11 Ikon Wanita Paling Berpengaruh Dalam Sejarah Islam



iklan responsive


Saya ingin kita semua mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan ikon-ikon wanita yang sangat penting dalam sejarah Islam, yang berperanan dalam mengembangkan agama ini, dengan cara dan inovasi mereka yang tersendiri.

Kita sememangnya mempunyai beberapa ikon semasa pada hari ini- seperti pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Malala Yousafzai, yang berjuang untuk pendidikan kanak-kanak dan remaja perempuan serta telah membina beberapa buah sekolah untuk mereka ketika beliau sedang menuntut di Universiti Oxford (memang bukan calang-calang orang).

Sementara itu, Ibtihaj Muhammad pula memenangi pingat gangsa Olimpik untuk Amerika Syarikat yang berjuang agar wanita Islam diiktiraf di mana jua di dunia ini, memiliki label fesyen sendiri dan secara terbuka bercakap tentang haknya untuk menutup aurat dan juga pengalaman beliau sebagai bangsa kulit hitam, Muslim, wanita dan rakyat Amerika. (Dan Barbie juga telah memilih beliau menjadi salah satu model patung permainan mereka.)

Tetapi apa yang perlu kita fahami adalah ikon-ikon wanita Islam ini bukanlah satu fenomena yang baru. Wanita-wanita Islam kini telah mengambil inspirasi daripada tokoh-tokoh dalam sejarah Islam meskipun ada yang memilih untuk menjadi pejuang yang kurang dikenali.

Mari kita selami 11 daripada beberapa ikon wanita paling hebat dalam sejarah Islam yang memperjuangkan hak wanita melalui perbuatan mereka (sudah pasti ada lebih banyak, tetapi saya mungkin akan terus menulis sebuah buku nanti!)

Nabi Muhammad s.a.w
Pertama sekali, kita harus mendahului carta ini dengan mengetahui bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah ikon pembela wanita paling utama pernah wujud di dunia ini.

Pada satu ketika dahulu di Arab apabila wanita dianggap sama seperti harta benda, kanak-kanak perempuan diancam untuk ditanam hidup-hidup selepas dilahirkan, dan perempuan dianggap sebagai satu bebanan, Nabi Muhammad s.a.w telah mengubah semua pemikiran itu melalui perbuatan dan kata-kata baginda.

Baginda berkahwin dengan Saidatina Khadija tanpa mengambil kira tentang umur, kekayaan, atau perkahwinan sebelumnya tetapi kerana sifat dan peribadinya yang baik.

Nabi Muhammad menunjukkan bahawa seorang wanita berhak untuk menolak pinangan, dibenarkan untuk menuntut cerai sekiranya perlu, dan memastikan hak mereka untuk mewarisi harta pusaka.

Seorang wanita boleh memiliki wang sendiri dan memiliki harta di zaman itu di mana diri wanita itu sendiri dahulu dianggap sebagai harta. Nabi sendiri bersabda bahawa sesiapa yang memiliki anak pertamanya seorang perempuan, dia itu diberkati.

Baginda memberi peringatan kepada lelaki agar berbuat baik kepada isteri mereka sebagai petanda lelaki Islam yang baik, dan mengatakan bahawa seorang lelaki yang mendidik dan menjaga kesejahteraan anak perempuannya akan mendapat tempat di syurga; malahan Baginda memerintahkan agar wanita dan lelaki untuk keluar mencari pendidikan.

Nabi Muhammad s.a.w telah membawa wanita keluar dari kegelapan masyarakat Arab Badawi dengan menegaskan bahawa wanita adalah kunci kepada keamanan dan kestabilan sekiranya mereka diberikan maruah, penghormatan dan hak yang sama rata.

1. Saidatina Khadija
Khadija binti Khuwaylid merupakan seorang ahli perniagaan wanita yang Berjaya, pernah berkahwin sebanyak dua kali, dan seorang ibu tunggal. Seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang cekal dan bekerja keras dalam dunia perniagaan yang didominasi lelaki, beliau mengambil alih perniagaan bapanya yang meninggal dunia, dan menguruskan perniagaan di seluruh rantau Arab.

Beliau kemudian berkahwin dengan seorang lelaki yang jauh lebih muda berdasarkan kejujuran dan nilai peribadi yang mulia- Nabi Muhammad s.a.w, dan percaya dan setia dengan kepercayaannya tanpa mengendahkan tekanan pihak luar. Beliau merupakan orang pertama yang menerima Islam, dan percaya pada suaminya dan setia bersama Baginda ketika seluruh dunia mula membenci.

2. Saidatina Aisha
Berkahwin dengan Nabi Muhammad s.a.w, Aisha terkenal dengan kepintaran, kecekapan, dan personalitinya yang menarik. Beliau adalah seorang bijak pandai, dengan himpunan ilmu pengetahuan.

Nabi s.a.w sendiri telah mengatakan bahawa separuh daripada iman itu dapat dipelajari hanya daripada Aisha. Beliau adalah pemimpin yang hebat, dan telah melatih dan mendidik para wanita dalam komunitinya.

Beliau juga pernah mengajar kumpulan lebih besar termasuk golongan lelaki. Meskipun selepas kematian Nabi s.a.w, para sahabat akan datang kepada Aishah sekiranya mempunyai persoalan atau kekeliruan.

Beliau sentiasa mempunyai jawapan untuk sebarang kekeliruan yang timbul.

3. Saidatina Fatima
Anak perempuan Nabi Muhammad s.a.w yang paling kecil, Fatima merupakan pengikut setia bapanya, mempertahankan Baginda serta menyokong di sepanjang misi menyebarkan Islam.

Meskipun menghadapi kesukaran dan dianiaya, beliau tetap tabah. Terdapat satu waktu di mana bapanya sedang solat, seorang musuh bernama Abu Jahal dan kawan-kawannya datang mengganggu dan meletakkan najis unta di atas Baginda yang sedang sujud.

Nabi s.a.w tidak dapat bangun selepas itu. Apabila Fatima melihat apa yang telah berlaku, beliau berlari dan menolak najis itu untuk membantu bapanya.

Sabar dan berani, beliau juga dikenali sebagai Fatima al-Zahra, yang bermaksud “Fatima yang bersinar.”

4. Khawla binti Azwar
Seorang pahlawan dan pejuang, Khawla dikenali sebagai seorang tentera yang berani dan begitu kuat sehinggakan ramai yang tidak menyedari bahawa beliau bukanlah seorang lelaki di sebalik semua kelengkapan perangnya.

Berjuang di bawah kepimpinan jeneral Muslim yang terkenal Khalid bin al-Walid, Khawla terkenal kerana memerangi tentera Bizantin dalam Perang Yarmouk pada tahun 636.

Beliau ditangkap dalam perang itu dan dibawa ke khemah pemimpin di mana dia merancang untuk memperkosanya. Walau bagaimanapun, Khawla mempunyai perancangan lain.

Semasa di dalam tawanan bersama tahanan wanita lain, beliau membuatkan mereka semua berjuang untuk melawan semula dan melepaskan diri dengan membunuh 30 tentera Byzantine di situ.

5. Rufaida Al Aslamiya
Kita mungkin terfikir bahawa Florence Nightingale merupakan pengasas kepada kejururawatan moden. Tetapi, Rufaida Al-Aslamia telah membawakan kemunculan jururawat kira-kira 1,200 tahun sebelum ini.

Seorang sahabat dan pengikut Nabi (s.a.w), Rufaida telah menerima latihan kejururawatan dan perubatan dari bapanya, yang merupakan perawat perubatan. Beliau memberikan pertolongan cemas dan air kepada tentera yang cedera sewaktu peperangan di awal kemunculan Islam.

Beliau juga melatih wanita dan remaja perempuan, dan mempunyai pasukan penyelamat di medan perang untuk keluar bersamanya. Malah dikatakan bahawa selepas perang berakhir, beliau meminta Nabi s.a.w untuk menyediakan khemah di dalam Masjid an-Nabawi di Madinah di mana khidmat jururawat disediakan, dan sebagai tempat untuk melatih jururawat baru.

Fakulti Jururawat di Universiti Aga Khan di Karachi, Pakistan telah dinamakan sempena nama beliau. Universiti Bahrain pula memberikan Anugerah Jururawat Rufaida Al-Aslamia pada setiap tahun.

6. Sumayyah binti Khayyat
Sumayyah adalah orang yang pertama mati syahid dalam sejarah Islam. Beliau berjuang untuk identiti sebagai seorang Muslim dan tidak peduli jika beliau terpaksa mati kerana kepercayaannya serta tidak pernah gentar.

Suaminya Yasir dan anak lelaki Ammar turut mengakui kepercayaan mereka. Ketika musuh Rasulullah s.a.w, Abu Jahal mengetahui tentang keIslaman mereka, dia meminta mereka mengesahkan kembali dan mereka menjawab ‘ya’.

Oleh kerana keluarganya berasal dari luar, mereka tidak mendapat perlindungan dari mana-mana puak atau kumpulan. Mereka dibawa pergi dan diikat, dibiarkan di bawah terik matahari Arab agar terbakar dan melepuh setelah disebat selama beberapa hari.

Sumayyah dan keluarganya enggan mengalah, dan ketika Abu Jahal hilang sabar dan membaling tombak menembusi tubuhnya, beliau masih tidak berpaling. Dia bertanya kepadanya yang sedang nazak adakah beliau akan melepaskan keislamannya.

Beliau meludahinya dan menyatakan “La ila ha illallah muhammadur rasulullah” (Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya) dan meninggal dunia.

7. Nusayba bint Ka’b al-Ansariyah
Juga dikenali sebagai Umm ‘Ammara, beliau adalah tentera perempuan pertama dalam Islam. Beliau merupakan salah seorang terawal yang memeluk Islam dari Madinah, dan merupakan sahabat Nabi (s.a.w).

Beliau mengambil bahagian dalam Perang Uhud dan berjuang dengan berani melawan orang Mekah, bahkan menggunakan tubuhnya sendiri sebagai perisai bagi melindungi Nabi s.a.w dari serangan yang kesannya menyebabkan beliau jatuh dan tidak sedarkan diri.

Tetapi sebaik sahaja sedar, beliau hanya risaukan keselamatan Nabi s.a.w dan bertanya adakah Baginda masih selamat.

8. Umm Salamah
Seorang isteri Nabi (s.a.w), beliau merupakan seorang teman dan penasihat kepada suaminya semasa rundingan Perjanjian Hudaibiyyah yang terkenal.

Sewaktu para sahabat Baginda tidak sependapat, beliau memberikan strategi yang membantu Baginda berasa lebih baik dan menyelesaikan masalah yang timbul.

Para sahabat mendapati beberapa istilah perjanjian itu menghina, termasuklah penyembelihan haiwan peliharaan mereka. Permintaan Rasulullah s.a.w kepada sahabatnya sebanyak tiga kali untuk mendengar arahan masih tidak berhasil.

Terlalu kecewa dan sedih dengan keadaan itu, Nabi s.a.w kembali ke khemahnya. Tetapi Umm Salamah dengan bijak menjelaskan bahawa realiti keadaan itu bukanlah sahabatnya tidak setia, tetapi agak terkejut dan bimbang tentang apa yang mereka harus korbankan.

Beliau mencadangkan agar Baginda memimpin dan mengorbankan haiwan peliharaannya dahulu serta mencukur kepalanya untuk memberi inspirasi kepada para sahabatnya.

Kesan tindakan ini adalah serta-merta, dan mereka segera mengikuti contoh yang diberikan oleh Baginda.

9. Fatima al Fihri
Fatima adalah anak perempuan seorang peniaga kaya yang menggunakan wang miliknya untuk cintanya kepada ilmu pengetahuan dan bagi memperkukuh jati diri.

Seorang wanita yang berpendidikan tinggi, beliau mendirikan universiti pertama di Fez, Morrocco yang kini dikenali sebagai Al Quaraouiyine, yang masih beroperasi sehingga kini dan mengurniakan ijazah kepada pelajarnya.

Bangunan asal sebenar adalah sebuah masjid yang dibina Fatima untuk komuniti di sana, yang telah berkembang menjadi institusi pendidikan.

Menurut UNESCO dan Guinness Book of World Records, ia adalah institusi tertua yang menganugerahkan gelaran, dan merupakan universiti pertama dan tertua di dunia.

10. Lubna dari Cordoba
Seorang ahli matematik dan intelektual, Lubna adalah setiausaha istana di zaman Khalifah Umayyah di Cordoba di bawah khalifah ‘Abd Al-Rahman III dan anaknya Al-Hakam.

Seorang bekas hamba, beliau bertanggungjawab menguruskan perpustakaan diraja, dan tugasnya termasuk menulis dan menterjemahkan manuskrip.

Beliau merupakan seorang penulis, penyair, dan ahli sains serta memainkan peranan penting dalam penubuhan perpustakaan Al-Andalus ‘Medina Azahara.

11. Zaynab binti Ali
Zaynab adalah anak perempuan khalifah keempat, Ali, dan anak perempuan Saidatina Fatima; beliau juga merupakan cucu Rasulullah s.a.w, dan dikenali kerana perwatakan dan tindakannya yang berani.

Zaynab mengiringi abangnya, Imam Hussein, semasa pertempuran Karbala. Pada masa ini dia telah dikenali sebagai ‘pahlawan perempuan Karbala’.

Penulis: Saira Bhatti / Penterjemah: Nordiana Ali / Sumber: My Salaam

Kredit Gambar: Sugiarto Kwan

ikalan saiz 250




iklan adnow

0 Response to " 11 Ikon Wanita Paling Berpengaruh Dalam Sejarah Islam"

Post a Comment

bh

loading...
'));

selection