iklan responsive
Kisah ini diambil dari blog grenbara.bravejournal.
Bacalah dan ambillah peringatan daripada kisah ini. Penulis telah menemu ramah
seorang wanita tua yang ingin berkongsi pengalaman beliau tentang sebuah kisah
menyayat hati yang disaksikan suatu ketika dahulu.
Tiada apa yang boleh memadamkan ingatan saya tentang
cerita ini. Aneh dan menginsafkan jika direnung kembali tentang seksaan Allah
terhadap seorang anak yang derhaka kepada ibunya sendiri,” cerita Nek Mariam.
Jamilah 20an, (bukan nama sebenar) adalah seorang
isteri yang malang. Beliau telah ditinggalkan suami sebaik sahaja melahirkan
anak sulung mereka.
Jamilah terpaksa akur dengan nasib yang menimpanya
itu. Mujurlah beliau masih mempunyai ibu bapa yang mengambil berat akan
dirinya.
Itulah yang dikata kasih sejati seorang ibu. Tiada
tolok bandingannya walhal semenjak kita dalam kandungan lagi kasih sayang sudah
dicurahkan sepenuh jiwa dan raga. Setelah Jamilah bergelar janda, Jamilah
kembali ke rumah ibunya.
Walaupun Jamilah tidak mendapat kasih sayang seorang
suami namun beliau bertuah kerana masih mendapat kasih sayang dari ibu sejati.
Jamilah dan anak kecilnya dijaga dan diberikan kasih sayang dengan sempurna.
Soal makan dan minum Jamilah dan anaknya tidak
menjadi masalah kerana Jamilah masih mempunyai bapa yang masih kuat mengerjakan
ladang dan sawah.
Bapa Jamilah keluar bekerja awal pagi dan pulang
lewat petang. Manakala ibunya tidak banyak aktiviti di rumah hanya memberi
makan haiwan ternakan sahaja. Adik-beradiknya semua sudah berkahwin dan membawa
haluan masing-masing.
Jamilah merupakan anak bongsu dalam keluarga,
mengenangkan nasib malang Jamilah, sudah tentu perasaan sayu dan kasihan dari
ibunya membuak-buak bila melihat anak dan cucu kecilnya tidak terbela.
Usia Jamilah masih remaja walaupun bergelar janda.
Zaman remajanya masih lagi belum puas dikecapi tambahan pula fikirannya masih
belum matang dalam erti hidup.
Jamilah terasa dirinya begitu bebas dan terlepas
dari belenggu ketika hidup bersuami dahulu. Jamilah tidak merasa sebarang
kekurangan pada dirinya malah bertambah yakin kerana beliau masih muda dan
masih kelihatan cantik.
Segala urusan anak kecilnya diserahkan kepada ibu
dengan alasan tidak biasa dengan karenah anak kecil.
Sebenarnya Jamilah malas untuk menguruskan anak
kecil yang merimaskan. Pada mulanya, ibu Jamilah tidak perasan, maklum sahaja
cucu sendiri, tentu tidak terasa bebannya.
Hari berganti hari hidup Jamilah bertambah selesa.
Beliau hidup di bawah jagaan yang sempurna. Semua soal makan minum, mengasuh
anak kecil dan kerja rumah tangga semuanya diambil alih oleh ibu dan bapanya.
Jamilah hanya menolong ala kadar sahaja agar tabiat malasnya tidak nampak
ketara.
Perangai Jamilah semakin menjadi-jadi. Melaram
dengan pakaian-pakaian fesyen terkini serta bersolek agar sentiasa cantik.
Suatu hari, Jamilah telah menyampaikan hasratnya
ingin ke pekan untuk mendandan rambut dengan fesyen terkini. Namun ibunya
melarang kerana menurut orang ramai, kandungan bahan mendandan rambut ketika
itu diperbuat dari bahan haram yakni lemak babi.
“Ala, bukan nak makan babi tu, hanya sapu atas
kepala agar rambut lebih hitam dan berkilat” Jamilah memberi alasan agar
permintaannya ditunaikan.
Namun begitu ibunya tetap melarang. Maka berlakulah
satu pertengkaran antara Jamilah dan ibunya sehingga beliau tergamak
mengeluarkan perkataan kesat sambil menyumpah-nyumpah ibunya.
“Binatang babi! Binatang anjing!” kata Jamilah
semakin berani setelah melihat ibunya mendiamkan diri sambil menitiskan
airmata.
Jamilah masih berdegil, nafsunya untuk kelihatan
cantik dan bergaya semakin meluap-luap hingga tidak kira lagi soal halal dan
haram.
Matlamatnya supaya ramai lelaki melihat dirinya
cantik macam primadona. Sekaligus saham dirinya akan naik mengatasi anak-anak
dara sunti di kampung itu.
Petang itu, bila Jamilah baru pulang dari pekan
mendandan rambut, tiba-tiba beliau terdengar suara anak kecilnya menangis kuat
teresak-esak.
Hati Jamilah naik radang kerana beliau sangka ibunya
sengaja membiarkan anaknya begitu kerana ingin membalas dendam. Dengan bengis,
Jamilah terus naik ke rumah dan jadi seperti orang yang dirasuk syaitan, terus
meluru ke bilik anaknya yang menangis itu.
Anaknya diambil dan diletakkan di satu sudut di
dapur dan terus menuju ke bilik ibunya untuk bertindak sesuatu. Mulutnya tidak
henti-henti mengomel sambil menyumpah-nyumpah.
Sebaik sahaja beliau masuk, kelihatan ibunya sedang
mengerjakan solat. Kerana terlalu marah, dikala ibunya sedang sujud, beliau
bertindak menendang ibunya sambil berkata:
“Oi babi, anjing, beruk! Tak boleh
harap….menyusahkan orang, celaka!”
Ibunya yang jatuh tersungkur di hadapan sejadah
bangun mengaduh dan terpinga-pinga. Beliau tidak tahu apa sebabnya Jamila
tiba-tiba naik angin.
Setelah beberapa lama berlinanganlah airmata ibunya
apabila menyedari perkara sebenar. Sebenarnya bukan niat ibunya membiarkan
cucunya itu menangis keseorangan, ketika itu beliau sedang bersembahyang.
Maka terpaksalah membiarkan budak itu sebentar.
Sudah seberapa daya beliau menyegerakan solatnya setelah sedar cucunya menangis
kuat, namun belum sempat selesai solat, Jamilah terlebih dahulu datang menyepak
punggungnya.
Hati ibu mana yang tak hancur remuk mengenangkan
anaknya yang sampai hati dan tergamak melakukan sebegitu terhadapnya berbanding
kasih sayang yang telah dicurahkan secukupnya demi anak tercinta.
Ibu mana yang tidak sayangkan anak dalam keadaannya
yang sakit seluruh sendi akibat tersungkur atas tikar sembahyang tadi, beliau
telah berdoa pada Allah agar dapat diampun dosa anaknya itu.
Dengan takdir Allah, tiba-tiba Jamilah berteriak
dari arah dapur. Macam sesuatu yang telah berlaku pada Jamilah mahupun cucunya.
Dengan lemah longlai, tergesa-gesa beliau pergi
mendapatkan Jamilah. Jeritannya sungguh kuat hingga jiran berdekatan dapat
mendengarnya.
Tambah terkejut apabila kami semua menyaksikan
seutas rantai besi tiba-tiba sahaja keluar memecah lantai dapur dan melilit dan
merantai kaki Jamilah dengan kuat. Jamilah menjerit kesakitan dan anak yang
dikendong terlepas dalam dakapannya.
Ibu Jamilah separuh pengsan melihat keadaan Jamilah
sebegitu. Jelas Nek Mariam yang merupakan salah seorang yang menyaksikan
keajaiban Allah Yang Maha Esa itu. Maka berduyun-duyunlah orang kampung datang
untuk membantu melepaskan cengkaman rantai besi yang melilit kemas di kedua-dua
kaki Jamilah.
Bertungkus-lumus orang cuba memotong besi itu namun
tidak berjaya. Jamilah meraung sekuat-kuat hati kerana terlalu sakit.
Akibatnya darah tidak berhenti mengalir membasahi
lantai dapur. Setelah beberapa jam berlalu, rantai besi yang mempunyai kekuatan
luar biasa itu masih juga tidak boleh dileraikan dari kaki Jamilah.
Akibat pendarahan yang banyak, Jamilah meninggal di
situ juga dengan riak muka yang amat menakutkan. Ibu Jamilah terpaku tidak
mampu melakukan apa-apa.
Beliau sedar itulah balasan Allah terhadap anaknya,
cuma beliau tidak menyangkakan secepat itu. “Anehnya, sebaik sahaja Jamilah
meninggal, rantai itu terurai dengan sendiri lalu masuk kembali ke dalam tanah.
Kami semua begitu terpegun dan berasa insaf dengan
apa terjadi. Itulah balasan Allah terhadap seorang anak yang derhaka,” Sambung
Nek Mariam sambil menitiskan air mata.
Jenazah Jamilah diuruskan seperti biasa dan
dikebumikan. Upacara membaca ayat suci Al Quran di atas kubur selama 7 hari
memang sering dilakukan oleh masyarakat di Pantai Timur dan menjadi satu
upacara kebiasaan kepada sesiapa yang baru dikebumikan.
Semasa orang-orang kampung bergilir-gilir membaca Al
Quran, maka satu lagi petunjuk dari Allah terjadi. Pada waktu hampir subuh,
mereka terdengar satu suara yang meraung-raung dari arah liang lahat.
“Mak ooiii…..!! Ayah ooiii!! Tolonglah…! Allah
Tuhanku….minta tolong…! Mak ….ayah…tolonglah!” suara mendayu-dayu itu sungguh
menyeramkan dan tidak henti-henti,” Cerita Nek Mariam lagi.
Salah seorang dari mereka bertindak memberitahu pada
ibu Jamilah akan suara itu yang mereka syak datang dari arah liang lahat.
Dengan bantuan jiran-jiran berdekatan, mereka segera
ke kubur Jamilah untuk menggali kubur itu kerana mereka sangkakan Jamilah masih
hidup.
Setelah digali, alangkah terkejutnya bila melihat
jasad Jamilah yang kaku dan berbalut itu telah bertukar rupa. Kepalanya menjadi
kepala seekor babi! MasyaAllah…. ramai orang menyaksikannya.
Satu lagi keajaiban yang sengaja Allah ingin
memperlihatkan pada hamba-hambanya. Bertambah sedih dan sayu hati ibu Jamilah
melihat keadaan anaknya begitu.
Malam itu beliau bermimpi, Jamilah datang kepadanya
dengan keadaan yang amat buruk dan daif sambil berkata:
“Tak payahlah ibu mengadakan kenduri arwah untuk
saya, kerana saya telah terkeluar daripada Islam”
menyedari hakikat itu ibunya begitu terkejut dan tak
henti-henti menangis sambil berdoa kepada Allah agar mengampuni dosa anaknya
itu. “Maka tiadalah kenduri arwah dibuat untuk Jamilah.
Itulah cerita tentang balasan Tuhan terhadap
hambanya yang berdosa. Dosa pada Tuhan mungkin dapat diampunkan jika kita
bertaubat nasuha, tetapi dosa pada manusia, lebih-lebih lagi kepada kedua
ibu-bapa, harus kita sendiri memohon ampun dan maaf.
Jika tidak tanggunglah dosa itu dan akan dikira dan
dibalas setimpal di akhirat kelak…” Nek Mariam mengakhiri ceritanya yang penuh
keinsafan sesuai untuk kita semua. Wallahu ‘alam.
ikalan saiz 250

iklan adnow
0 Response to "Kisah Benar Anak Durhaka: Kaki Dirantai Bumi dan Wajah Menjadi Babi"
Post a Comment