iklan responsive

IBADAH WANITA KETIKA HAID
Soalan; Ustaz, Saya ada kemusykilan tentang haid
wanita. Apa yang saya tahu perempuan dalam haid dilarang melakukan puasa dan
sembahyang, mengaji Alquran. tetapi tiada larangan untuk berzikir dan berdoa.
Soalan saya, boleh tak ustaz tolong berikan hujah iaitu dalil al-Quran/Hadis
tentang haid yang menjelaskan perkara diatas. Sekian terima kasih.
Jawapan;
1. Telah ijmak (sepakat) para ulamak bahawa wanita
yang dalam haid dan nifas diharamkan mengerjakan solat dan juga puasa (termasuk
puasa Ramadhan). Puasa Ramadhan wajib diqadha, adapun solat tidak perlu
diqadha. Dalil larangan solat dan puasa tersebut ialah hadis Dari Abu Sa’id
al-Khudri r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. telah bertanya kaum wanita;
“Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian seorang
lelaki?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya
akal wanita”. Baginda bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu
tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda
lantas berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (HR Imam al-Bukhari dari Abu
Sa’id al-Khudri r.a.).
2. Adapun hukum membaca al-Quran, terdapat khilaf di
kalangan ulamak seperti berikut;
A) Menurut Jumhur ulamak (yakni pandangan teramai
ulamak termasuk Imam-Imam mazhab empat); Diharamkan ke atas orang yang berhadas
besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Mereka berdalilkan
hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan Rasulullah bersabda;”Janganlah wanita
dalam haid dan orang yang berjunub membaca sesuatupun dari al-Quran” (HR Imam
at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Berdalilkan hadis ini, jumhur ulamak memutuskan;
orang-orang yang berada dalam haid dan junub dilarang membaca al-Quran dengan
lidah. Adapun membaca dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), diharuskan.
B) Imam Malik berpandangan; Diharuskan wanita dalam
haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi
takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau
nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.
C) Terdapat ulamak-ulamak yang menganggahi pandangan
jumhur ulamak di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu
Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan
begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhannya. Di
kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu
al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang
menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berzikir kepada Allah pada
setiap ketika/masanya” (HR Imam Muslim) dan membaca al-Quran termasuk di dalam
pengertian zikir. Adapun hadis yang dijadikan dalil oleh jumhur tadi, hadis
tersebut adalah dhaif mengikut penilaian ulamak-ulamak hadis.
3. Mengenai zikir dan doa, tidak ada nas (dalil dari
al-Quran atau as-Sunah) yang melarang wanita yang kedatangan haid dan nifas
dari melakukannya. Oleh itu, ia kekal sebagai harus (tidak dilarang). Dalam kaedah
Fiqh ada dinyatakan “Sesuatu itu kekal dalam hukum asalnya selagi tidak ada
dalil yang mengubahnya atau mengecualikannya dari hukum asal”.
Dari keterangan di atas, kita dapat melihat bahawa
ruang untuk wanita dalam haid dan nifas beribadah adalah luas seluas ruang doa
dan zikir itu sendiri walaupun mereka tidak dibolehkan solat, puasa dan membaca
al-Quran (mengikut pandangan jumhur tadi). Berikut kita senaraikan dengan
terperinci ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang berada
dalam haid dan nifas;
1. Berdoa dengan apa sahaja doa termasuk dari
al-Quran
2. Beristighfar; termasuk istighfar dari al-Quran
3. Berzikir; sama ada bertahlil, bertahmid,
bertasbih dan sebagainya.
4. Berselawat kepada Nabi
5. Mendengar bacaan al-Quran
6. Menghadiri/mendengar majlis ilmu (yang diadakan
di tempat lain selain masjid)
7. Mengulang hafalan al-Quran (mengikut pandangan
Imam Malik tadi)
8. Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab
hadis
9. Bersedekah
10. Membuat kebajikan kepada orang lain
Bagi doa, istighfar dan zikir yang diambil dari
al-Quran hendaklah dibaca dengan niat untuk berdoa, berzikir dan beristighfar,
bukan dengan niat membaca al-Quran.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil bin Yusuf al-Azzazi,
jil. 1. Hlm. 144-145.
2. Laman Fiqh Anda (http://fiqh-am.blogspot.com/).
3. Haid Membawa Berkah, Lissa Malike dan Asmawati,
hlm. 74
ikalan saiz 250

iklan adnow
0 Response to "IBADAH YANG BOLEH DIBUAT OLEH WANITA KETIKA HAID"
Post a Comment