iklan responsive
Siapa yang tidak teruja dengan berita kelahiran
bayi? Tidak kiralah sama ada yang melahirkan itu anak, kawan rapat, kakak atau
adik perempuan kita. Pada waktu itulah kita tidak sabar mahu menziarahi dan
kalau boleh hendak menjadi orang terawal yang bertemu dengan bayi tersebut.
Tidak dinafikan kelahiran seseorang bayi membawa
rahmat dalam sesebuah keluarga namun sebagai tetamu, kita perlu tahu dan tidak
memandang ringan adab menziarahi bayi baharu dilahirkan.
Berikut adalah adab menziarahi bayi baharu dilahirkan
yang perlu dipatuhi demi keselesaan ibu yang baharu melahirkan dan bayinya.
#1 Tunggu sehingga 24 jam selepas bayi baharu
dilahirkan untuk menghubungi dan memberitahu bahawa anda hendak datang
berziarah
Hampir semua ibu sebenarnya tidak bersedia untuk
bertemu dengan tetamu yang datang berziarah selepas dia melahirkan. Ibu
tersebut bukan sahaja letih malah dia memerlukan rehat yang secukupnya. Hal ini
kerana dia perlu menguruskan dirinya dan perlu memberi layanan istimewa kepada
anak yang baharu dilahirkan.
Ibu memerlukan masa untuk bersendirian dengan bayi
mereka. Bayi yang dikandung selama 9 bulan kini sudah berada di hadapan mata
dan pasti keterujaan itu lebih dirasai oleh si ibu. Inilah masanya dia mahu
menatap wajah comel bayi mereka di samping melalui pengalaman kali pertama
memberi susu badan.
Bukan mereka tidak menghargai niat anda untuk
mendengar khabar gembira itu dan menerima kunjungan anda, tetapi mereka
berharap anda faham dan memberi mereka masa untuk menstabilkan diri dengan
keadaan baharu itu.
#2 Semasa datang berziarah, elakkan daripada memakai
minyak wangi atau merokok
Elakkan daripada memakai minyak wangi yang terlalu
kuat kerana ia boleh mendatangkan ketidakselesaan pada bayi.
Bagi perokok pula, jangan berasa tersinggung apabila
ibu bapa enggan membenarkan bayi mereka didekati, mungkin hembusan asap rokok
anda itu menjadi puncanya. Hal ini kerana, biarpun sudah beberapa jam anda
merokok sebelum datang menziarahi bayi, tetapi partikel nikotin masih lagi
melekat pada pakaian dan rambut anda dan ia akan membahayakan kesihatan dan
nyawa bayi.
#3 Semasa datang berziarah, pastikan anda meminta
izin untuk merakam gambar bayi dan jangan lupa untuk tutupkan ‘flash‘
Ada ibu bapa yang tidak bersedia gambar bayi mereka
diambil dan sebagai tetamu anda perlu menghormati pendirian mereka.
Anda juga tidak seharusnya mengambil hati jika
mereka tidak mahu berkongsi gambar bayi baharu mereka sama ada di kumpulan
whatsapp atau di media sosial lain kerana mungkin mereka mempunyai alasan
tersendiri.
Adalah lebih manis dan baik jika anda meminta izin
untuk merakam gambar anak mereka semasa anda datang berziarah dan pastikan anda
tidak menggunakan ‘flash‘. Hal ini kerana ‘flash‘ tersebut boleh merosakkan
mata bayi dan sekiranya tidak bernasib baik, bayi mungkin akan menjadi buta.
#4 Jangan asyik mendukung bayi baharu dilahirkan dan
membuat bising semasa berziarah
Bayi baharu dilahirkan juga memerlukan rehat yang
secukupnya. Jika dia sedang tidur, jangan kejutkan semata-mata anda hendak
‘berbual’ dengannya. Mendukung bayi terlalu kerap juga akan mendatangkan
ketidakselesaan pada bayi tersebut. Minta izin pada ibu bapa tersebut sebelum
anda mendukung bayi mereka.
Jika anda merancang untuk datang menziarahi bayi
baharu dilahirkan, elakkan membawa anak-anak yang masih kecil. Sekiranya mereka
merengek, ini juga akan menganggu bayi. Namun, perkara yang paling utama ialah,
jangan membuat bising.
Memang benar semua orang gembira dengan kelahiran
baharu tetapi jangan sampai mengganggu bayi dan ibu pula.
#5 Tinggalkan bilik sekiranya ibu hendak menyusukan
bayi mereka
Sekiranya anda datang ke hospital sejurus mendapat khabar
berita mengenai kelahiran tersebut, jangan hampiri mereka sewaktu ibu sedang
menyusukan bayi.
Si ibu pasti tidak berasa selesa kerana itu adalah
kali pertama dia menyusukan anak mereka dan dia memerlukan ruang peribadi untuk
melakukannya.
Jika si ibu tidak mempunyai susu badan, janganlah
pula anda bercakap sesuatu yang akan menyinggung perasaannya. Hal ini akan
memberi tekanan kepada si ibu.
#6 Tidak perlu datang berziarah jika anda sakit
Jika anda sakit waima hanya batuk kecil sahaja,
janganlah datang menziarahi bayi baharu dilahirkan. Ini kerana bayi tersebut
tidak mempunyai antibodi yang kuat dan lebih mudah mendapat penyakit akibat
daripada virus yang anda bawa bersama.
Jangan bimbang, si ibu tidak akan berasa terkilan
jika anda tidak datang berziarah disebabkan keadaan kesihatan yang tidak
mengizikan malah dia akan berterima kasih kerana anda faham akibat jika
menziarahi bayi dalam keadaan yang tidak sihat.
#7 Elakkan mencium bayi
Bayi baharu dilahirkan mempunyai bau yang unik dan
tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Disebabkan inilah, perasaan hendak
mencium bayi begitu membuak-buak tetapi harus diingatkan, anda perlu mengawal
perasaan tersebut.
Ini kerana, bayi akan lebih mudah terdedah kepada
jangkitan kuman hanya melalui ciuman. Anda perlu meminta izin ibu bapa bayi
tersebut dan adalah lebih baik elakkan daripada mencium bayi.
#8 Jangan menziarahi bayi baharu dilahirkan melebihi
masa 30 minit
Ingat, bayi juga memerlukan rehat yang secukupnya
selepas dilahirkan. Hal ini kerana, dia juga memerlukan masa dan ruang untuk
menyesuaikan dengan keadaan sekeliling.
Sekiranya anda masih mahu datang berziarah, pastikan
kunjungan tersebut tidak melebihi masa 30 minit dan lebih baik kurang daripada
itu.
Anda juga perlu menggunakan waktu ziarah tersebut
dengan bercakap perkara yang perlu sahaja dan jangan lupa ucapkan tahniah
kepada ibu yang melahirkan.
Semoga anda akan menggunakan maklumat daripada
perkongsian ini sebagai persediaan anda menziarahi bayi baharu dilahirkan.
Sumber: Facebook | Parenting
ikalan saiz 250

iklan adnow
0 Response to "Adab menziarahi bayi baharu dilahirkan yang tidak patut dipandang ringan"
Post a Comment