Adab menziarahi bayi baharu dilahirkan yang tidak patut dipandang ringan



iklan responsive



Siapa yang tidak teruja dengan berita kelahiran bayi? Tidak kiralah sama ada yang melahirkan itu anak, kawan rapat, kakak atau adik perempuan kita. Pada waktu itulah kita tidak sabar mahu menziarahi dan kalau boleh hendak menjadi orang terawal yang bertemu dengan bayi tersebut.

Tidak dinafikan kelahiran seseorang bayi membawa rahmat dalam sesebuah keluarga namun sebagai tetamu, kita perlu tahu dan tidak memandang ringan adab menziarahi bayi baharu dilahirkan.

Berikut adalah adab menziarahi bayi baharu dilahirkan yang perlu dipatuhi demi keselesaan ibu yang baharu melahirkan dan bayinya.



#1 Tunggu sehingga 24 jam selepas bayi baharu dilahirkan untuk menghubungi dan memberitahu bahawa anda hendak datang berziarah
Hampir semua ibu sebenarnya tidak bersedia untuk bertemu dengan tetamu yang datang berziarah selepas dia melahirkan. Ibu tersebut bukan sahaja letih malah dia memerlukan rehat yang secukupnya. Hal ini kerana dia perlu menguruskan dirinya dan perlu memberi layanan istimewa kepada anak yang baharu dilahirkan.

Ibu memerlukan masa untuk bersendirian dengan bayi mereka. Bayi yang dikandung selama 9 bulan kini sudah berada di hadapan mata dan pasti keterujaan itu lebih dirasai oleh si ibu. Inilah masanya dia mahu menatap wajah comel bayi mereka di samping melalui pengalaman kali pertama memberi susu badan.



Bukan mereka tidak menghargai niat anda untuk mendengar khabar gembira itu dan menerima kunjungan anda, tetapi mereka berharap anda faham dan memberi mereka masa untuk menstabilkan diri dengan keadaan baharu itu.

#2 Semasa datang berziarah, elakkan daripada memakai minyak wangi atau merokok
Elakkan daripada memakai minyak wangi yang terlalu kuat kerana ia boleh mendatangkan ketidakselesaan pada bayi.



Bagi perokok pula, jangan berasa tersinggung apabila ibu bapa enggan membenarkan bayi mereka didekati, mungkin hembusan asap rokok anda itu menjadi puncanya. Hal ini kerana, biarpun sudah beberapa jam anda merokok sebelum datang menziarahi bayi, tetapi partikel nikotin masih lagi melekat pada pakaian dan rambut anda dan ia akan membahayakan kesihatan dan nyawa bayi.

#3 Semasa datang berziarah, pastikan anda meminta izin untuk merakam gambar bayi dan jangan lupa untuk tutupkan ‘flash‘
Ada ibu bapa yang tidak bersedia gambar bayi mereka diambil dan sebagai tetamu anda perlu menghormati pendirian mereka.

Anda juga tidak seharusnya mengambil hati jika mereka tidak mahu berkongsi gambar bayi baharu mereka sama ada di kumpulan whatsapp atau di media sosial lain kerana mungkin mereka mempunyai alasan tersendiri.

Adalah lebih manis dan baik jika anda meminta izin untuk merakam gambar anak mereka semasa anda datang berziarah dan pastikan anda tidak menggunakan ‘flash‘. Hal ini kerana ‘flash‘ tersebut boleh merosakkan mata bayi dan sekiranya tidak bernasib baik, bayi mungkin akan menjadi buta.

#4 Jangan asyik mendukung bayi baharu dilahirkan dan membuat bising semasa berziarah
Bayi baharu dilahirkan juga memerlukan rehat yang secukupnya. Jika dia sedang tidur, jangan kejutkan semata-mata anda hendak ‘berbual’ dengannya. Mendukung bayi terlalu kerap juga akan mendatangkan ketidakselesaan pada bayi tersebut. Minta izin pada ibu bapa tersebut sebelum anda mendukung bayi mereka.

Jika anda merancang untuk datang menziarahi bayi baharu dilahirkan, elakkan membawa anak-anak yang masih kecil. Sekiranya mereka merengek, ini juga akan menganggu bayi. Namun, perkara yang paling utama ialah, jangan membuat bising.

Memang benar semua orang gembira dengan kelahiran baharu tetapi jangan sampai mengganggu bayi dan ibu pula.

#5 Tinggalkan bilik sekiranya ibu hendak menyusukan bayi mereka
Sekiranya anda datang ke hospital sejurus mendapat khabar berita mengenai kelahiran tersebut, jangan hampiri mereka sewaktu ibu sedang menyusukan bayi.

Si ibu pasti tidak berasa selesa kerana itu adalah kali pertama dia menyusukan anak mereka dan dia memerlukan ruang peribadi untuk melakukannya.

Jika si ibu tidak mempunyai susu badan, janganlah pula anda bercakap sesuatu yang akan menyinggung perasaannya. Hal ini akan memberi tekanan kepada si ibu.

#6 Tidak perlu datang berziarah jika anda sakit
Jika anda sakit waima hanya batuk kecil sahaja, janganlah datang menziarahi bayi baharu dilahirkan. Ini kerana bayi tersebut tidak mempunyai antibodi yang kuat dan lebih mudah mendapat penyakit akibat daripada virus yang anda bawa bersama.

Jangan bimbang, si ibu tidak akan berasa terkilan jika anda tidak datang berziarah disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizikan malah dia akan berterima kasih kerana anda faham akibat jika menziarahi bayi dalam keadaan yang tidak sihat.

#7 Elakkan mencium bayi
Bayi baharu dilahirkan mempunyai bau yang unik dan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Disebabkan inilah, perasaan hendak mencium bayi begitu membuak-buak tetapi harus diingatkan, anda perlu mengawal perasaan tersebut.

Ini kerana, bayi akan lebih mudah terdedah kepada jangkitan kuman hanya melalui ciuman. Anda perlu meminta izin ibu bapa bayi tersebut dan adalah lebih baik elakkan daripada mencium bayi.

#8 Jangan menziarahi bayi baharu dilahirkan melebihi masa 30 minit
Ingat, bayi juga memerlukan rehat yang secukupnya selepas dilahirkan. Hal ini kerana, dia juga memerlukan masa dan ruang untuk menyesuaikan dengan keadaan sekeliling.

Sekiranya anda masih mahu datang berziarah, pastikan kunjungan tersebut tidak melebihi masa 30 minit dan lebih baik kurang daripada itu.

Anda juga perlu menggunakan waktu ziarah tersebut dengan bercakap perkara yang perlu sahaja dan jangan lupa ucapkan tahniah kepada ibu yang melahirkan.

Semoga anda akan menggunakan maklumat daripada perkongsian ini sebagai persediaan anda menziarahi bayi baharu dilahirkan.

Sumber: Facebook | Parenting



ikalan saiz 250




iklan adnow

0 Response to "Adab menziarahi bayi baharu dilahirkan yang tidak patut dipandang ringan"

Post a Comment

bh

loading...
'));

selection