iklan responsive
Sifat marah merupakan fitrah dalam diri setiap
manusia. Benar. Manusia mana dalam dunia ini yang tidak pernah marah seumur
hidupnya.
Ketahuilah hati merupakan raja dalam diri. Bayangkan
jika amarah yang dikuasai nafsu dan syaitan itu pula menjadi raja, sudah tentu
hati itu akan musnah dan binasa. Kerana satu-satunya musuh di dalam diri
manusia adalah nafsu dan sifat marah itu merupakan sebahagian darinya.
Ketika marah, lidah boleh mengeluarkan kata-kata
kesat dan kasar manakala anggota badan mampu bertindak diluar batasan. Dengan
sifat marah inilah syaitan berjaya memutuskan tali silaturrahim antara kita,
keluarga dan sahabat handai.
Ingatlah, salah satu sifat orang bertakwa ialah
orang yang mampu menahan marahnya. Seperti mana firman Allah yang bermaksud:
“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan
syurga seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang bertaqwa. Orang yang
menafkahkan hartanya baik ketika lapang dan sempit, orang yang menahan marahnya
dan orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Allah mengasihi orang yang
berbuat kebajikan.
Surah Ali-Imran 3: 133-134
Selalunya orang yang sedang marah sukar untuk
menahan emosinya ini kerana akal dan hati sudah pun diterajui oleh nafsunya.
Lalu, bagaimanakah cara untuk mengawal emosi ketika
marah supaya kita masih boleh bertindak dengan waras dan rasional serta dapat
mengendalikan diri daripada melakukan perkara yang keterlaluan.
Berikut adalah langkah terbaik dalam mengawal emosi
ketika marah.
#1 -Bersabar
Ketika marah menguasai diri cubalah untuk bersabar.
Sabar itu merupakan sebahagian daripada iman. Ya! Sememangnya bukan mudah untuk
bersabar.
Lebih-lebih lagi dikala marah sedang menguasai diri.
Namun, disaat kita ingin marah cuba fikirkan sejenak betapa sabarnya Allah
terhadap kita.
Kita melengahkan solat, tidak membaca Al-Quran dan
jarang berzikir mengingati-Nya sedangkan Allah S.W.T tetap sabar dan masih
mengurniakan kepada kita nikmat rezeki yang tidak pernah putus. Allah yang Maha
Agung dengan segala sifat kesempurnaan lagikan bersabar apatah lagi kita
manusia yang hina.
Jika kita sentiasa ingat betapa sabarnya Allah
terhadap kita, Insya Allah kita akan jadi malu untuk cepat melenting,marah dan
kecewa terhadap apa jua perlakuan dan perkataan orang lain terhadap kita.
#2 – Berdiam Diri
Kadang-kadang orang yang sedang marah gagal mengawal
emosinya kerana mereka saling berbalas mulut padahal perkara itu mungkin
perkara kecil sahaja.
Namun, apabila dibalas ia bertukar menjadi
perbalahan yang serius. Cuba ketika marah, kita berdiam diri. Cari dimana
kesilapan kita bukannya mencari kesilapan orang lain.
Berdiam diri bukanlah bermakna kita salah atau lemah
cuma kita tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Sebagimana ajaran Nabi S.A.W
yang bermaksud;
“Apabila seseorang daripada kamu marah maka
hendaklah dia diam.”
Riwayat Ahmad
#3 – Bertenang Dan Beristigfar
Apabila perasaan marah dirasakan semakin tidak dapat
dikawal, maka sebaik-baiknya kita bawa bertenang. Fikirkan akibat dan kesan
buruk yang bakal berlaku jika kita lepaskan amarah.
Cuba lafaskan zikir dan istigfar berulang-ulang kali
dibibir. Insya Allah dengan cara itu Allah memberikan petunjuk dan menyalurkan
kekuatan agar kita mampu berfikir secara waras dan bertindak dengan betul.
#4 – Mengambil Wudhuk
Rasulullah S.A.W bersabda;
“Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan
itu diciptakan daripada api dan hanyasanya api dapat dipadamkan dengan air.
Jika apabila ada diantara kamu marah maka hendaklah dia berwudhuk.”
Riwayat Abu Dawud.
Cuba praktikkan berwudhuk dalam apa jua keadaan.
Wudhuk bukan sekadar diambil ketika hendak solat sahaja. Jadilah seperti mana
Bilal Bin Rabah yang sentiasa mengekalkan wudhuk dalam kehidupan sehariannya.
Nabi S.A.W pernah bertanya kepada bilal “Apakah
amalan yang sering Engkau lakukan sehingga Aku mendengar tapak kakimu didalam
syurga?” lantas Bilal menjawab, “tiada amalan lain selain setiap kali terbatal
hadas, aku berwudhuk lalu mendirikan solat dua rakaat.”
Riwayat Bukhari Muslim
#5 – Solat Sunat
Biasanya kalau sedang marah, emosi kita sedikit
terganggu. Kita mungkin tidak boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap
sesuatu pekerjaan. Apa kata, mintalah izin daripada bos atau ketua kita untuk
solat sunat sekejap.
Solat sunat walau nampak ringan namun impaknya
sangat hebat. Solatlah dan minta ampun dari Allah atas segala dosa. insyaAllah,
Allah akan melembutkan hati dan menjadikan hati kita lebih kuat dan tenteram.
#6 -Bersangka Baik
Apabila kita marahkan seseorang, cubalah untuk
bersangka baik dengannya. Mengapa perlu bersangka baik? Ingatlah, Rasulullah
S.A.W pernah bersabda;
“Sesungguhnya Allah berfirman: “Aku menurut sangkaan
hamba-Ku kepada-Ku dan Aku bersamanya apabila ia ingat kepada-Ku.”
Riwayat At-Tirmidzi
Sangkaan Allah terhadap kita antara Pencipta dengan
hamba-Nya. Apatah lagi kita manusia sesama manusia.
Ketika marahkan seseorang, jangan sesekali
mengingati tentang keburukan atau kelemahannya malah, ingatlah akan segala
kebaikannya sahaja. Bersangka baiklah, sesungguhnya sangka baik itu menenangkan
hati dan menerangkan jiwa.
#7 – Ingat Allah Sedang Menguji
Allah S.W.T mengingatkan dalam hadis Qudsi:
“Wahai anak adam, jika engkau sabar dan mencari
keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Allah tidak meredhai pahalamu
selain syurga.”
Riwayat Ibnu Majah no.1597)
Ujian Allah itu datang dalam pelbagai bentuk.
Perasaan marah juga merupakan salah satu daripada ujian Allah terhadap kita.
Oleh itu, ketika marah, jangan bertindak terburu-buru. Katakan pada diri;
“Allah sedang menguji diriku!”
Bukanlah Allah datangkan ujian itu sia-sia bahkan
hakikatnya untuk menjadikan kita lebih kuat. Seperti sabda Rasulullah S.A.W;
“Orang yang kuat itu bukan orang yang menang dalam
pergaduhan tetapi orang yang kuat adalah orang yang mampu menahan perasaan
marahnya.”
Riwayat Bukhari Muslim
Antara pesan Rasulullah S.A.W yang paling utama
ialah “Jangan marah”. Lalu mengertilah kita, bahawa menahan atau mengawal emosi
ketika marah sangat penting untuk menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat.
Diceritakan daripada Anas bin Malik R.A bahawasanya
“aku melayani Rasulullah selama 10 tahun. Demi Allah! Baginda sama sekali tidak
pernah mengatakan kepadaku “Ahh!” baginda juga tidak pernah mengatakan kenapa
tidak berbuat begitu dan berbuat begini.”
Riwayat Muslim
Benarlah suri teladan terbaik itu ada pada baginda
Rasulullah S.A.W. Dikatakan walaupun baginda suka atau tidak kepada sesuatu
perkara hanya melalui riak wajahnya sahaja.
Tiada sebarang perkataan yang buruk dihamburkan
daripada mulut baginda. Rasulullah diherdik, dicaci maki oleh puak kafir pun
masih lagi mampu bersabar dan tersenyum. Alangkah baiknya kalau kita sebagai
ummatnya pun kita melakukan perkara yang sama.
ikalan saiz 250

iklan adnow
0 Response to "7 LANGKAH TERBAIK MENGAWAL EMOSI ANDA KETIKA MARAH"
Post a Comment