iklan responsive
Perhatian!! Kenapa Solat Atas Kerusi Menjadi Haram?
Inilah Penjelasannya
Mukadimah
Solat merupakan suatu ibadah yang paling besar dalam
kehidupan setiap insan yang beragama Islam. Perintah untuk bersolat dalam
setiap keadaan baik ketika bermusafir atau bermukim, dalam keadaan sakit atau
sihat, sama ada solat dilakukan secara berdiri, duduk, atau dalam keadaan
berbaring, semua ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya kedudukan solat di
dalam agama kita.
Kebelakangan ini, kami sering diajukan soalan
berkenaan permasalahan solat secara duduk di atas kerusi. Justeru, dalam
ruangan Tahqiq al-Masail edisi kali ini kami akan mengupas berkenaan satu isu
penting yang sering menjadi pertanyaan di minda masyarakat awam dengan tajuk
yang kami namakan: Persoalan Dan Juga Hukum-Hakam Yang Berkaitan Dengan Isu
Solat Duduk Di Atas Kerusi.
Kedudukan Solat Di Dalam Kehidupan
Peri pentingnya solat dapat dilihat melalui beberapa
nas dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Berdasarkan sebuah riwayat daripada
Abdullah Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ
إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ
وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: Dibina Islam itu di atas lima iaitu
kalimah La Ilaaha IllaLlaah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan
Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di
baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.
Riwayat Muslim (16)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa ibadah solat
adalah merupakan salah satu rukun daripada lima rukun Islam yang wajib
dilaksanakan bagi setiap muslim yang mukallaf.
Hukum Solat Secara Duduk Di Atas Kerusi
Di antara dalil yang membolehkan seseorang itu solat
dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri adalah
sebuah riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau mengadu kepada
Rasulullah bahawa dirinya mengalami penyakit buasir. Maka Rasulullah S.A.W
bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ
لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri,
sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk,
dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas
lambung.
Riwayat Al-Bukhari (1117)
Kata Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah apabila
mensyarahkan hadis ini: Hadis ini menunjukkan bahawa tidak dibolehkan seseorang
yang sakit itu berpindah kepada duduk (ketika solat) melainkan setelah dia
tidak mampu untuk berdiri.
Telah berkata ‘Iyadh daripada Imam al-Syafie dan
daripada Imam Malik, Imam Ahmad serta Ishak bahawa tidak disyaratkan tidak
mampu berdiri bahkan cukup jika wujudnya masyaqqah (kesusahan).
Yang makruf di sisi ulama’ al-Syafie’yyah bahawa
yang dimaksudkan dengan ternafinya kemampuan dengan wujudnya kesusahan yang
berat sekiranya berdiri, atau dikhuatiri sakit itu semakin teruk atau berlaku
kerosakan dan tidaklah berpada dengan masyaqqah (kepayahan) yang ringan.
Antara kesusahan yang berat itu adalah seperti
pening kepala pada hak orang yang menaiki kapal dan takut akan tenggelam jika
dia solat dalam keadaan berdiri di dalam kapal tersebut. Adakah dikira tidak
mampu (berdiri) seseorang yang bersembunyi ketika berjihad dan jika dia solat
dalam keadaan berdiri maka musuh akan melihatnya. Maka dengan itu, dibolehkan
baginya untuk solat dalam keadaan duduk atau tidak pada waktu itu. Terdapat
pada masalah ini dua pandangan disisi ulama’ al-Syafie’yyah, yang paling tepat
adalah dibolehkan tetapi perlu diqadha’ kerana itu adalah uzur yang jarang
berlaku. Lihat: Fath al-Bari, Ibn Hajar (588/2).
Pendapat Para Fuqaha
Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya
seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau
bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut
tenggelam (jika solat berdiri) ataupun dia berasa pening kepala maka dia boleh
untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’
Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).
Kata Imam Al-Nawawi dalam Al-Majmu’, Al-Nawawi
(4/226) lagi: Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk
berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan
solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara
duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan
keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W
bersabda:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ
يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun
dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang
dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam
keadaan sihat.
Riwayat al-Bukhari (2774)
Manakala Imam Al-Syaukani Rahimahullah ketika
mengulas hadis Imran bin Husein R.A di atas berkata: Hadis Imran menunjukkan
kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya
tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang
mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh
untuk solat di atas lambungnya. Rujuk Nail Al-Authar, Al-Syaukani (3/243).
Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah: Telah
ijma’ (sepakat) para ulama bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat
secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk. Lihat Al-Mughni, Ibn
Qudamah (1/443).
Keadaan Yang Membolehkan Seseorang Solat Secara
Duduk
Di dalam kitab-kitab feqh para ulama terdahulu,
terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang
membolehkan seseorang itu solat secara duduk. Berikut kami nyatakan beberapa
contohnya:
Tidak mampu untuk berdiri.
Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk
sekiranya dia bersolat secara berdiri.
Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun
perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri
di atas kenderaan tersebut.
Seseorang yang berasa pening kepala.
Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.
Solat di atas kapal terbang jika dikhuatiri jatuh
apabila dilakukan solat secara berdiri.
Solat di dalam keretapi seperti perkhidmatan ETS
(Electric Train Service) dan seumpamanya.
Seseorang yang mengalami penyakit salis al-baul.
Yang mana jika dia berdiri akan menyebabkan air kencingnya mengalir.
Ini semua adalah berdasarkan kata-kata Imam
Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu
takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang
berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang
berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu
untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).
Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh
Imam Al-Ramli yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat
secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan
kekhusyukan semasa solat. Lihat Al-Taqrirat Al-Sadidah, Hasan Bin Ahmad Al-Kaf
(214).
Kata Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini: Aku
berpandangan bahawa kriteria tidak mampu berdiri itu adalah sekiranya dia
berdiri, akan menyebabkan masyaqqah yang menghilangkan kekhusyukannya. Rujuk
al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (4/310).
Selain itu, kami juga menyatakan bahawa dibolehkan
juga bagi sesiapa yang melakukan solat di atas kapal terbang untuk solat secara
duduk demikian juga halnya bagi sesiapa yang menaiki keretapi dan ingin
melakukan solat di dalamnya.
Tatacara Solat Duduk Di Atas Kerusi
Bagi sesiapa yang mempunyai kepayahan untuk solat
secara berdiri disebabkan oleh penyakit ataupun perkara selainnya, berikut kami
nyatakan beberapa tatacara yang boleh dilakukan untuk solat dalam keadaan
tersebut:
Secara asasnya, jika seseorang itu mampu berdiri
untuk solat dan tidak mampu untuk rukuk dan sujud, hendaklah dia berdiri
terlebih dahulu. Kemudian baru dia duduk dan melakukan rukuk dan sujud.
Pada asasnya, yang paling utama adalah solat duduk
di atas lantai. Sekiranya tidak mampu, maka dibolehkan untuk solat secara duduk
di atas kerusi.
Sekiranya seseorang solat duduk di atas kerusi dan
tidak mampu untuk berdiri ketika takbiratul ihram, maka dia boleh untuk
melakukannya secara duduk.
Sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri maka
dibolehkan untuknya duduk atas kerusi. Manakala rukuk dan sujud dilakukan
sebagaimana biasa.
Sekiranya dia mampu untuk berdiri, namun berasa
payah untuk rukuk dan sujud, maka hendaklah dia solat secara berdiri kemudian
dia rukuk dan sujud di atas kerusi.
Dalam kes ini, perbuatan rukuk dan juga sujud
dilakukan secara isyarat sahaja. Iaitu seseorang itu mengisyaratkan kepalanya
dengan tunduk sedikit semasa rukuk dan juga menundukkan kepalanya lebih sedikit
dari kadar tunduknya semasa rukuk apabila beliau bersujud.
Imam Nawawi Rahimahullah menyatakan: “Dan jikalau
lemah seseorang itu (yakni musalli) daripada berdiri, maka (bolehlah) dia duduk
seperti mana yang dia ingini.” Ertinya, seseorang yang solat duduk dalam apa
kaedah duduk pun maka solatnya sah dan tidak batal. Yang berbeza hanyalah dari
segi afdaliyyah (kelebihan). Berkata Imam al-Nawawi lagi: “Dan duduk secara
iftirasy itu lebih afdal berbanding duduk bersila menurut pendapat yang
azhar dan dimakruhkan duduk al-Iq`a’.
Rujuk Minhaj al-Thalibin, Imam al-Nawawi (Hlm. 45).
Berdasarkan kepada kata-kata al-Nawawi di atas, kami
berpandangan apabila dikatakan yang kita boleh solat duduk dalam apa keadaan
sekalipun maka ia termasuklah solat duduk di atas kerusi bagi yang mempunyai
keuzuran. Solatnya dikira sebagai sah dan tidak batal.
Hukum Bersandar Ketika Menunaikan Solat
Di dalam mazhab Imam al-Syafie, seseorang yang
bersolat secara berdiri tetapi bersandar atau bergantung pada sesuatu seperti
dinding, manusia atau tongkat, maka hukum solatnya adalah sah dengan hukum
makruh. Ini jika tiada keuzuran yang membolehkan bersandar. Jika terdapat
keuzuran maka tidak ada hukum makruh di situ. Lihat al-Mu’tamad Fi Fiqh
al-Syafie, al-Zuhaili (1/243).
Kata Imam al-Khatib al-Syarbini: Sekiranya seseorang
itu bersandar kepada sesuatu seperti dinding solatnya sah berserta karahah
(makruh). Beliau berkata lagi: Sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk
berdiri disebabkan masyaqqah yang berat maka dia boleh duduk sebagaimana yang
dia mahu. Rujuk al-Iqna’, al-Khatib al-Syarbini (Hlm. 184).
Berdasarkan kenyataan ini, kami berpendapat bahawa
sekiranya seseorang yang solat bersandar juga dikira sebagai sah solatnya, maka
begitulah juga solat seorang yang duduk dalam keadaan bersandar. Lebih-lebih
lagi bersandarnya dia itu disebabkan keuzuran yang diambil kira oleh syarak.
Ini kerana, duduk apabila tidak mampu mengambil maqam berdiri dalam solat bagi
yang mampu. Jika bersandar semasa berdiri tidak membatalkan solat, demikian
jugalah bersandar semasa duduk ketika menunaikan solat.
Beberapa Cadangan Atau Dhawabit
Kami sebutkan di sini beberapa dhawabit dan juga
cadangan bagi sesiapa yang ingin melaksanakan solat secara duduk di atas kerusi
seperti berikut:
Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para
jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan
kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas
kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
Kami juga mencadangkan bahawa kerusi yang digunakan
hendaklah bersaiz kecil dan tidak terlalu besar, ini supaya keseragaman saf
dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah yang lain.
Ketika seorang itu solat secara duduk, kedudukan
belakang badannya hendaklah selari dengan orang yang solat di sebelahnya.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah kami melihat dan menekuni permasalahan ini,
kami yakin dan percaya bahawa Islam merupakan suatu agama yang memberi rahmat
kepada sekalian alam. Demikian juga Islam itu bersifat dengan قلة التكاليف
(sedikit taklif) serta عدم الحرج (tidak
menyusahkan). Ini berbetulan dengan firman Allah S.W.T:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ
الْعُسْر
Maksudnya: Allah mahukan kemudahan untuk kamu dan
Dia tidak mahukan kepayahan buat kamu.
Surah Al-Baqarah (185)
Begitu juga firman-Nya:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: Dan tidaklah Allah menjadikan ke atas
kalian kepayahan di dalam agama.
Surah Al-Hajj (78)
Imam al-Thabari Rahimahullah ketika menafsirkan ayat
di atas ini, beliau menukilkan beberapa pendapat ulama tafsir seperti Ibn
Abbas, A’isyah, Abu al-‘Aliyah, serta Al-Hasan bahawa yang dimaksudkan
dengannya adalah: Tidak Allah jadikan kesempitan dalam beragama kepada umat
Muhammad S.A.W. Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (18/690).
Oleh itu, berkenaan isu solat secara duduk di atas
kerusi maka kami nyatakan di sini bahawa hukumnya adalah sah sebagaimana yang
telah kami bahaskan di atas. Demikian juga solat duduk yang dilakukan secara
bersandar, maka hukumnya sah seperti yang kami jelaskan di atas. Akan tetapi
ianya perlulah menepati syarat-syarat serta dhawabit yang telah disebutkan.
Yang penting adalah perlaksanaan solat mengikut apa
yang telah dinyatakan oleh syarak serta apa yang telah diajarkan oleh para
fuqaha dan ulama dalam memberikan solusi yang berkaitan dengan isu ini. Solat
yang menjadi tiang agama perlulah dilaksanakan dengan sebaiknya dengan meraikan
segala rukun dan juga syarat-syaratnya.
Semoga pencerahan melalui ruangan Tahqiq Al-Masail
ini dapat memberikan kefahaman serta merungkaikan kekeliruan kepada kita semua.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T supaya menerima segala amalan soleh
yang kita lakukan serta menggolongkan kita di dalam hamba-hamba-Nya yang
beriman. Ameen.
Akhukum Fillah
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
20 Februari 2017 bersamaan 23 Jamadil Awal 1438 H
Editor :- Suaramedia.org
ikalan saiz 250
iklan adnow
0 Response to "Perhatian!! Kenapa Solat Atas Kerusi Menjadi Haram? Inilah Penjelasannya(sila share dan sebarkan)"
Post a Comment