iklan responsive
Saya ada beberapa soalan :
1)Berapa harikah
tempoh dikira mukim ?
2) Jika saya mengambil
pandangan tempoh dikira musafir ke suatu tempat yang melebihi 2 marhalah,
adalah 5 hari termasuk hari pergi dan balik, dan dalam tempoh itu, saya
mengerjakan solat jamak qasar. Adakah saya perlu bergegas keluar dari kawasan
tersebut pada hari ke 6 ? (kerana ada pandangan mengatakan jika kita tidak
keluar, maka batallah/ tidak sahlah solat2 yang kita lakukan dalam tempoh
musafir tersebut kerana telah di kira bermukim.
Terima kasih.
Jawapan;
1.
Mukim bermaksud
menetap di sesuatu tempat. Orang yang dianggap bermukim tidak lagi diharuskan
melakukan solat secara qasar dan jamak kerana keduanya itu hanya diharuskan
untuk orang yang musafir sahaja.
2.
Menurut mazhab
Syafiie, apabila seseorang itu berniat untuk menetap di sesuatu tempat melebihi
empat (4) hari, maka ia menjadi mukim dan tidak harus ia melakukan jamak dan
qasar sebaik ia tiba di tempat tersebut sehinggalah ia keluar darinya nanti.
Sebagai contohnya,
saudara bermastautin di Perlis, kemudian bermusafir ke Kuala Lumpur. Sepanjang
perjalanan dari Perlis ke Kuala Lumpur, harus saudara melakukan solat secara
jamak dan qasar. Apabila tiba di Kuala Lumpur, sekiranya saudara berniat untuk
menetap di Kuala Lumpur melebihi 4 hari (tidak termasuk hari masuk dan hari
keluar), saudara tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar. Maksudnya,
sepanjang tempoh saudara di Kuala Lumpur itu, saudara hendaklah mengerjakan
solat fardhu secara sempurna dan mengikut waktunya. Hinggalah apabila saudara
keluar dari Kuala Lumpur untuk pulang atau meneruskan perjalanan ke tempat
lain, barulah boleh melakukan qasar dan jamak semula.
3.
Sekiranya saudara
berniat untuk menetap di Kuala Lumpur itu dalam tempoh kurang 4 hari, contohnya
2 hari atau 3 hari (tidak termasuk hari tiba dan hari akan keluar), harus
saudara melakukan jamak dan qasar sepanjang 2 atau 3 hari tersebut.
4.
Sekiranya saudara
tidak mengetahui berapa lama akan tinggal di Kuala Lumpur itu, tetapi berniat
akan segera pulang sebagai sebaik urusan selesai (yakni saudara
menunggu-menunggu urusan selesai untuk segera pulang), menurut mazhab Syafiie;
saudara harus melakukan jamak dan qasar hingga 18 hari (tidak termasuk hari
tiba dan hari akan keluar). Ini jika saudara tidak mengetahui urusan itu akan
mengambil masa lebih 4 hari. Sekiranya saudara sememangnya mengetahui urusan
itu akan mengambil masa lebih 4 hari, maka ia kembali kepada yang pertama tadi
iaitu tidak harus saudara melakukan qasar dan jamak kecuali hari tiba dan hari
keluar sahaja.
5.
Sekiranya saudara tiba
di Kuala Lumpur dan saudara tinggal tanpa berniat berapa hari dan tidak pula
menunggu-nunggu urusan selesai, saudara boleh melakukan jamak dan qasar, namun
bila genap 4 hari saudara di situ, tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar.
Maksudnya, status saudara sebagai musafir tamat apabila genap 4 hari saudara
tinggal di Kuala Lumpur itu.
5.
Jika pada peringkat
awal saudara berniat untuk tinggal kurang dari 4 hari, kemudian mengubah niat
untuk tinggal lebih 4 hari, dengan berubah sahaja niat itu tidak harus lagi
saudara melakukan jamak dan qasar. Begitu juga, jika setelah beberapa hari
tinggal di Kuala Lumpur itu saudara teragak-agak antara terus tinggal atau
pulang, tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar.
Maksud niat dalam kupasan
di atas ialah apa yang ada dalam hati kita sebaik kita tiba di suatu tempat.
Bagi program yang berjadual sebagai contohnya, apabila saudara memutuskan dalam
hati untuk mengikuti jadual itu, itu menunjukkan niat saudara untuk tinggal di
situ dengan mengikut jadual yang diatur. Sebagai contohnya, saudara menghadiri
suatu kursus di Kuala Lumpur dan saudara mengetahui kursus itu akan memakan
masa hingga 1 minggu, maka dengan memutuskan untuk mengikuti jadual kursus
tersebut saudara telah berniat untuk bermukim di Kuala Lumpur selama seminggu.
Dengan niat itu, saudara tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar sepanjang
kursus tersebut kecuali pada hari saudara tiba dan hari pulang nanti.
Merujuk kepada soalan
kedua di atas, apakah perlu bergegas keluar apabila tamat tempoh keharusan
melakukan jamak dan qasar? Dan benarkah jika tidak keluar semua solat yang
dilakukan tidak sah?. Jawapannya; Berdasarkan penelitian saya, tidaklah begitu.
Saudara hanya perlu menyedari/mengetahui berapa hari yang diharuskan saudara
melakukan jamak dan qasar berdasarkan kaedah yang dijelaskan tadi. Selepas hari
tersebut jika saudara terus tinggal di tempat tersebut, saudara tidak boleh
lagi melakukan qasar dan jamak. Saudara tidaklah dituntut keluar dari tempat
itu, hanya jangan lagi melakukan jamak dan qasar kerana tempohnya telah habis
bagi saudara. Adapun jamak dan qasar yang lalu ia tetap sah kerana dilakukan
ketika saudara masih dianggap musafir.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1.
Mugni al-Muhtaj, jilid
1, hlm. 361-363.
2.
Al-Majmu’, jilid 4,
hlm. 361-362.
ikalan saiz 250
iklan adnow
0 Response to "TEMPOH HARUS JAMAK DAN QASAR SOLAT DI SUATU TEMPAT"
Post a Comment