iklan responsive
Dunia adalah destinasi yang kita sedang hadapi
sekarang. Sebelum menjejak ke alam seterusnya iaitu barzakh, kita akan diuji di
atas dunia ini terlebih dahulu.
Walau dunia bersifat sementara, namun ramai yang
masih tertipu dengan keindahan dunia yang palsu dan seketika. Terperdaya dengan
pangkat, harta dan wanita.
Tempat persinggahan ini sesetengah daripada kita
menyangka dan menganggap ia kekal dan abadi. Mengejar dunia tanpa kesudahan dan
tertinggal amal dan bakti.
Mari kita susuri 3 pesanan tentang dunia. Semoga
menjadi peringatan kepada kita untuk menghadapi kehidupan dunia agar tidak
tersasar daripada kebenaran.
1 – Jangan Hanya Memikirkan Balasan Dunia
Semata-Mata
“Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja
(maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan
akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
Surah an Nisa’:134
Keterangan Lanjut
Sikap manusia memang mahukan hasilnya diterima
dengan segera. Lagi cepat lagi baik. Contohnya, bila bekerja mahukan gaji.
Tiada upah dan gaji belum tentu kerja itu ingin dilakukannya.
Hakikatnya, kehidupan kita bukan hanya di dunia
sahaja. Tetapi di akhirat nanti kita akan dihidupkan dan menerima pembalasan
atas perbuatan kita di dunia.
Baik atau buruk walau sekecil zarah pun kita akan
ditanya di akhirat sana oleh Allah S.W.T. Tidak tertinggal sedikit pun.
Jadi bersabarlah dalam melakukan kebaikan. Jika
tidak hari ini kita menerima balasan, pasti di akhirat kita mendapat ganjaran
pahala.
Begitu jugalah dengan perbuatan jahat yang
dilakukan, jika di dunia perbuatan jahat terlepas dan tidak dapat dijejaki oleh
pihak berkuasa, ingatlah di akhirat nanti, hukuman yang adil akan menimpa
mereka.
Janji Allah itu pasti! Jadi jangan putus semangat dalam
melakukan kebaikan dan jangan terjebak dengan kerja kejahatan. Segala yang
dilakukan pasti akan menerima pembalasan nanti. Kita bukan ada dunia sahaja,
tetapi kita juga ada akhirat di sana.
2- Dunia Penuh Dengas Permainan Yang Sia-Sia
“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan
permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya
negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu,
tidakkah kamu mahu berfikir?”
Surah al An’am: 32
Dunia penuh dengan hiburan yang melalaikan dan
sia-sia. Ramai manusia yang tertipu dengan permainan dunia.
Terleka dan hilang arah tujuan. Berhibur hingga
terlupa tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah S.W.T.
Jika dunia ini hanya sekadar berhibur semata,
alangkah ruginya kehidupan ini. Keseronokkan di dunia tidaklah menyamai dan
menandingi keindahan di syurga.
Syurga itu adalah sebaik-baik ciptaan Allah untuk
hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa. Ia kekal abadi.
Manakala di dunia ini adalah syurga untuk orang
kafir. Dan penjara bagi orang Islam. Pilihlah mana pilihan kita. Dunia yang
bersifat sementara atau akhirat yang kekal abadi selamanya?
Kita sebagai umat Islam seharusnya meletakkan dunia
di tangan dan bukan di hati. Jika diletak dihati, dunia akan dijadikan tujuan
hidup. Dunia akan pergi, akhirat akan menanti.
3- Dunia Hanya Tempat Persinggahan Seketika
“Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada
hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak
tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka
akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang
telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak
mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).”
Surah Yunus : 45
Dunia dan akhirat, bandingannya sangat jauh sekali.
Jarak masa dan suasana yang berbeza. Apabila direnung kembali, kehidupan kita
di dunia cukuplah singkat sekali. Ibarat seperti sesaat sahaja kita hidup di
dunia.
Jika kita sedar kehidupan dunia sekadar sesaat, kita
tidak akan ada masa lagi untuk mengumpat, menfitnah dan membuat dosa. Kerana
masa yang ada sangatlah terhad dan pendek. Gunakanlah masa kita dengan menambah
amalan untuk dibawa ke sana.
Bila kita berfikiran yang dunia hanya sekadar sesaat
sahaja umpamanya di akhirat, kita akan menguruskan kehidupan kita dengan
sebaiknya. Pasti ada sahaja amal baik akan dilakukan pada waktu yang tersisa.
Pandanglah Dunia Dengan Mata Iman
Dunia perlulah dipandang dengan mata iman dan bukan
dengan mata nafsu. Jika dipandang dengan mata nafsu, memang segala yang
dimiliki rasa tidak cukup.
Harta sudah memenuhi rumah, tetapi masih belum
berpuas hati. Berbeza jika memandang dengan mata iman, rasa cukup dengan apa
yang ada, malah disedekahkan pula rezeki yang ada.
Bayangkanlah, dunia ini hanyalah ibarat seorang
musafir yang sedang berehat di bawah pohon untuk menghilangkan lelah dari
perjalanan yang jauh. Itulah dunia yang sebenar.
Selepas hilang keletihan, pemusafiran diteruskan
semula. Berjalan menuju destinasi seterusnya. Iaitu alam barzakh.
Salahkah Kaya Dalam Islam?
Setelah kita mengetahui 3 pesanan di atas, mungkin
ada sebilangan yang berkata pada diri sendiri;
‘Kalau macam tu, baik hidup miskin. Dunia ni bukan
lama. Duit pun tak dibawa mati.’
Sebelum memberi kesimpulan, baik berfikir dengan
mata hati. Cubalah pandang kekayaan itu untuk mencari keredaan Allah dan sumber
pahala. Jangan memandang negatif keseluruhannya, tapi sila lihat yang
positifnya.
Kekayaan kita itu perlulah disalurkan kepada jalan
kebaikan. Lagi kita kaya dan berharta, lagi banyak kita boleh memperoleh
pahala. Kita dapat membantu orang susah, anak-anak yatim dan sebagainya.
Jadi, kekayaan itu bukan menghalang kita daripada
melupakan Allah, jika kita menggunakan kekayaan kita itu dengan cara yang
dibenarkan syariat.
Sahabat Nabi S.A.W pun ada yang kaya. Adakah Nabi
melarang untuk kaya bila kekayaan itu membantu pembangunan Islam? Yang penting,
kekayaan itu bukan bertujuan untuk melupakan urusan akhirat.
Keterangan Lanjut
Dunia Bukan Tujuan Utama Kita
Jadikan dunia ini untuk mencari bekalan yang akan
dibawa pada hari akhirat nanti. Dunia bukan tujuan akhir kita.
Dunia yang sedang kita jejaki ini pasti akan
berakhir suatu hari nanti. Bila? Itu hanya Allah sahaja yang tahu dan ia pasti
akan berlaku.
Apa yang penting, kita persiapkan amalan kebaikan,
perbanyakkan amalan sunat, perkara dosa mulai sekarang kita kurangkan dan
tinggalkan.
Jika merasa kiamat itu masih jauh, ingatlah kematian
itu dekat. Jika merasa diri masih muda, ingatlah kematian itu tidak mengenal
usia.
Akhir kalam, renungkan doa Nabi S.A.W ini, Daripada
Anas R.A bahawa Rasulullah berdoa;
“Ya Allah, tidak ada kehidupan (yang sebenar)
kecuali kehidupan di Akhirat”
Riwayat
Bukhari dan Muslim
Waallahualam.
Sumber; tazkirah.net
ikalan saiz 250
iklan adnow
0 Response to "3 Pesanan Penting Tentang Kehidupan Dalam Dunia Ini"
Post a Comment