iklan responsive
Azan adalah kalimat yang sentiasa berkumandang di
negara kita. Sebagai Muslim, seruan azan ini amat penting kerana ia menjadi
tanda masuknya waktu solat fardu lima kali sehari semalam. Mereka yang
menunggu-nunggu waktu solat dinyatakan oleh Rasulullah SAW sebagai antara
tujuh golongan yang mendapat perlindungan di akhirat kelak.
Gambaran tentang keadaan di mahsyar sudah banyak
kita dengar dan baca. Umumnya ia adalah keadaan yang amat sulit dan sukar
diluahkan dengan kata-kata. Bagi menggambarkan suasana itu, Allah berfirman
yang bermaksud:
“Pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya,
daripada ibu bapanya, daripada isteri dan anak-anaknya. Setiap orang daripada
mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya”. (Abasa:
34-37)
Di mahsyar, jutaan manusia berkumpul, tingkah
lakunya tidak keruan, merasakan sangat lapar dan dahaga, panas terik kerana
matahari berada sejengkal di atas kepala. Masing-masing sangat susah sehingga
badannya panas, otaknya mendidih, menangis dengan keluh kesah dan menyesal.
Menyesali perbuatannya ketika di dunia.
Keadaan yang sangat panas menyebabkan peluh mengalir
deras persis diperah. Peluh orang sekian banyak memenuhi mahsyar sehingga
seperti air bah. Semua orang tenggelam oleh banjir peluh.
Ada yang sampai buku lali, ada yang sampai ke betis,
ada yang sampai ke lutut, ada yang sampai ke paha dan ada yang tenggelam terus
dalam peluh. Semua itu menurut dosa masing-masing ketika di dunia.
Setelah manusia merasakan kesusahan yang tidak terhingga
beribu tahun lamanya, dan kesudahan yang mencapai puncaknya, maka mereka
mencari syafaat (pertolongan) para nabi supaya memohon syafaat kepada Allah.
Justeru amat penting bagi kita berusaha melakukan
amalan yang mana akan menjamin Rasulullah SAW memberi syafaat dalam saat-saat
yang sangat genting di mahsyar. Antara amalan yang mudah tetapi mampu memberi
syafaat adalah membaca doa selepas azan. Sayangnya masih ramai yang tidak
mengambil serius bab ini.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya;
“Siapa yang mengucapkan selepas mendengar azan:
Allaahumma Rabba hadzihi al-da’wati al-taammati wa al-solati al-qa-imah, Aati
Muhammadan al-wasilata wa al-fadhilah, wab’atshu Maqaman Mahmudan alladzi
wa’adtah” (Ya Allah, Tuhan pemilik seruan yang sempurna ini dan solat yang
didirikan, berilah kepada Muhammad al-wasilah dan kelebihan, dan bangkitkan
baginda di kedudukan terpuji yang telah Engkau janjikan baginya); maka halal
baginya syafaatku pada hari kiamat. (Riwayat Bukhari)
Secara umum, syafaat bererti perantara seseorang
dengan yang lain; sama ada antara manusia dengan manusia, atau dalam isu ini
antara hamba dengan Allah, demi mendapat maslahat atau menolak mudarat. Syafaat
Nabi SAW bermaksud Rasulullah SAW menjadi perantara antara umat baginda dengan Allah
SWT.
Rasulullah SAW dikurniakan syafaat Al-Uzhma (yang
paling besar) seperti yang disebut dalam hadis di mana semua nabi menolak
memberi syafaat sehingga akhirnya manusia pergi kepada Nabi Muhammad SAW.
Kedua, syafaat kepada ahli syurga untuk masuk syurga.
Rasulullah akan menjadi penghulu bagi seluruh ahli syurga.
Ketiga, syafaat untuk pak cik baginda, Abu Talib.
Walaupun mati dalam kekufuran, disebabkan beliau menjaga nabi daripada gangguan
kafir Quraisy, Allah mengizinkan Rasulullah memberi syafaat kepadanya dengan
dikurangkan azab neraka ke atasnya. Azab paling minimum itu di mana api neraka
hanya sampai di pergelangan kakinya pun begitu, ia menggelegakkan otak.
Keempat, syafaat untuk mengeluarkan pelaku dosa
besar atau kecil dari neraka dan dimasukkan ke syurga, dan kepada orang yang
masuk neraka untuk tidak masuk neraka.
Sumber: Utusan
ikalan saiz 250
iklan adnow
0 Response to "Sesiapa Yang Membaca Doa Ini Selepas Azan, Maka Halal Baginya Syafaat Nabi Muhammad SAW Di Hari Kiamat Nanti!!! SEBARKAN UNTUK MANFAAT SEMUA!!!"
Post a Comment