iklan responsive
Dalam kesibukan kita menjalani kehidupan seharian di
dunia yang sementara ini, terkadang kita lupa bahawa perjalanan kita ini
sebenarnya menuju ke akhirat yang kekal abadi.
Tetapi, sedarkah kita bahawa kita sebenarnya
melebihkan kesibukan duniawi ini berbanding persiapan menuju akhirat itu
sendiri?
Cari Cara Untuk Dekat Dengan Allah Walaupun Sibuk
Sebagai individu Muslim, kita semua sedia tahu
bahawa beriman kepada hari akhirat merupakan rukum iman yang kelima iaitu kita
meyakini bahawa kita akan menghadapi kehidupan yang kekal apabila dibangkitkan
daripada mati kelak.
Hari akhirat adalah hari pengakhiran semua makhluk
dan alam semesta. Kita semua akan dibangkitkan daripada kubur, dikumpulkan di
Padang Mahsyar untuk perhitungan yang adil dan saksama oleh Allah serta
menerima keputusan sama ada beroleh balasan syurga atau neraka.
Setiap satu amalan kita di dunia ini akan dihisab
dan kita akan menerima ganjaran yang setimpal dengan amalan tersebut. Maka,
berpada-padalah kita terhadap kesibukan dunia yang cuma seketika ini. Masa
semakin singkat, akhirat kian dekat. Walau sepadat mana pun jadual kita, carilah
cara untuk dekat dengan Allah. Bersiap-siagalah kita untuk menghadapi kehidupan
akhirat yang bakal menjelang nanti.
5 Persiapan Akhirat VS 5 Kesibukan Duniawi
Dunia yang fana ini seringkali membuatkan kita
terlupa dan mengabaikan pelbagai perkara yang lebih penting dalam menuju hari
akhirat.
Mari kita renungkan 5 persiapan akhirat yang
sepatutnya diutamakan berbanding 5 kesibukan duniawi yang sedang kita lalui
ini.
1. Solat VS Berjalan Di Pusat Membeli-Belah
Ramai di kalangan kita yang sanggup menghabiskan
masa berjam-jam di pusat belah berbanding solat yang hanya mengambil masa lebih
kurang 10 ke 15 minit sahaja. Sedangkan solat itu merupakan tiang agama yang
perlu dikerjakan oleh kita semua sebagai orang Islam.
Utamakan solat. Jaga hubungan kita dengan Allah.
Sesibuk mana pun kita, usah diabaikan solat ini kerana ianya merupakan amalan
pertama yang akan dihisab di akhirat kelak.
2. Membaca Al-Quran VS Menghadap Media Sosial
Di zaman moden ini, media sosial semakin berkembang
maju seiring dengan kemajuan teknologi masa kini. Sebut sahaja Facebook,
Twitter, Instagram, Whatsapp, Telegram, dan WeChat, hampir semua daripada kita
tahu dan pakar tentangnya. Permainan video (video game) juga tidak terkecuali.
Namun, sedarkah kita bahawa kita lebih gigih
melayani media sosial ini saban hari demi menjaga hubungan sesama manusia
berbanding membaca Al-Quran demi menjaga hubungan dengan Allah? Hubungan dengan
manusia tidak kurang pentingnya, tetapi ia tidak patut mengatasi hubungan kita
dengan Allah.
Jadikan membaca Al-Quran sebagai amalan harian dan
beramal dengan perkara-perkara yang disebutkan di dalam Al-Quran itu.
Persiapkan bekalan yang akan kita bawa pada hari akhirat kelak.
3. Majlis Ilmu VS Drama TV
Berapa ramai di antara kita yang tegar mengikuti
drama popular di televisyen tanpa tertinggal walau satu episod pun? Berapa
ramai pula di antara kita yang konsisten menonton majlis ilmu seperti ceramah
agama tanpa tertinggal sebarang tajuk yang dibincangkan dalam setiap siaran?
Mungkin lebih ramai yang memilih drama popular di televisyen berbanding ceramah
agama untuk ditonton, bukan?
Sudahlah kehidupan kita ini ibarat lakonan di pentas
dunia, ditambah pula dengan siaran drama yang melalaikan dan tidak bermanfaat.
Penyudahnya, ilmu agama yang sepatutnya menjadi keutamaan, disisihkan begitu
sahaja.
Luangkanlah masa untuk kita menambah ilmu
pengetahuan tentang Islam kerana ini merupakan salah satu cara untuk kita dekat
dengan Allah. Jika tidak dapat menghadiri majlis ilmu, sekurang-kurangnya
dengan menonton atau memperdengarkan siaran berbentuk keagamaan seperti ceramah
agama, dapat memperbaiki diri kita untuk menghadapi hari akhirat kelak.
4. Ayat Al-Quran VS Gosip Di Radio
Sambil memandu atau membuat sesuatu tugasan, lebih
ramai di kalangan kita memilih untuk mendengar gosip dan pelbagai lagi perkara
yang dapat membuatkan kita terhibur di corong-corong radio, bukan? Walaupun
perkara yang didengari itu tidak mendatangkan faedah kepada kita, namun kita
tetap setia mendengarkannya sehingga tergelak ketawa.
Mengapa tidak memilih untuk memperdengarkan ayat
Al-Quran? Ianya bukan sahaja dapat menenangkan hati dan mendamaikan jiwa, malah
secara tidak langsung dapat menambah pahala sebagai bekalan menuju hari
akhirat.
5. Lagu Keagamaan VS Lagu Bertema Keduniaan
Lagu dan irama yang lunak pasti menjadi halwa
telinga sesiapa jua yang mendengarnya. Namun, lagu bertemakan keduniaan lebih
banyak dimainkan dan diperdengarkan berbanding lagu keagamaan seperti nasyid,
zikir dan selawat.
Daripada kita mendengar dan mengalunkan lagu
bertemakan keduniaan yang sering kali membuatkan kita lalai, adalah lebih baik
jika diperdengarkan nasyid, zikir dan selawat yang mengingatkan kita tentang
Allah dan agama Islam. Ia dapat mendekatkan diri kita dengan Allah sekaligus
menyedarkan kita bahawa hari akhirat semakin hampir.
Mula Persiapkan Diri Hari Ini Juga!
Mari sama-sama kita persiapkan diri untuk menghadapi
hari akhirat yang kekal abadi. Carilah cara untuk dekat dengan Allah walaupun
kita dibelenggu jadual yang padat sepanjang hari. Saling mengingati antara satu
sama lain. Kesibukan kita di dunia ini tidak seharusnya mengatasi persiapan
kita menuju hari akhirat.
Ajal maut bakal tiba, hari akhirat juga sedang
menanti. Jika kita tidak membuat persiapan sekarang, bila lagi kita mahu
mulakan? Semoga semua urusan kita dalam memperbaiki amalan pada hari ini dan hari-hari
mendatang sentiasa dipermudahkan Allah, In Sha Allah.
ikalan saiz 250
iklan adnow
0 Response to "5 (Lima) Persiapan Akhirat Yang Sering Terpinggir Disebabkan Kesibukan Dunia"
Post a Comment