iklan responsive
“Rasanya aku lupalah nak baca doa qunut tadi. Apa
patut buat aku buat ya?”
Kita sebagai hamba Allah yang lemah memiliki banyak
kekurangan. Kita tak akan terlepas dari sifat lupa atau leka walaupun ketika
beribadah kepadaNya. Sujud sahwi adalah cara untuk menutup kekurangan dalam
solat fardhu.
Hukum Sujud Sahwi
Sahwi bererti lupa. Menurut Imam merangkap Penolong
Pengarah Pembinaan Sakhsiah Masjid Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM), Mohd Zuhairee Mohd Yatim, sesuai dengan namanya, sujud sahwi ini
dilakukan adalah untuk menampung beberapa jenis kesalahan yang dibuat ketika
solat akibat lalai atau terlupa. Antara kesalahannya adalah terlupa melakukan
salah satu sunat ab’adh, iaitu tahiyat awal dan doa qunut.
Hal ini adalah berdasarkan hadis daripada
al-Mughirah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang kamu berdiri
sesudah dua rakaat tetapi ia belum sampai sempurna berdiri, maka hendaklah ia
duduk kembali (untuk tasyahud pertama) tetapi jika ia sudah berdiri dengan
sempurna, maka jangan ia duduk kembali dan hendaklah ia sujud dua kali (Sujud
Sahwi)”. (Riwayat Ahmad)
Selain itu, ia juga dianjurkan sekiranya kita berasa
ragu-ragu terhadap bilangan rakaat.
Dari Abu Sa’id al-Khudri RA, di mana Rasulullah SAW
bersabda:
إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِـيْ صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ
كَمْ صَلَّى؟ ثَلاَثًا أَوْ أَرْبَعًـا؟ فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَـا
اسْتَيْقَنَ ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ. فَإِنْ كَـانَ صَلَّى
خَمْسًا شَفِعْنَ لَهُ صَلاَتُهُ، وَإِنْ كَانَ صَلَّى إِتْمَامًا ِلأَرْبَعٍ كَانَتَا
تَرْغِيْمًا لِلشَّيْطَانِ.
“Jika salah seorang di antara kamu ragu dalam
solatnya sehingga dia tidak tahu berapa rakaat yang telah dia lakukan, tiga
rakaat atau empat rakaat. Maka hendaklah ia tepis keraguan itu dan ikutilah
yang dia yakini. Setelah itu, hendaklah dia sujud dua kali sebelum salam. Jika
ternyata dia mengerjakan lima rakaat, maka dia telah melengkapkan solatnya.
Namun, jika dia mengerjakan empat rakaat, maka dua sujud tadi adalah penghinaan
bagi syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i RA)
Sujud sahwi hukumnya adalah sunat. Ini bermakna,
tidaklah batal solat seseorang jika tidak dilakukan.
Cara Sujud Sahwi Yang Lengkap
Walaupun hukumnya sunat, eloklah kita melakukannya
apabila perlu. Ini kerana, cara sujud sahwi sebenarnya amat mudah, iaitu
seperti berikut:
1. Niat
Sujud sahwi perlu diniat terlebih dahulu pada
penghujung rakaat terakhir. Sesudah tahiyat akhir, sebelum memberi salam,
takbir dan sujud dengan lafaz sujud sahwi.
*Menurut kuliah Ustaz Don Daniyal, jika kita sudah
berniat mahu melakukan sujud sahwi, duduk tahiyat akhir seeloknya dalam keadaan
duduk antara dua sujud.
2. Sujud
Lafaz ini dibacakan 3 kali dalam sujud sahwi:
3. Duduk Antara Dua Sujud
Selepas membaca lafaz tersebut, bangun daripada
sujud dan duduk dalam posisi di antara dua sujud, sama seperti yang biasa kita
lakukan dalam solat. Bacaan juga sama seperti duduk antara dua sujud.
4. Sujud Sekali Lagi
Sesudah itu duduk kembali pada posisi duduk di
antara dua sujud dan lakukan sujud sahwi sekali lagi. Kemudian duduk dalam
keadaan tahiyat akhir dan beri salam seperti biasa (tak perlu mengulang bacaan
tahiyat akhir sekali lagi).
Bagaimana Kalau Tertinggal Perbuatan Yang Termasuk
Dalam Rukun Solat?
Setakat ini, kita dijelaskan bahawa kita digalakkan
melakukan sujud sahwi apabila kita terlupa sesuatu perbuatan sunat ab’adh,
iaitu doa qunut atau tahiyat awal yang tidak termasuk dalam 13 rukun solat.
Jadi, apakah yang sepatutnya kita lakukan jika kita
terlupa melakukan perkara yang termasuk dalam rukun (contohnya membaca
al-fatihah atau rukuk)?
Menurut kuliah ini, kita tidak boleh menggantikan
perkara yang tertinggal tadi dengan sujud sahwi semata-mata. Contohnya, kita
terlupa membaca al-fatihah pada rakaat ketiga dalam solat maghrib. Maka, kita
perlu membaca al-fatihah yang tertinggal tadi dengan cara mengulang rakaat ketiga
secara keseluruhannya (kerana rakaat ketiga tadi tidak dikira sempurna).
Sebelum mengakhiri solat, barulah kita melakukan sujud sahwi
Hikmah Sujud Sahwi
Sujud sahwi sangat dituntut untuk membaiki solat
kita yang cela. Allah yang Maha Penyayang masih boleh menerima ibadah kita
walaupun ada cacat celanya.
Segala amalan yang dituntut dalam Islam pasti ada
hikmahnya. Dalam perihal sujud sahwi, kita sebagai hamba banyak kekurangannya.
Maka, Rasulullah SAW mengajar kita cara sujud sahwi sebagai salah satu cara
menutup kekurangan kita.
Kita sebagai hamba perlu segera memohon keampunan
kepada Allah jika khilaf. Hanya kepada Allah tempat kita bersujud dan memohon
keampunan atas kealpaan kita.
Semoga amal ibadat kita diterima oleh Allah.
ikalan saiz 250
iklan adnow
0 Response to "Cara Sujud Sahwi Bila Terlupa Rakaat Dan Doa Qunut."
Post a Comment