iklan responsive
Soalan; Assalamualaikum ustaz. Saya ada soalan:
Berkenaan dengan aurat. Bolehkah seorang perempuan membuka aurat dihadapan
remaja lelaki yang berusia dalam lingkungan 12-15 tahun yang bukan mahramnya?
Jawapan;
Firman Allah dalam surah an-Nur (bermaksud);“Dan
janganlah mereka (yakni perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan
tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua
mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara
mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau
hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan
tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi
tentang aurat perempuan”. (an-Nur, ayat 31).
Di dalam ayat di atas, Allah melarang wanita-wanita
beriman mendedahkan perhiasan dalaman mereka kepada kaum lelaki kecuali
beberapa orang berikut;
1. Suami
2. Bapa kandung
3. Bapa mertua
4. Anak lelaki kandung
5. Anak lelaki tiri
6. Saudara kandung
7. Anak-anak saudara
8. Sama-sama wanita
9. Di hadapan hamba-hamba mereka
10. Orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak
berkeinginan kepada perempuan
11. Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang
aurat perempuan.
Perhiasan pada badan wanita ada dua jenis;
1. Perhiasan zahir; iaitu pakaian yang dipakai dan
perhiasan yang ada di kawasan badan yang harus didedahkan iaitu muka dan tangan
(seperti celak, cincin, inai dan sebagainya). Perhiasan zahir ini harus
diperlihatkan (atau didedahkan) kepada orang lain termasuk lelaki ajnabi, namun
dengan syarat aman dari fitnah.
2. Perhiasan batin/khafiy (tersembunyi); iaitu
perhiasan yang berada di kawasan selain muka dan tangan seperti anting-anting,
rantai, gelang kaki dan sebagainya; tidak harus diperlihatkan kecuali kepada
suami, mahram dan lelaki-lelaki yang disebut oleh Allah di dalam ayat di atas.
Jika perhiasan sudah tidak harus diperlihatkan, apatahlagi hendak
memperlihatkan tempat beradanya perhiasan itu iaitu tubuh itu sendiri, sudah
tentu lebih diharamkan. Jadi, ayat di atas sekaligus difahami darinya kewajipan
wanita beriman menutup aurat mereka (iaitu seluruh badan kecuali muka dan
tangan) dari dilihat oleh kaum lelaki kecuali beberapa orang yang disebut dalam
ayat di atas.
Salah seorang yang dikecuali dalam ayat di atas
ialah “Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan”, iaitu
kanak-kanak yang belum memahami hal-ehwal wanita dan aurat wanita dan belum
nampak pada mereka keinginan seks kerana umur yang masih kecil. (Lihat; Tafsir
al-Munir (Dr. Wahbah az-Zuhaili), surah an-Nur, ayat 31). Jadi, kanak-kanak ada
dua jenis;
1. Kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat
wanita dan belum ada keinginan kepada wanita. Kanak-kanak dalam kategori ini
harus membuka aurat di hadapan mereka sebagaimana di hadapan mahram.
2. Kanak-kanak yang telah mengerti tentang aurat
wanita. Kanak-kanak dalam kategori ini tidak harus wanita Islam membuka aurat
di hadapan mereka iaitu sama seperti di hadapan lelaki ajnabi dewasa.
Dari sudut umur, umur mereka (yakni kanak-kanak yang
belum mengerti tentang aurat wanita) ialah sebelum mencapai umur murahiq iaitu
lingkungan umur hampir baligh. (Fathul-Qadier, Imam as-Syaukani). Menurut Dr.
Wahbah az-Zuhaili dalam tafsirnya al-Wasit; “Kanak-kanak di bawah usia 10
tahun”. Jadi, kanak-kanak yang telah berusia 10 tahun ke atas, tidak harus lagi
didedahkan aurat di hadapannya. Menurut Dr. Abdullah Syahatah dalam kitabnya
“Tafsir Surah an-Nur”; paling jauh ialah yang berusia 12 tahun kerana menurut
beliau; kanak-kanak yang telah melepasi 12 tahun telah mula bangkit dalam
dirinya perasaan terhadap wanita walaupun mereka belum baligh (halaman 147).
Berdasarkan pandangan ini, kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas –sekalipun
belum baligh- tidak harus didedahkan aurat di hadapannya.
Penentuan umur di atas tidaklah mutlak kerana
keadaan manusia pada setiap zaman sentiasa berubah. Pada zaman hari ini melalui
pengaruh televisyen dan media-media masa yang lain, pendedahan tentang seks
(hubungan lelaki dan wanita) begitu berleluasa termasuk kepada kanak-kanak.
Oleh itu, tidak mustahil kanak-kanak lelaki hari ini walaupun belum berusia 10
tahun sudah ada keinginan kepada wanita. Maka ukuran yang paling tepat bagi
seorang wanita –untuk mengukur sama ada harus ia membuka auratnya di hadapan
kanak-kanak atau menutupnya- ialah dengan ia melihat keadaan kanak-kanak di
hadapannya, bukan dengan melihat umurnya semata-mata.
Wallahu a’lam.
ikalan saiz 250

iklan adnow
0 Response to "Aurat Wanita di Hadapan Lelaki Berusia 12 -15...Ramai Yang Tak Kisah Dan Akhirnya Mengundang Dosa"
Post a Comment