Yang Mesti Dielakkan Semasa Suami
Isteri Bergaduh
Tipulah jika ada pasangan yang tidak pernah bergaduh
disepanjang tempoh perkahwinan yang dibina bersama. Berjauh hati, bermasam
muka, merajuk, berselisih faham adalah perkara lumrah yang biasa berlaku dalam
perkongsian rumah tangga. Ia akan berlaku walaupun untuk sekali sekala.
Pergaduhan antara suami isteri kadangkala berlaku
apabila perasaan tidak puas hati wujud, ataupun apabila salah seorang daripada
mereka sedang memendam rasa terlalu lama. Justeru, komunikasi yang baik dan
berterusan antara suami isteri adalah elemen paling penting untuk mengekalkan
keutuhan rumah tangga yang dibina dengan cinta dan kasih sayang. Namun begitu,
pergaduhan antara suami isteri merupakan situasi yang tidak dapat dielakkan
lagi.
Apabila hal ini berlaku, suami isteri dinasihatkan
untuk menjaga batas-batas tertentu. Ini kerana pelanggaran “sempadan” tersebut
akan menyebabkan pergaduhan menjadi semakin buruk.
Ayat Sensitif & Pantang Larang Semasa Bergaduh
Disini saya ingin menyenaraikan beberapa perkara
yang perlu diberi perhatian oleh suami isteri dalam kehidupan rumah tangga
mereka, yang dinyatakan oleh Ustaz Dato Kazim Elias dalam bukunya, Duhai Wanita
Permaisuri Hati
Ingat, ada lapan perkara apabila suami isteri
bertengkar, jangan sesekali menyebutnya!
1. Jangan menyebut dan melibatkan ibu bapanya
Kita hanya bergaduh dengannya dan bukan dengan ibu
bapanya. Maka jangan sesekali menyebut sesuatu yang boleh menghina ibu bapanya.
Ucapan seperti. “Menyesal aku terima pinangan mak ayah hang dulu..” atau “Mak
dengan anak serupa sahaja perangainya..” adalah antara ucapan yang sangat
ditegah. Ucapan-ucapan seperti itu adalah suatu penghinaan terhadap pasangan
kita dan ibu bapanya. Melibatkan ibu bapa dalam pergaduhan akan menyebabkan
pasangan yang dihina ibu bapanya itu akan menjadi bertambah berang dan perkara
yang lebih buruk mungkin terjadi.
2. Jangan sesekali mengungkit setiap pemberian yang
kita berikan.
Pasangan suami isteri yang diikat dengan ikatan pernikahan
yang sah dan suci ini biasanya sudah bersatu hati untuk saling bekerjasama dan
bantu-membantu dalam mengukuhkan rumah tangga yang dibina. Antaranya dengan
menunjukkan kasih sayang dan memberikan barangan bersifat material kepada
pasangan. Ada masanya kita belanja pasangan kita sepasang baju, memberi bunga
atau apa-apa sahaja yang menggembirakan hatinya. Jadi jangan ungkit terhadap
apa yang kita pernah berikan kepada pasangan.
Jangan sesekali katakan padanya, “saya belikan abang
baju yang mahal dulu, itu pun tak reti nak jaga..” atau “Tak kenang budi, orang
dah tolong banyak pun dia membebel lagi..” Perbuatan itu hanya akan mengguris
perasaannya dan menunjukkan ketidakikhlasan kita ketika memberikannya dahulu.
Perbuatan mengungkit juga hanya akan merugikan pahala kita.
3. Jangan sebut kita ingin meninggalkannya.
Gaduh-gaduh pun, janganlah sesekali kita berkata
kepadanya bahawa inilah kali terakhir kita berjumpa dengannya dan selepas ini
kita tidak mahu menemuinya lagi. Jangan cakap seperti itu. Ini seolah-olah kita
sudah tidak mahukan pasangan kita lagi. Terguris hati pasangan jika mendengar
kata-kata seperti, “kalau abang tahu sayang buat macam tu lagi, sayang tak akan
jumpa abang lagi..” atau “Perangai awak ni buat saya nak kawin lagi sorang dengan
orang lain tau tak?!..”. Jangan perbesarkan pergaduhan kita dengan kata-kata
seperti ini.
4. Jangan bertengkar depan anak-anak
Kalau pun kita tengah bergaduh, janganlah bertengkar
dihadapan anak-anak. Bimbang ia akan menjadi contoh yang tidak baik kepada
mereka. Ada suami yang mencengkam rambut isteri dihadapan anak-anak. Kemudian
kepala isteri digoncang-goncang dan didera dengan pelbagai tindakan lagi.
Jangan lakukan ini dihadapan anak-anak. Tapi tidak bermakna kita boleh lakukan
secara sembunyi-sembunyi pula. Tindakan ini akan dilihat oleh anak-anak
sehingga boleh membentuk persepsi dalam minda mereka bahawa semua lelaki itu
jahat. Atau bila perempuan buat salah maka lelaki boleh berkasar dengannya.
Bahkan, ia juga boleh mengganggu emosi anak-anak sehingga menyebabkan mereka
fobia untuk berumahtangga kelak.
5. Jangan mengangkat tangan atau memegang sebarang
objek
Jangan sesekali kita mengangkat tangan untuk tujuan
memukul isteri kita. Begitu juga dilarang menggunakan apa-apa objek untuk
memukul, ia akan menambah keretakan rumahtangga, malah boleh menjadi kes dera
tanpa kita sedar. Jika seorang suami suka mendera isteri, itu bermaksud dia
bukanlah pasangan yang baik. Bahkan dia bukanlah pasangan yang kuat, kerana
orang yang kuat adalah orang yang mampu manahan sabar. Sebagai ketua keluarga,
kita kena pandai mengawal keadaan, bukannya menyumbang kepada hubungan yang
makin teruk.
6. Jangan sebut kekurangan pasangan
Janganlah kita menghina isteri atau suami untuk apa
tujuan sekalipun ketika bergaduh. Lebih-lebih lagi yang dihina itu adalah
bahagiaan anggota tubuh badannya. Ini perkara sensitif buat pasangan. Sewaktu
kita bersetuju bernikah dengannya, bermaksud kita juga setuju untuk menerima
kekurangan yang ada pada dirinya. Walaupun kekurangan itu wujud selepas
perkahwinan, kita harus menerima isteri seadaanya. Sentiasa ingatkan diri untuk
mengawal lidah sewaktu bergaduh. Bak kata orang tua-tua, terlajak perahu boleh diundur,
terlajak kata buruk padahnya.
7. Jangan tinggikan suara sehingga ramai orang
dengar
Ketika bergaduh, jangan sesekali meninggikan suara
dengan tujuan menengkingnya sehingga ramai yang boleh mendengar.
Perbuatan itu hanya akan memalukan dan menjatuhkan
maruahnya dihadapan semua orang. Lebih-lebih lagi ditempat awam.
Jagalah maruah pasangan kita. Maruah dia, maruah
kita juga. Ia ibarat membuka pekung dan kelemahan kita dalam hidup berumah
tangga. Pasangan yang ditengking itu pasti akan terasa dengan kita. Bahkan akan
menjatuhkan dirinya daripada kita.
8. Jangan bergaduh dalam tempoh yang lama
Jangan memanjang-manjangkan pergaduhan. Jangan
lama-lama bertengkar, cukuplah hanya untuk sementara waktu. Sudah habis
bergaduh, berdamailah. Kadang-kadang kita perlu buat tidak tahu sahaja yang
kita baru bergaduh. Pujuklah pasangan kita dengan kata-kata yang menyejukkan
jiwa. Memanjangkan pergaduhan tidak dapat mengubah keadaan. Sebaliknya dengan
bertenang dan berdamai itu lebih baik untuk membaiki hubungan atau masalah yang
menimpa pasangan.
Maka, jangan kita sengaja merosakkan rumah tangga
yang dibina dengan perbuatan yang melampau ketika bergaduh. Jangan juga kita
hanya bergaduh semata-mata untuk mahukan perhatian daripada pasangan.
Penutup: Wujudkan rumahtangga yang harmoni
Walaupun perkara ini adalah asam garam kehidupan
rumah tangga, hendaklah kita mengawal emosi dan amarah kita.
Jika kita mahukan anak yang sihat akhlak dan
rohaninya, maka perkara ini sebenarnya bermula daripada kita sendiri, ibu bapa.
Kerana anak-anak belajar dari pemerhatian kelakuan ibu bapa mereka.
ikalan saiz 250
iklan adnow
0 Response to "Suami atau isteri jangan cakap 8 perkara ini semasa ‘bergaduh’ jika ingin rumah tangga kekal bahagia dan diberkati Allah..Namun, ramai yang hilang kawalan semasa bergaduh.."
Post a Comment