iklan responsive
Sahabat yang dirahmati Allah, Ibu bapa adalah orang
yang paling berjasa kepada anak-anaknya. Bermula daripada kesusahan ibunya
mengandung selama 9 bulan 9 hari. Kesusahan melahirkan anak-anak dan menyusukan
dan membesarkan mereka.
Apabila ibu atau bapa kita sudah meninggal dunia
atau kedua-duanya sudah kembali kerahmatullah, sebagai anak apakah hadiah dan
bantuan terbaik yang dapat kita berikan tanda kita kasih dan sayang kepada
kedua ibu bapa kita? Dan sebagai tanda penghargaan kita sebagai seorang anak
yang soleh atau solehah? Tentu saja mendoakan orang tua yang telah meinggal
dunia.
Ada beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh
seorang anak untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia yaitu:
1. Sembahyangkan
untuk mereka
2. Mohon
keampunan untuk mereka
3. Laksanakan
wasiat yang mereka tinggalkan
4. Eratkanlah
silaturahim dengan orang-orang yang mereka lakukan
5. Muliakanlah
teman-teman mereka
Doakan kepada mereka. (Setiap selepas solat fardu
berdoalah kepada Allah SWT untuk kedua
ibu bapa supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa mereka)
Selain daripada perkara-perkara diatas seorang anak
yang soleh atau solehah akan melakukan beberapa perkara kebaikan untuk membantu
ibu bapa mereka yang sedang berada di alam barzakh sebagai ikhtiar dan
usaha-usaha untuk membantu mereka beroleh kebaikan dan tambahan pahala yang
berterusan.
Banyakkan bersedekah terutama sedekah jariah
(pembinaan sekolah agama, masjid, rumah anak yatim dan mewakafkan tanah
perkuburan orang Islam) niatkan untuk mereka.
Sedekahkan al-Quran, buku-buku Islam di
sekolah-sekolah agama atau maahad tahfiz atau dimasjid-masjid niatkan untuk
mereka.
Selalu sedekahkan al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah
al-Falaq dan surah an-nas, surah Yasin, surah al-Baqarah dan ayat-ayat al-Quran
yang lain untuk mereka. Sebaik-baik yang membacanya adalah kita sendiri sebagai
seorang anak.Sedekah bacaan al-Quran menurut majoriti ulama ahli sunah
waljamaah sampai kepada si mati:
Abu al-Lajlaj Abu Khalid (seorang sahabat) mendengar
Nabi SAW menggalakkan para sahabat membaca ayat suci al-Quran di bahagian
kepala dan kaki si mati di atas kubur. Lalu mewasiatkan amalan tersebut kepada
anaknya supaya berbuat demikian.
Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya,
katanya : berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku
meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang
lahad, bacalah:
“Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW,
Kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi
kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah mendengar
Rasulullah SAW bersabda sedemikian.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 1982,
Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19)
Di dalam kitab al-Azkar di bawah tajuk: “Apa yang
perlu dibaca selepas pengebumian?. Imam al-Nawawi menyebutkan: “Al-Syafie dan
para sahabat (ulamak Syafi’iyyah) mengatakan: “Disunatkan membaca disisi kubur
sesuatu daripada ayat al-Quran. Mereka mengatakan: Jika mereka mengkhatamkan
al-Quran kesemuanya maka itu adalah (sesuatu yang) baik.” (al-Nawawi, al-Azkar,
Dar al-Makrifah: Beirut, 1996, hlm. 142 )
Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata:
“Aku bertanya kepada al-Syafi’ie tentang bacaan al-Quran di kubur. Lalu beliau
menjawab: “Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya’bie katanya:
“Orang Ansar apabila berlakunya kematian dikalangan mereka, maka mereka selalu
mengunjungi kuburnya untuk membaca al-Quran di sisinya.”
Selesaikan semua hutang-hutang mereka samaada hutang
sesama manusia atau hutang dengan Allah SWT. Jika hutang sesama manusia tidak
diselesaikan roh mereka akan tergantung di antara langit dan bumi. Hutang
dengan Allah SWT adalah nazarnya (jika ada). fidyah kerana meninggalkan puasa.
.
Jika ibu bapa mempunyai hutang dengan bank seperti
rumah, kereta dan lain-lain pinjaman tersebut melalui cara riba maka
tukarkanlah pinjaman tersebut kepada cara muamalah Islam dan tukar hak milik kepada anak-anak, kerana
berat dosanya yang ditanggung oleh ibu bapa di alam barzakh.
Jika ibu bapa belum menunaikan haji maka kita boleh
upahkan haji untuk mereka (niatkan upah haji untuk mereka).
Beramal dengan amalan Islam. Semua anak-anak yang
masih hidup apabila mereka tidak mengamalkan cara hidup Islam dengan melakukan
maksiat dan dosa, anak perempuan tidak menutup aurat, bergaduh sesama adik beradik kerana harta
pusaka semua tindakkan ini menyusahkan dan membebankan ibu bapa kita yang
berada dialam barzakh. Ibu bapa akan menyesal kerana mereka tidak mendidik
anak-anak mereka dengan cara hidup Islam hingga mereka melakukan maksiat kepada
Allah SWT.
Ketika ini penyesalan sudah tidak berguna lagi
kerana perkara tersebut sudah berlaku. Tetapi untuk anak-anak pula macamana
mereka hendak membantu ibu bapa mereka yang sudah mati tadi? Maka mereka perlu
beramal soleh, beramal ibadah dan beramal kebaikan kerana semua pahala yang
kalian buat akan membari saham yang besar kepada ibu bapa kalian yang sedang
menderita di alam barzakh.
Amalkanlah ilmu yang diajarkan oleh kedua ibu bapa
kalian maka mereka akan mendapat pahala ilmu yang bermanfaat. Banyakkan sedekah
jariah dan niatkan untuk ibu bapa maka ibu bapa kalian akan mendapat pahala
sedekah jariah.
Sahabat yang dikasihi, Teruskan berdoa dan
bermunajat kepada Allah SWT. Apabila kita selesai solat fardu atau ketika
berada diwaktu-waktu akhir malam , waktu mustajab doa maka berdoalah untuk
kesejahteraan ibu bapa kita yang telah meninggal dunia:
Segala puji bagi Allah yang telah memerintah kami
untuk bersyukur dan berbuat baik kepada ibu dan bapa, dan berwasiat agar kami
menyayangi mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidiki kami sewaktu kecil.
Ya Allah sayangilah kedua orang tua kami. Ampuni,
rahmati dan redhailah mereka.
Ya Allah ampunilah mereka dengan keampunan
menyeluruh yang dapat menghapuskan dosa-dosa mereka yang lampau dan perbuatan
buruk yang terus menerus mereka lakukan.
Ya Allah, berbuat baiklah kepada mereka sebanyak
kebaikan mereka kepada kami setelah dilipatgandakan, dan pandanglah mereka
dengan pandangan kasih sayang sebagaimana mereka dahulu memandang kami.
Ya Allah berilah mereka hak rububiyah-Mu yang telah
mereka sia-siakan kerana sibuk mendidik kami.
Maafkanlah segala kekurangan mereka dalam mengabdi
kepada-Mu kerana mengutamakan kami.
Maafkanlah mereka atas segala dosa, maksiat dan
syubahat yang mereka jalani dalam usaha menghidupkan kami.
Ya Allah berilah mereka bagian ganjaran dari
ketaatan yang Engkau hidayahkan kepada kami, kebaikan yang Engkau mudahkan bagi
kami, dan taufiq yang telah mendekatkan kami kepada-Mu.
Dan jangan bebankan kepada mereka segala dosa dan
kesalahan yang kami lakukan dan tanggungjawab yang kami abaikan. Dan janganlah
tambahkan dosa kami ke atas dosa mereka.
Bagi ibu bapa dan nenek moyang kami yang telah
meninggal, berikanlah mereka rahmat yang menerangi pembaringan mereka di kubur
dan rahmat yang menimbulkan rasa aman ketika manusia merasa ketakutan saat
dibangkitkan. Jadikanlah lubang kubur mereka daripada taman-taman syurga.
Jauhkan lubang kubur mereka salah satu daripada lubang-lubang api neraka.
Ya Allah lemah lembutlah kepada mereka yang
berbaring di kubur dengan kelembutan yang melebihi sikap lembut mereka kepada
kami di masa hidup mereka.
Ya Allah janganlah sampaikan kepada mereka berita
tentang kami yang mengecewakan mereka, dan jangan bebankan dosa-dosa kami
kepada mereka.
Jangan hinakan mereka di hadapan pasukan kematian,
malaikat Munkar dan Nakir dengan perbuatan-perbuatan hina dan mungkar yang kami
lakukan.
Senangkanlah roh mereka dengan amal-amal kami di
tempat pertemuan para arwah, ketika orang yang soleh bergembira dengan
putera-puteri mereka yang soleh. Janganlah jadikan mereka ternoda oleh
perbuatan buruk kami.
Ya Allah jadikanlah kami penyejuk hati mereka pada
hari berdirinya para saksi. Dan jadikanlah mereka orang-orang yang paling
cemburu dengan keberhasilan anak-anak mereka hingga Engkau kumpulkan kami,
mereka dan segenap kaum muslimin di negeri kemuliaan-Mu, tempat menetapnya
rahmat-Mu, dan tempat para wali-Mu bersama orang-orang yang Engkau beri
kenikmatan,
Yaitu, para nabi, shiddiqin, syuhada dan solihin,
mereka itulah sebaik-baiknya teman.
Demikianlah kurnia dari Allah dan Allah cukup
mengetahui. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah kepada junjungan kami
Nabi Muhammad S.A.W, keluarga dan para sahabat baginda.
Walhamdulillahi Rabbil `Aalamin. Amin
Sumber: binusrah.blogspot.co.id
ikalan saiz 250

iklan adnow
0 Response to "Amalan Anak Untuk Orang Tua yang Sudah Meninggal Dunia"
Post a Comment