iklan responsive
Di kota Damsyiq, ada sebuah masjid besar yang
bernama Masjid Al-Taubah.
Kira-kira tujuh puluh tahun yang lalu, masjid ini
pernah diduduki oleh seorang pemuda, penuntut ilmu yang bernama Sulaim
Al-Suyuthi.
Beliau terkenal pandai dalam ilmu agama dan sangat
soleh, tetapi ia sangat fakir. Dia tidak memiliki tempat berteduh selain sebuah
bilik di dalam masjid Al-Taubah.
Suatu hari, Sulaim merasa sangat lapar.
Sudah dua hari beliau tidak makan dan tidak memiliki
apa-apa untuk membeli makanan. Pada hari ketiga, beliau merasa hampir mati.
Otaknya berfikir; apa yang harus dilakukan?
Malah dia berasa telah sampai kepada batasan darurat
yang membolehkan dirinya memakan bangkai atau mencuri sesuai keperluan.
Dia memilih untuk mencuri.
Terung yang haram
Masjid Al-Taubah pada waktu itu berada di
tengah-tengah kota raya. Rumah-rumah pada saat itu saling berdekatan dan
atapnya saling berhampiran.
Jika seseorang mahu, dia dapat berjalan hingga ke
akhir kota dengan melangkah di atas atap-atap rumah.
Syeikh Sulaim segera memanjat dinding masjid.
Dia terus melangkah ke atap rumah penduduk. Dia
melihat seorang wanita dari atap tersebut, dia segera menutup matanya dan
menjauh.
Kemudian dia tiba ke sebuah rumah kosong, dia
mencium dari dalamnya bau sebuah masakan. Bau itu macam magnet yang menarik
dirinya untuk turun.
Dia segera melompat ke dalam rumah itu dan terus
berlari ke dapur. Dia segera mengangkat penutup kuali dan melihat terung-terung
(bazinjan mahsyi) yang sedang dimasak.
Tangannya mengambil salah satu dari terung tersebut
dan segera menggigitnya.
Namun sebelum ia berhasil menelan gigitan tersebut,
akal dan agamanya kembali.
Hatinya segera berkata, “Auzu billah. Saya seorang
pelajar agama yang tinggal di masjid. Tidak patut saya menceroboh rumah orang
lain dan mencuri makanannya.”
Dia menjadi sangat menyesal.
Dia lalu beristighfar dan mengembalikan terung yang
telah digigitnya itu ke tempatnya semula.
Dia kembali
ke masjid dan duduk di sebuah majlis ilmu. Namun kerana sangat lapar, dia
hampir tidak mengerti apa yang didengar.
Setelah majlis itu selesai dan semua orang telah
kembali ke rumah masing-masing, tidak ada yang masih berada di dalam masjid
kecuali Syeikh Sulaim dengan gurunya.
Dalam keadaan itu seorang wanita berniqab tiba-tiba
datang dan berbicara dengan sang guru, suaranya sangat halus.
Kemudian guru itu memanggil Syeikh Sulaim lalu
berkata kepadanya, “Perempuan ini memberitahuku bahawa suaminya baru sahaja
meninggal dunia. Dan ia seorang yang asing di negeri ini. Tidak ada yang
menjaganya selain pak ciknya yang sudah sangat tua.
Dia mewarisi rumah dan semua harta suaminya. Untuk
itu, ia meminta dicarikan seorang suami yang dapat menjaga dirinya dari
orang-orang jahat. Mahukah engkau menikahinya?”
Syeikh Sulaim berkata, “Ya.”
Lalu Syeikh itu bertanya kepada perempuan itu,
“Mahukah engkau menerimanya sebagai suami?”
Ia menjawab, “Ya.”
Pakcik perempuan itu
hadir bersama dua orang saksi. Akad nikah pun dilaksanakan segera.
Syeikh itu lalu berkata, “Bawalah suamimu ini.”
Perempuan itu
lalu memimpinnya ke rumah tempat tinggalnya. Apabila perempuan itu menyingkap
niqabnya, ternyata dia adalah seorang wanita yang sangat muda dan cantik.
Juga ternyata, rumah kediamannya adalah rumah yang
tadi dicerobohinya.
Isterinya
bertanya, “Mahukah engkau makan?”
Dia menjawab,
“Ya.”
Isterinya segera membuka penutup kuali dan melihat
terung-terungnya. Dia segera berkata, “Hairan sekali, siapa yang telah masuk ke
rumah dan memakan terungku?”
Syeikh Sulaim segera menangis dan menceritakan
kisahnya kepada isterinya.
Isterinya itu segera berkata, “Inilah buah daripada
sifat amanah. Engkau meninggalkan sebiji terung yang haram, Allah lalu
memberikan kepadamu rumah ini berserta seluruh seisinya melalui cara yang
halal.”
Tinggalkan
yang Haram
Kisah ini diceritakan oleh Allahyarham Syeikh Ali
Al-Thantawi, seorang ulama besar di Syria yang wafat beberapa tahun lalu, di
dalam muzakarahnya.
Beliau berkata, “Cerita ini kisah nyata. Saya
sendiri mengenali tokoh-tokohnya dan saya masih ingat perincian ceritanya.”
Masya-Allah, ketika membaca kisah ini saya kembali
teringat kota Damsyiq yang penuh dengan ilmu dan keberkatan. Kejadian luar
biasa sering terjadi di kota ini bagi orang-orang yang ikhlas menuntut ilmu
kerana Allah.
Pengajaran yang terkandung di dalam kisah ini sangat
jelas.
Satu biji terung haram yang anda tinggalkan kerana
Allah akan dibalas dengan rumah besar berserta isinya dan isteri yang cantik di
dunia ini.
Belum lagi balasan tidak terkira daripada Allah di
akhirat kelak,
”Tak seorangpun mengetahui berbagai nikmat yang
menanti dan yang indah dipandang, sebagai balasan bagi mereka atas apa yang
mereka kerjakan.” (surah al-Sajdah: 17).
Meninggalkan perkara haram adalah ibadah yang paling
Allah sukai.
Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Abu Hurairah
bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tinggalkanlah perkara-perkara yang haram,
maka engkau menjadi orang yang paling banyak ibadahnya.”
Siti Aisyah berkata, “Kamu semua tidak akan membawa
amalan yang lebih baik daripada sedikit dosa. Maka barang siapa yang mahu
mengalahkan seorang ahli ibadah yang tidak pernah berhenti menyembah Allah,
maka tahanlah dirinya daripada dosa.”
Para ulama berkata, “Perbuatan taat dapat dilakukan
oleh semua orang. Namun meninggalkan maksiat, hanya dapat dilakukan oleh
orang-orang yang siddiq (jujur kepada Allah).”
Maimun bin Mahran, seorang ulama tabiin berkata,
“menyebut nama Allah dengan lisan adalah perbuatan yang sangat baik. Namun
lebih baik daripada itu ialah seseorang yang mengingat Allah ketika hampir
melakukan maksiat.”
– Kisah ini adalah petikan dari buku Rasul Mulia,
Umat Mulia, Akhlaq Mulia karangan Ust Umar Md Noor.
Kredit : AKU ISLAM
SEMOGA YANG DISAMPAIKAN MEMBERI PENGAJARAN KEPADA
KITA. IN SYA ALLAH
ikalan saiz 250
iklan adnow
0 Response to "Terung?? Yang Haram Dimakan??"
Post a Comment