Bagaimana Surah Ad-Dhuha Boleh Mengubah Kehidupan Kita?



iklan responsive



Kebanyakan daripada kita tahu dan hafal Surah Ad-Dhuha dan makna yang disampaikan agak mudah untuk difahami apabila berulang kali membacanya. Namun, adakah kita pernah sedar bahawa surah Ad-Dhuha sebenarnya telah memberi pendedahan berupa pengajaran dan kesannya dalam kehidupan seharian kita?

Surah ini telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW ketika Baginda tidak mendapat apa-apa wahyu langsung selama enam bulan (tidak termasuk mimpi). Ketika itu, fikiran Baginda berasa sangat terganggu dan tertekan sehingga Baginda mempercayai bahawa Allah Taala telah menyisihkannya dan tidak mahu lagi Baginda menjadi seorang Nabi.

Tidakkah dalam hidup kita juga merasai perasaan yang sama? Ketika kita merasakan tahap iman kita goyah, tiada lagi khusyuk dalam menunaikan solat dan tahap hubungan kita dengan Allah menurun?

Pada masa yang sama, kita juga merasakan setiap doa yang dipohon tidak akan dimakbulkan oleh Allah, segala solat yang dikerjakan terasa hanya sia-sia dan tidak mendatangkan kesan yang positif dalam diri. Anggapan yang lebih dahsyat sebagai seorang manusia biasa bahawa Allah tidak lagi peduli apatah lagi untuk mengasihi kita.

Disebabkan perkara-perkara itu, surah Ad-Dhuha telah diturunkan dan diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW untuk menyingkirkan segala sifat mazmumah dan sebaliknya menerapkan kepada diri Baginda tentang keamanan, sifat mahmudah dan yang paling penting tentang jaminan Allah tidak akan meninggalkan Baginda SAW dalam apa jua keadaan sekalipun.

Dari situ juga, dengan keadaan kita sebagai manusia biasa yang sering dilanda kesusahan, depresi, dan hilang tempat pergantungan, Allah akan memberi jalan untuk kita percaya pada pergantungan Allah di samping hidup dengan tenang dan aman.

Jadi, apa yang dikatakan dalam surah tersebut? Kita perhatikan pada setiap ayat satu persatu.

#1 – (وَالضُّحَىٰ ) – “Demi waktu Dhuha” (ketika matahari naik setinggi galah)

Perkara ini lah perkara pertama yang perlu kita dengar apabila kita mengalami tekanan – Bangun dan lihatlah cahaya matahari! Ingin diingatkan bahawa tiada keazaban dan kesuraman berlaku dalam hidup kita. Hanya perlu untuk bangun dan lihat cahaya sekitar kita.

#2 – ( وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى) – “Dan demi malam untuk menaungi kegelapan.”

Kenapa tiba-tiba pada ayat kedua, dinyatakan tentang kegelapan? Ia adalah bertujuan untuk memesan kepada kita bahawa malam dijadikan oleh Allah Taala untuk memberikan kita rehat dengan selesa.

Kebiasaannya, apabila kita dirundung dengan tekanan atau depresi, secara automatik, corak tidur kita akan mengalami perubahan seperti tersedar sepanjang malam atau tidur sepanjang hari.

Perkara seperti itu sebenarnya akan memberi kesan yang negatif kepada minda kita. Oleh hal yang demikian, ayat kedua dalam Surah Ad-Dhuha ini memberi peringatan bahawa Allah menjadikan malam untuk manusia dapat menenteramkan minda dan jiwa dari mengalami tekanan.

#3 – (مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ) – “Tuhanmu tidak meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak pula membencimu”
Ayat ketiga ini sungguh menakjubkan! Secara terangan Allah Taala telah memberi peringatan bahawa Dia tidak akan pernah melupakan, meninggalkan apatah lagi untuk membenci kita sebagai manusia yang lemah. Dia sentiasa ada untuk manusia yang beriman kepadaNya.

#4 – (وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْأُولَىٰ) – “Sesungguhnya, Akhirat itu lebih baik bagimu dari dunia”

Apabila kita mengalami stress dalam hidup, pasti banyak kali kita berfikir: Adakah pengakhiran hidupku ditakdirkan begini? Adakah tiada langsung perubahan yang baik dalam hidupku?

Apabila kita mempersoalkan tentang takdir hidup kita, ayat keempat dalam Surah Ad-Dhuha telah memberi jawapan yang terbaik.
Apabila kita mengalami kesedihan hingga menyebabkan depresi tentang hidup, Allah Taala telah menjelaskan dalam ayat empat tersebut iaitu kehidupan di dunia hanyalah sementara dan tiada kehidupan yang lebih baik untuk ditandingi melainkan kehidupan di Akhirat yang kekal abadi.

Apabila kita percaya bahawa Akhirat itu wujud dan merupakan tempat tinggal yang kekal, ia akan membantu kita untuk optimis pandang ke hadapan mengejar Jannah.

Seiring dengan perkara itu, ia juga membantu kita untuk percaya bahawa segala masalah, ujian dan cubaan yang dialami di dunia hanyalah sementara dan ketentuan Allah Taala buat kita sebagai hambaNya. Jika kita berjaya hadapi ujian itu dengan penuh keimanan, Syurgalah tempat yang terbaik untuk kita.

#5 – (وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰ) – “Dan sesungguhnya Allah akan memberi kepadamu (limpah kurniaNya) dan engkau tetap berpuas hati”

Ini merupakan janji Allah Taala kepada kita sebagai umat manusia bahawa Jannah merupakan ‘hadiah’ yang teragung jika kita melaksanakan perintahNya. Pastinya Allah akan membalas segala amalan kebaikan yang kita buat dengan membuatkan kita semua berasa gembira! Subhanallah!

Oleh itu, adakah perkara itu perkara yang terbaik untuk didengar setelah kamu dilanda kemurungan dan berasa tertekan dengan masalah yang dihadapi?

#6 – (أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ) – “Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu”

Melalui ayat keenam ini, Allah Taala telah memberi alasan untuk kita percaya akan janjiNya yang telah dijelaskan pada separuh pertama ayat Ad-Dhuha ini. Apabila ayat keenam ini disuarakan, pasti ramai antara kita berfikir: Bagaimana ayat yang menjurus tentang anak yatim berkaitan dengan kita?

Cuba renungkan. Berapa banyak kali dalam hidup anda ketika ditimpa kesakitan atau berasa kesunyian, anda merasakan tiada sesiapa yang peduli tentang anda? Siapa pula yang satu-satunya ada untuk anda pada ketika itu? Jawapannya Allah! Dia yang sentiasa menjaga anda dan membimbing anda mengubah kehidupan dari kemungkaran ke arah kebaikan.

#7 – (وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ)– “Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang tiada pedoman lalu Dia memberi hidayah kepadamu”
Berapa ramai daripada kita telah menyimpang ke arah kesesatan dari Islam yang sebenar lalu telah menemui dirinya kembali? Walaupun hakikatnya kita dilahirkan sebagai seorang Muslim?

Sesungguhnya, pada ketika itu Allah jua lah yang telah memberi nur dan hidayah lalu membawa kita kembali ke jalan yang lurus lalu tunduk kepadaNya. Di samping itu, secara tidak langsung telah mempraktikkan kehidupan kita sebagai seorang Muslim. Alhamdulillah!

#8 – (وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَىٰ)– “Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang miskin, lalu Dia memberikan kekayaan”

Dalam kehidupan seharian, mungkin kebanyakan daripada kita pernah melalui tempoh kekurangan wang dan harta. Kini, apabila kita imbas kembali, barulah kita sedar bahawa dalam kesukaran kewangan yang ditakdirkan untuk kita hadapi, hanya Allah yang memberi rezeki kepada kita dalam apa jua bentuk.

Jadi, apabila seseorang berada dalam tekanan, berinya contoh tentang bagaimana Allah Taala boleh membantunya menjadi lebih kental dalam mengharungi setiap dugaan yang datang dan percayalah janji Allah itu pasti.

#9 – (فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ) – “Maka terhadap anak-anak yatim, janganlah engkau berlaku sewenang-wenangnya”

Ayat ini menunjukkan penawar terbaik kepada masalah tekanan!
Kebanyakan orang yang mengalami tekanan hidup, mereka merasakan hidup mereka tiada lagi gunanya dan merasakan juga tiada siapa yang lebih teruk berbanding hidupnya.

Ayat ini mengingatkan kita jika kita berasa tertekan dan hilang harapan untuk hidup, lihatlah kehidupan orang yang jauh lebih susah dari kita. Cuba lihat anak-anak yatim. Mereka tiada sesiapa apatah lagi insan-insan yang menyayangi dan menjaga mereka. Dibandingkan dengan kita yang ada keluarga, tempat tinggal dan makanan disediakan di atas meja, masih menganggap kehidupan kita tidak baik? Subhanallah!

#10 – (وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ) – “Dan terhadap orang yang meminta-minta, janganlah engkau mengherdiknya”

Satu lagi contoh ialah pengemis – Ia adalah satu pengajaran dan peringatan kepada kita tentang Allah Taala telah banyak menurunkan rezeki berupa kebendaan kepada kita – makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Berapa ramai antara kita yang pernah tidur dalam kelaparan? Berapa ramai antara kita yang tiada pakaian untuk menutup tubuh? Berapa ramai lagi antara kita yang tiada rumah untuk dituju?

Contoh-contoh yang melibatkan anak-anak yatim dan pengemis ini adalah untuk mengajar kita supaya sentiasa bersyukur dengan keberkatan yang Allah Taala telah berikan kepada kita tanpa Dia meminta kembali.

Syukur ini juga sebenarnya satu cara untuk kita mengatasi masalah kemurungan yang melanda dalam diri kita. Dengan rasa syukur, hubungan kita dengan Allah kembali terjalin.

#11 – (وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ)– “Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan (dengan bersyukur”

Ayat terakhir ini adalah mengenai cara untuk mengekalkan iman dan ikatan dengan Allah Taala iaitu melalui pemikiran, kemuliaan dan percakapan tentang keberkatan Allah!

Baik dari segi halaqah, perbincangan dengan ahli keluarga dan kawan-kawan atau pun melalui dakwah. Selain daripada itu, untuk sentiasa dekatkan hati dengan Allah Taala, haruslah memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir dan menghadiri kuliah-kuliah agama lalu menghayatinya.

Jadi, seandainya suatu masa nanti anda merasakan iman anda goyah, dirundung kekecewaan dan kemurungan hingga terputusnya hubungan dengan Allah Taala, bacalah Surah Ad-Dhuha dan hayati seluruh maknanya. InshaAllah, ia akan memulihkan kepercayaan anda sekali gus meningkatkan keyakinan anda terhadap hebatnya kekuasaan Allah Taala.


Sumber: Tazkirah.net


ikalan saiz 250




iklan adnow

0 Response to "Bagaimana Surah Ad-Dhuha Boleh Mengubah Kehidupan Kita?"

Post a Comment

bh

loading...
'));

selection