iklan responsive
Apabila
dilihat makna di sebalik ungkapan ISTIGHFAR, “Aku memohon keampunan dari Allah
swt.”; dapat dilihat bahawa ungkapan ini adalah suatu lafaz bertaubat dari
dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh seorang hamba kepada
Tuhannya. Jelas sekali bahawa lafaz yang sangat pendek ini amat besar nilainya
di sisi Allah swt iaitu sama besarnya dengan taubat seperti dalam firmanNya:
Maka
ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya
Dia amat menerima taubat. (Surah An-Nasr: 3)
Justeru
pasti lafaz yang tinggi kepentingannya sehingga sering dianjurkan Allah swt di
dalam kitabNya ini memiliki banyak rahsia dan kelebihannya. Berikut adalah
antara kelebihan-kelebihan mengamalkan istighfar di dalam kehidupan seharian
kita.
1 – Diampunkan Dosa-Dosanya
oleh Allah swt
Kita
adalah seorang hamba yang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan jauh
sekali dari kesempurnaan. Kelemahan diri dalam melawan hawa nafsu menyebabkan
kita sering jatuh tersungkur di lembah maksiat.
Namun
janganlah pernah berputus asa dalam mengharapkan keampunan daripada Allah swt
dan teruslah beristighfar. Kerana Allah swt telah berjanji seperti di dalam
sabda baginda Rasulullah saw:
Allah
telah berfirman, “Wahai hamba-hambaKu, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang
Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepadaKu, nescaya kalian Aku ampuni. Dan
barangsiapa yang meyakini bahawa Aku punya kemampuan untuk mengampuni
dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli (beberapa banyak
dosanya).”
Riwayat
Ibnu Majah, Tirmidzi
2 – Dimakbulkan Permintaan
& Hajat
Orang
yang sentiasa ikhlas memohon keampunan daripada Allah swt pasti sentiasa
dibersihkan dari dosa-dosanya. Apabila seseorang hamba itu bersih dari dosa
maka munajatnya mudah diperkenankan oleh Allah swt kerana dekatnya dia di sisi
Allah swt. Adalah tidak mustahil bagi Allah swt untuk memakbulkan segala
permintaannya dengan sifat Allah Yang Maha Pemurah itu.
Imam
Ahmad Ibnu Hambal mengisahkan kelebihan istighfar yang diamalkan oleh seorang
pembuat roti. Sepanjang malam si pembuat roti akan membuat roti sambil
beristighfar tanpa henti dan ini telah didengari oleh Imam Ahmad yang menumpang
tidur di rumahnya.
Lalu
ditanyakan kepadanya apakah kelebihan yang diperolehinya melalui amalan
istighfar yang bersungguh-sungguh itu. Dijawab si pembuat roti bahawa Allah swt
telah mengkabulkan segala permintaannya selama ini setiap kali dia berdoa
kecuali permintaannya untuk bertemu dengan Imam Ahmad Ibnu Hambal.
(Si
pembuat roti tidak mengenali Imam Ahmad yang dipelawanya untuk menumpang tidur
di rumahnya sendiri ketika itu). Imam Ahmad sangat terkejut bagaimana Allah swt
telah merencanakan perjalanannya sehingga dia berteduh di rumah si pembuat
roti. Ternyata juga ini semua untuk memperkenankan hajat si pembuat roti iaitu
ingin bertemu dengannya.
Melalui
kisah ini dapat dikongsikan bahawa antara kelebihan amalan istighfar ialah
diperkenankan segala permintaan dan dimakbulkan hajat oleh Allah swt pada
hamba-hambaNya yang sentiasa memohon keampunan dariNya.
3 – Bertambah Kekuatan
“Tiada
daya dan kudrat melainkan hanya dengan Allah swt,” itulah fitrah kejadian
manusia. Segala kekuatan hanya milik Sang Pencipta. Betapa setiap ujian dan
cabaran dalam hidup yang ada pasang surutnya membuatkan kita lelah.
Mahu
tidak mahu segala keperitan itu perlu dihadapi juga. Tapi dari manakah segala
kekuatan dapat diperolehi kembali setelah diri dirasakan telah lunyai diasak dugaan?
Firman Allah swt yang bermaksud:
Dan wahai kaumku! Mintalah
ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia
menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di
samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan
seruanku dengan terus melakukan dosa! (Surah Hud: 52)
Dekatnya
seorang hamba kepada Sang Pencipta, dekat lagi Sang Penciptanya kepada hamba
itu. Dia tidak akan meninggalkan hamba-hambaNya yang begitu tekun mendekatiNya
dengan sentiasa mengharapkan keampunanNya. Dan Tuhannya juga berjanji untuk
menambah kekuatan hambaNya agar menang dalam menghadapi segala cabaran hidup di
atas dunia ini.
4 – Mudah Mendapat Zuriat
Para
ulama’ menyarankan kepada setiap pasangan yang berhajat pada zuriat untuk
memperbanyakkan amalan istighfar. Antara kisah yang boleh dikongsi di sini
adalah dari Imam al Qurtubi yang diriwayatkan oleh Ibnu Shabih tentang seorang
lelaki yang tidak mempunyai zuriat telah menemui Hasan al-Basri kerana hal ini.
Lelaki
itu kemudiannya telah dinasihatkan oleh Hasan untuk mengamalkan istighfar.
Setelah beberapa ketika mengamalkan istighfar, lelaki itu kembali kepada Hasan
untuk memaklumkan kehamilan isterinya.
Kelebihan
istighfar dalam ikhtiar untuk mendapatkan zuriat juga telah dikongsi oleh
Syeikh Aidh al Qarni di dalam ceramahnya. Syeikh Aidh al Qarni menceritakan
bagaimana seorang wanita yang disahkan mandul oleh doktor dan pakar perubatan
telah dikurniakan dengan anak setelah mengamalkan saranan seorang ulama’ untuk
memperbanyakkan istighfar.
Menurut
penceramah terkenal Ustazah Siti Nor Bahyah, Allah swt sentiasa mengasihi dan
merahmati mereka yang beristighfar. Kasih sayang Allah swt kepada mereka
memungkinkan pengurniaan cahaya mata dari Allah swt. Kerana itu beliau sangat
menggesa agar pasangan yang inginkan cahaya mata untuk terus mengamalkan
istighfar.
Nasihat
yang sama kini turut diberikan oleh seorang penulis buku Ustaz Mohamad Abdul Kadir
bin Sahak. Istighfar merupakan salah satu amalan yang disenaraikan oleh ustaz
kepada soalan yang ditanyakan kepadanya tentang bagaimana untuk dikurniakan
anak.
5 – Menyembuhkan Penyakit
Seorang
da’i yang hanya dikenali sebagai Ustaz Danu telah berkongsi tentang
pengalamannya selama 15 tahun yang meneliti bahawa terdapatnya hubungkait suatu
penyakit dengan kebiasaan maksiat dan dosa yang dilakukan oleh seorang pesakit.
Menerusi
pemerhatian inilah dia akhirnya menyimpulkan bahawa istighfar merupakan salah
satu jalan kepada kesembuhan penyakit. Semua yang menemuinya untuk mendapatkan
nasihat tentang bagaimana untuk menghadapi ujian penyakit yang dialami akan
diusulkan agar memperbanyakkan istighfar. Imam Qatadah pernah berkata:
“Al-Qur’an
telah menunjukkan penyakit dan ubat kalian, adapun penyakit kalian adalah dosa,
dan ubat kalian adalah istighfar.”
Kitab
Ihya’ Ulumuddin: 1/410
Rahsia
amalan istighfar sebagai jalan penyembuhan juga telah saya alami sendiri. Sejak
kecil lagi saya menghidapi suatu penyakit. Penyakit ini telah memberi kesukaran
dan kesulitan kepada saya dalam menjalankan aktiviti harian.
Saya
pernah berjumpa ramai doktor dan berikhtiar dengan ramai ustaz, namun ternyata
Allah swt belum mengizinkan kesembuhan ke atas saya. Sehinggalah saya
dinasihati oleh seseorang untuk memohon keampunan dari Allah swt.
Jangan
minta apa-apa untuk dunia dan jangan minta apa-apa untuk akhirat; jangan minta
apa-apa dari Allah swt melainkan keampunan sahaja, begitu sekali ditekankan
kepada saya. Selama tiga hari saya hanya minta ampun tanpa memikirkan apa-apa
selain itu, bahkan berdoa untuk kesembuhan kesakitan itu juga saya tidak.
Segala
puji hanya bagi Allah swt, tanpa disangka penyakit yang dihadapi selama
bertahun-tahun itu sembuh selepas hanya tiga hari. Sejak itu saya sangat yakin
dengan amalan istighfar dan sesiapa sahaja akan saya nasihatkan agar
perbanyakkan istighfar sebagai kunci mendapatkan kesembuhan.
6 – Menyejukkan Hati Isteri
yang Sedang Marah
Dikisahkan
tentang seorang hamba Allah yang telah bertengkar dengan isterinya mulai saat
dia tiba di rumah sehingga menjelang Subuh. Teruknya keadaan mereka suami isteri
bertengkar sehingga si isteri membuat keputusan untuk keluar dari rumah dan
pulang kepada orang tuanya.
Kecewa
kerana gagal memujuk si isteri, hamba Allah ini telah pergi ke masjid dalam
keadaan marah dan beremosi ketika isterinya sibuk mengemas pakaian. Selepas
solat Subuh berjemaah, hamba Allah ini memilih untuk beristighfar selama sejam
bagi menenangkan dirinya dari terus pulang ke rumah.
Usai
beristighfar dia kembali ke rumah namun alangkah terkejutnya dia apabila
melihat si isteri sedang menanti dengan wajah yang manis dan ceria. Lebih
menghairankan apabila si isteri juga meminta maaf atas keterlanjuran dan
pertelingkahan yang berlaku sepanjang malam itu.
Hamba
Allah ini lalu bertanya si isteri apa yang berlaku sehingga si isteri boleh
berubah. Si isteri menjawab bahawa dia juga tidak tahu namun sejak sejam yang
lalu hatinya tiba-tiba merasa tenang dan jiwanya jadi tenteram. Si isteri juga
jadi sedar pada kesilapannya. Hamba Allah ini lantas teringat bahawa pada sejam
itulah dia sedang khusyuk beristighfar. Hamba Allah ini sangat bersyukur atas
bantuan Allah swt dalam mendamaikan hati mereka berdua.
Mungkin
ada kesilapan, dosa dan maksiat yang kita lakukan secara sedar atau tidak
kepada Allah swt sehingga kita diuji dengan pasangan dan keluarga kita.
Anak-anak jadi degil dan liar, entah ke mana perginya. Kembalilah kepada Allah
swt atas teguran ini, berhentilah dengan dosa dan banyakkan memohon ampun. InsyaAllah
akan dikembalikan keamanan di dalam keluarga kita.
7 – Dijauhkan dari Azab &
Bala
Dan Allah tidak sekali-kali
akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan
Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).
(Surah Al-Anfal: 33)
Mintalah
ampun pada setiap masa kerana sungguh kita tidak tahu ketika bila Allah swt
mengurniakan keampunan kepada kita. Jangan berhenti mengharapkan keampunan
Allah swt kerana kita tidak tahu lafaz yang mana diangkat Allah swt sebagai
asbab menyelamatkan kita dan keluarga kita dari azab dan bala di dunia dan di
akhirat.
Seorang
pemotong daging telah ditanya oleh seorang ulama’ tentang amalan apakah yang
sering dilakukannya sehingga kubur ayahnya begitu lapang dan bercahaya. Amalan
apakah yang menyebabkan ayahnya tidak diazab di alam barzakh sedangkan penghuni
kubur yang lain berada dalam dukacita.
Ternyata
jawab si pemotong daging bahawa dia tidak pernah berhenti memohon keampunan
Allah swt untuk ayahnya dan amalan inilah yang menyelamatkan ayahnya di sana.
8 – Ditambah Nikmat &
Kekayaan
Dr
Azizan Osman, seorang jutawan yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman
amat menegaskan amalan istighfar kepada para pelajarnya selain amalan sedekah.
Seorang
peniaga minyak wangi yang berjaya pula pernah menasihati saya untuk mengamalkan
sekurang-kurangnya 70 kali istighfar sebelum memulakan sesi perniagaan.
Nasihat
ini ada benarnya dan terbukti kerana antara janji Allah swt ganjaran buat
mereka yang memohon keampunan kepadaNya adalah kekayaan dalam bentuk harta,
rezeki dan anak-anak. Firman Allah swt:
“Sehingga aku berkata (kepada
mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha
Pengampun. (Surah Nuh: 10)
“(Sekiranya kamu berbuat
demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
(Surah Nuh: 11)
“Dan Ia akan memberi kepada
kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan
bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang
mengalir di dalamnya). (Surah Nuh: 12)
Selain
itu, Allah swt juga berjanji bahawa mereka yang beristighfar akan diberi nikmat
yang tidak putus-putus seperti di dalam firmanNya:
Dan hendaklah kamu meminta
ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk
kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang
baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia
akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang
amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling
(membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan
beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya). (Surah Hud: 3)
9 – Memberatkan Timbangan
Akhirat & Diangkat Ke Syurga
Kesayangan
Rasulullah saw, Saidatina Aisyah ra pernah berkata:
“Beruntunglah
orang-orang yang menemukan istighfar yang banyak pada setiap lembar catatan
harian amal mereka.”Riwayat Bukhari
Mengapa
beruntung? Keampunan Allah swt akan memadam segala rekod jahat di dalam catatan
amal seorang hamba. Malah kejahatan akan diganti dengan kebajikan seperti
firman Allah:
Kecuali orang yang bertaubat
dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan
menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Furqan: 70)
Maka
pahala akan bertambah dan dosa akan berkurang. Ini akan memberatkan timbangan
di akhirat kelak. Selain pahala dan kebajikan yang banyak, Allah swt juga
menjanjikan syurga kepada mereka yang memohon keampunanNya seperti firman
Allah:
Dan juga orang-orang yang
apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera
ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak
ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak
meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka
mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Surah Ali-Imran: 135)
Orang-orang yang demikian
sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang
demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (Surah
Ali-Imran: 136)
10 – Penyelesaian Setiap
Permasalahan, Jalan Keluar dari Kesusahan & Kesedihan
Perkongsian
ini dari seorang ulama’, Ibnu Taimiyyah Rahimahullah. Menurut pengalaman
beliau:
“Sungguh,
kadang-kadang terlintas di hatiku suatu persoalan yang sulit untuk aku fahami,
maka aku beristighfar kepada Allah, sehingga dadaku menjadi lapang dan
persoalan itu terpecahkan. Terkadang aku berada di pasar, masjid atau sekolah,
hal itu tidak menghalangiku untuk mengucapkan istighfar, hingga aku memperoleh
yang aku inginkan.”
Keyakinan
para ulama’ dalam melazimi istighfar telah memberi manfaat kepada mereka untuk
memahami dan mendalami persoalan ilmu sehingga menjadi pakar dalam bidang
mereka. Istighfar juga memudahkan segala urusan dan menyelesaikan masalah
sehingga mereka dapat mengatur masa dalam kesibukan mereka belajar, mengajar,
bekerja dan menulis kitab. Dari Ibni Abbas ra, baginda Rasulullah saw juga
bersabda:
“Barangsiapa
yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap
kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberi rezeki dari
arah yang tidak disangka-sangka.”
Riwayat
Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad
11 – Menggembirakan Allah
& Dicintai Allah
Pasti
matlamat utama istighfar adalah untuk mendapatkan redha daripada Allah swt.
Mudahan redha Allah swt membuatkan kita beroleh ehsan dariNya ketika hari
Kiamat tiba dan ketika kita dalam perhitungan antara Neraka dan Syurga. Redha
Allah swt akan diperolehi apabila kita menggembirakan Allah swt dan istighfar
adalah jalannya. Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh
Allah lebih gembira dengan taubat hambaNya daripada kegembiraan salah seorang
dari kalian yang menemukan untanya yang hilang di padang pasir.”
Riwayat
Bukhari dan Muslim
Rasulullah
saw juga bersabda:
“Orang
yang bertaubat adalah kekasih Allah. Orang yang bertaubat atas dosanya bagaikan
orang yang tidak berdosa.”
Riwayat
Ibnu Majah
Kekasih
adalah orang yang dicintai. Kekasih adalah orang yang sentiasa dirindui dalam
ingatan. Seorang yang bercinta akan sanggup melakukan apa sahaja agar yang
dicinta selamat dan gembira sentiasa.
Kemanisan
apakah yang lebih hebat dari kemanisan bercinta? Kekasih manakah yang lebih
hebat dalam bercinta jika bukan Allah swt? Maka beruntunglah orang yang
dicintai Allah swt. FirmanNya:
Dan mereka bertanya kepadamu
(wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda
yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu
menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam
masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk
bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka
datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.
SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi
orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah Al-Baqarah: 222)
Rumusan
Dengan
begitu banyak kemanisan, ganjaran dan kelebihan istighfar, maka rugilah jika
kita tidak mengejar segala kebaikan ini untuk pelaburan dunia dan keuntungan
akhirat. Berhentilah berdolak-dalih dengan pelbagai alasan untuk kembali kepada
Tuhan sedangkan istighfar boleh dilakukan di mana sahaja dengan lafaz yang
paling mudah. Lazimi istighfar ketika senang, mudahan istighfar menjadi asbab
bantuan ketika susah.
Sebarkanlah
Ilmu Walaupun Sebesar Zarah..
Semoga
bermanfaat. Sila Like & Share!
Sumber:dakwahtv.net
ikalan saiz 250
iklan adnow
0 Response to "Kelebihan Istighfar Yang Patut Kita Tahu Dalam Memperoleh Keredhaan Allah"
Post a Comment