iklan responsive
Ada manusia, diuji dengan ujian harta benda. Ada
juga, yang diuji dengan hal rumahtangga.
Tidak terlepas, ada yang diuji dengan jodoh yang
tidak kunjung tiba walaupun sudah berkali-kali usaha.
“Bila giliran awak pula?”
Ini satu persoalan biasa yang diterima apabila
seseorang itu sudah menginjak umur dewasa. Soalan ini juga boleh jadi satu isu
yang sensitif malah traumatis buat mereka yang masih belum berkahwin.
Apatah lagi, yang masih belum ketemu dengan calon
pasangan hidup mereka. Bahkan, buat mereka yang sudah merancang masa depan
dengan calon yang ada, namun timbul masalah lain pula yang membantutkan langkah
mereka.
Keterangan Lanjut
Sebagai seorang hamba kepada “Tuan” yang paling
baik, Allah S.W.T Yang Maha Mencinta, Yang Maha Mengasihi hamba-hambaNya, maka
tidak mungkin bagi Dia menguji untuk menyiksa jiwa kita.
Bahkan, ujian yang dicampakkan merupakan satu
petanda bahawa Dia yang paling mencintai diri kita. Hanya kita yang perlu
bersangka baik denganNya.
Oleh itu, buat anda yang pernah atau sedang merasai
ujian ini, marilah sama-sama reset jiwa dengan memahami 5 Hikmah Diri Diuji
Dengan Ujian Jodoh.
1- Peluang Berbakti Kepada Ibu Bapa
Yakini bahawa salah satu hikmah Allah menetapkan
lewatnya jodoh kerana mahu memberi peluang untuk kita mencintai orang tua yang
sudah lama menjaga dan menyayangi kita dari kecil sehinggalah dewasa.
Mungkin dahulu, kita terlalu sibuk menuntut ilmu dan
segala aktiviti di zaman remaja, sehingga kurangnya masa bersama orang tua
kita. Nanti bila sudah berkahwin pula, bakal sibuk dengan rumahtangga pula.
Maka, inilah peluang terbaik untuk berkhidmat kepada
mereka dengan sebaiknya. Sekiranya anda merupakan seorang anak perempuan,
anggaplah bahawa mentaati ibu bapa merupakan latihan buat diri sebelum beralih
mentaati seorang lelaki yang bergelar suami.
2 -Peluang Memperbaiki Diri
Sebenarnya, ramai yang sangka pernikahan itu mudah
dan indah. Namun, sebenarnya, pernikahan merupakan satu tanggungjawab yang
besar.
Ibaratnya, ia adalah peralihan kehidupan seorang
hamba ke suatu tahap yang dirinya bakal lebih lagi diuji daripada hidup yang
sebelumnya bersendiri.
Manakan tidak, kehadiran bukan cuma seorang, malah
lebih ramai manusia yang bakal masuk ke dalam diari hidup yang seterusnya
nanti.
Maka dengan itu, banyak persediaan yang perlu
dilakukan sebelum menjejakkan diri ke alam pernikahan.;
1. Mantapkan kewangan: Menghadiri kelas-kelas atau
seminar mengenai pengurusan kewangan
2. Mantapkan ibadah: Sekiranya benar-benar mahu
bernikah, siap sediakanlah diri dengan ibadah yang mantap dan istiqamah. Kerana
perubahan ke arah kebaikan itu bukan senang untuk bermula sekelip mata selepas
majlis walimah.
3. Mantapkan ilmu: Antara ilmu yang penting untuk
dipelajari sebelum ke alam rumahtangga adalah tanggungjawab sebenar suami dan
isteri dan pendidikan anak-anak di dalam Islam
Ilmu-ilmu ini sangat penting sehingga adanya
buku-buku dan bahan bacaan yang boleh dijadikan rujukan.
Sebagai contoh, Kitab Muhimmah, karangan Syeikh
Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani dan Kitab Tarbiyatul Aulad Fil Islam,
karangan Dr Abdullah Nasih Ulwan.
3- Pengalaman Mengajar Diri
Apabila ada yang diuji dengan percubaan mencari
jodoh berkali-kali, ini sebenarnya membuahkan satu pengalaman berharga buat
diri. Bukankah ujian itu mematangkan?
Ada orang, sudah siap berkenalan. Tiba-tiba,
terputus pula di tengah jalan.
Ingatlah, Allah pertemukan dengan si dia, pasti ada
hikmahnya. Setiap manusia yang hadir dalam kehidupan kita sebenarnya telah
Allah hadirkan bagi mengajar sesuatu buat diri kita.
Sama ada mengajar bahawa wujudnya manusia yang
berperangai sebegitu dan sebegini, atau mengajarkan sesuatu yang lebih
bermakna, iaitu jangan mengharapkan selain Dia sahaja.
Sebab itu, pentingnya apabila hadir seseorang yang
mahu berkenalan dengan kita, jangan gelojoh memikirkan ‘Dialah jodohku
sebenarnya!’
Tetapi fikirkan, ‘Adakah yang datang ini jodohku
atau ujian?’
4- Allah Mahu Hadiahkan Yang Lebih Baik
Adakala, kita terlalu mengharap pada seseorang. Hati
kuat mengiyakan bahawa dialah jodoh kita yang sebenarnya.
Tetapi, rupa-rupanya, takdir Allah tidak menentukan.
Kita rebah sendiri dalam kesedihan. Awas, jangan terlalu ikutkan perasaan.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat
baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk
bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”
Surah al-Baqarah: 216
Sekiranya Allah mengambil sesuatu, sebenarnya Dia
mahu memberikan sesuatu yang lebih baik. Anggaplah usaha yang sudah pun
dilakukan itu sebagai satu ujian.
Kemudian, apabila gagal, jangan mudah putus asa.
Yakini bahawa ada yang lebih baik yang Allah simpankan buat kita.
Amalkanlah doa yang Rasulullah pernah ajarkan kepada
kita. Semoga ada pengganti yang lebih baik Allah berikan semula.
Keterangan Lanjut
5- Belajar Mencintai Allah
Apabila jodoh belum ditakdirkan buat kita, pasakkan
dalam diri bahawa ini peluang untuk kita mula bercinta dengan Allah,
mendekatkan diri dengan Allah.
Sebenarnya Allah sedang memberikan peluang buat kita
untuk belajar mencintai Allah Yang Maha Esa sebelum mencintai manusia yang
penuh dosa.
Hakikatnya, cinta Allah tidak pernah mengecewakan,
sedangkan cinta manusia selalunya menghampakan.
Allah jualah pemilik sebenar cinta. Dia jugalah yang
mencintai hambaNya dengan sebenar-benar cinta.
Yakinlah bahawa Allah terlalu sayangkan kita
sehingga Dia memberi peluang untuk kita mantapkan cinta padaNya dahulu sebelum
mencintai manusia ciptaanNya.
Kesimpulan
Semoga dengan memahami hikmah-hikmah yang disebutkan
tadi, anda menjadi lebih berlapang dada apabila diajukan dengan soalan
‘sensitif’ seperti tadi.
Biarlah orang mahu mengatakan apa. Manusia tidak
memahami apa-apa. Hanya Allah yang berhak ke atas diri setiap hamba-Nya. Jadi,
balaslah dengan perkataan yang baik-baik sahaja
KONGSIKAN ARTIKEL INI
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku
walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan
artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah ramai
yang akan mendapat manafaat.
ikalan saiz 250
iklan adnow
0 Response to "yang belum berkahwin dan belum mempunyai calon suami/isteri baca ini.5 Hikmah Diuji Dengan Ujian Jodoh"
Post a Comment