iklan responsive
Al Quran, secara statistiknya mempunyai 114 surah
dengan keseluruhan 6236 ayat.
Walaupun bilangan yang dinyatakan itu tampak besar,
namun Allah S.W.T telah memudah untuk kita menghafal setiap bait ayat-ayat
kalamullah tersebut. Allah S.W.T berfirman;
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al Quran
untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil
peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
Surah al Qamar:17, 22 ,32 ,40
Allah S.W.T menjaga setiap patah ayat-ayat-Nya dari
diubah, ditukar atau hilang dengan meletakkannya ke dalam hati-hati orang yang
menghafal Al Quran.
Walaupun Allah S.W.T berfirman dengan menyatakan
bahawa Al Quran itu dijadikan mudah, namun ianya tidaklah boleh dilakukan
seperti hanya dengan memetik jari, seluruh isi Al Quran terus tersemat di dada
Sama seperti kegiatan atau aktiviti lain, untuk
mendapatkan hasil, perlu ada usaha ke arah tersebut.
‘Jika tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat
sagunya,’ maka seorang yang mahu menyimpan Al Quran di dalam hati perlu
berusaha ke arah itu.
Menurut kajian saintifik, usia terbaik bagi
seseorang untuk mudah menyerap setiap apa yang dipelajari nya adalah di antara
usia 5-23 tahun.
Pada umur ini, sel-sel otak adalah pada tahap aktif
untuk proses pembelajaran dan tahap ingatan juga adalah pada tahap kemuncak.
Julat usia ini adalah bonus yang perlu dirembat dan
tidak dipersia-siakan kepada mereka yang ingin menghafal Al Quran.
Namun begitu, mereka yang telah melepasi jeda umur
5-23 tahun masih boleh dan mampu untuk menghafal Al Quran.
Jadi bagaimana mahu menghafal dengan mengekalkan
motivasi terutama sekali bagi mereka yang telah berusia, bukan lagi kanak-kanak
atau remaja belasan tahun?
Di sini disertakan 9 tips praktikal dan berkesan
bagi memudahkan perjalanan seseorang yang ingin menjadi “Pembawa Quran” di
dalam hati;
#1 – Niat Yang Ikhlas
Langkah pertama untuk memudahkan perjalanan
seseorang untuk menghafal Al Quran adalah dengan menanam niat yang betul di
dalam hati.
Seseorang perlu ikhlas, mengejar ganjaran dan
melakukannya kerana Allah S.W.T semata-mata.
Bukan lah menghafal Al Quran untuk menunjuk-nunjuk
berbangga diri, mengharapkan kehormatan orang ramai atau ganjaran dunia lain
seperti jawatan Imam Masjid dan sebagainya.
#2 – Perbaiki Sebutan Dan Bacaan Al Quran
Al Quran sebenarnya dihafal secara audio, melalui
lenggok dan intonasi sebutannya, bukanlah secara patah-patah huruf atau
pembacaan.
Disebabkan ini, kanak-kanak kecil yang telah lancar
bercakap mampu untuk menghafal ayat-ayat Al Quran walaupun mereka masih lagi
buta huruf.
Oleh itu, jika kita masih lemah dalam ilmu tajwid
kita masih boleh menghafal Al Quran dengan sebutan huruf yang betul dan tepat.
Caranya ialah dengan memperdengar bacaan Qari yang
mempunyai lenggok bacaan yang hampir sama dengan kita.
Namun, janganlah disebabkan kemudahan seperti ini,
kita mengambil ringan akan pengetahuan ilmu tajwid.
Pengetahuan ilmu tajwid masih penting kerana ia menjelaskan
mengapa dan bagaimana sebutan-sebutan tersebut. dibuat secara terperinci.
#3 – Menghafal Dengan Menggunakan Satu Mushaf Sahaja
Setiap Al Quran (yang berbeza penerbitan) mempunyai
corak permukaan yang berbeza.
Jika kita menghafal dengan menggunakan satu mushaf
sahaja, kita akan fasih dengan tulisan khat pd Al Quran tersebut dan ini mudah
untuk hafalan secara visual.
Jika kita kerap menukar Al Quran semasa proses
penghafalan, minda kita akan mudah terkeliru dan ini menyukarkan proses
penghafalan.
#4 – Pelajari Bahasa Arab Dan Makna Ayat Untuk
Memantapkan Hafalan
Pemahaman setiap bait ayat atau pun pengetahuan
makna walau hanya sepotong perkataan (contohnya: jannah – syurga, jahannam –
neraka) dapat membantu kita dalam proses penghafalan.
#5 – Membuat Strategi Hafalan
Berikut diterangkan secara ringkas strategi untuk
menghafal yang mungkin boleh dicontohi oleh para pembaca:
#1- Tulis Dan Tandakan Pada Mushaf
dengan jelas berapa potong ayat yang ingin dihafal
dalam sehari. Sebagai contoh, jika kita ingin menghafal 3 baris ayat sehari,
mulakan dengan membaca ayat-ayat tersebut terlebih dahulu daripada mushaf (baca
minimum 10 kali).
#2- Menghafaz Secara Berdikit-Dikit
jika kita tidak yakin dengan ayat yang dibaca secara
hafalan (samada betul atau tidak)lihat kembali pada mushaf. Setelah yakin
hafalan ayat tersebut baru ke strategi seterusnya.
#3- Menghafal Tanpa Melihat Mushaf
Jika kita masih tidak pasti sama ada bacaan kita
betul atau salah (terutama dari segi harakat) kita boleh merekod suara kita
semasa menghafal dan kemudian menyemak hafalan dengan mushaf.
Jika didapati hafalan adalah betul dari segi bacaan
dan tajwid. Teruskan lagi.
#4- Menghafal 3 Baris Ayat Tersebut Sambil Melakukan
Pekerjaan Seharian Kita
Ya, kita boleh menghafal sambil memandu, memasak,
ketika menunggu dan sebagainya. Gantikan lagu-lagu di dalam kepala kita dengan
ayat-ayat hafalan.
#5- Esok Hari Tambah 3 Ayat Baru Ke Dalam Strategi
Hafalan Kita
Kaedah sama digunapakai – baca dari mushaf minimum
10 kali, kemudian menghafal secara berdikit di samping dipimpin oleh mushaf,
kemudian menghafal secara tidak melihat kepada mushaf sehingga hafalan adalah
mantap.
Namun, 3 baris ayat baru apabila telah tersemat di
minda ini, kemudiannya diulang hafalan dengan ayat-ayat yang telah dihafal hari
sebelumnya.
#6- Baca Secara Hafazan Keseluruhan Ayat-Ayat Yang
Telah Dihafal
Ketika di penghujung hari, sebelum merehatkan diri
untuk tidur, (maksimum semuka surat) dengan merekodkan bacaan tersebut dan
perdengarkan dengan melihat pada mushaf untuk memerhati hafazan terdapat
sebarang kesilapan atau tidak.
Dalam seminggu ada 7 hari – kita boleh merancang
untuk menghafal ayat-ayat baru selama 5 hari dan 2 hari berikutnya digunakan
untuk mengulangkaji hafalan supaya hafalan semakin mantap.
Ayat-ayat yang telah dihafal, dimasukkan sebagai
bacaan (selepas Al-Fatihah) di dalam solat supaya kita lebih seronok untuk
menghafal (dapat membaca ayat atau surah baru semasa solat) di samping
menambahkan lagi ketajaman ingatan kita terhadap ayat-ayat yang telah dihafal.
Walaupun strategi dan kaedah ini kelihatannya
seperti menghafaz secara sendirian, seseorang masih memerlukan seorang guru untuk
membantu dalam mencapai target hafalan dan menyemak kelancaran hafalan
tersebut.
Carilah seorang guru yang membolehkan kita hormat
dan takut padanya. Beliau akan mendisiplinkan dan memotivasi kita untuk terus
berjaya dalam perjalanan menghafal Al Quran.
#6 – Teruskan Tilawah
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar ra, bahawa
Rasullullah S.A.W bersabda:
Sesungguhnya perumpamaan orang yang menghafal Al
Quran itu seperti unta terikat. Apabila dia menjaganya, maka unta itu akan
tetap ada ditempatnya dan apabila dia melepaskannya maka unta tersebut akan
lari.
Riwayat Al-Bukhari
Jadi, apabila telah memulakan perjalan menghafal Al
Quran, jangan sesekali berhenti atau meninggalkannya.
Teruskan perjalanan dengan terus membaca ayat-ayat
yang telah dihafal atau ayat-ayat baru yang akan dihafal setiap masa dan
ketika.
Namun sekiranya kita berada di dalam keadaaan yang
menyebabkan kita tidak mampu membaca Al Quran, kita masih boleh memilih untuk
mendengar Al Quran.
Membaca dan mendengar Al Quran setiap masa dapat
membiasakan diri kita dengan ayat-ayat Allah S.W.T supaya tidak terlupa atau
terkeliru.
#7 – Adab Berdamping Dengan Al Quran
Al Quran tarafnya bukanlah sama dengan buku-buku
lain yang boleh kita perlakukan dengan sesuka hati. Ia merupakan kalamAllah dan
terdapat adab-adab yang perlu kita patuhi untuk berdamping dengannya.
Seseorang perlu berada dalam keadaan bersih,
mempunyai wuduq, dan seboleh-bolehnya berada pada kedudukan mengadap kiblat
apabila berhubung dengannya.
Antara masa terbaik untuk menghafal Quran pula
adalah pada dini malam, di mana seisi rumah sedang nyenyak tidur dan suasana
adalah aman dan tenang sekali.
#8 – Adab Pada Diri Sendiri Sebagai Bakal “Quran
Bearer”
Sebagai seorang yang bakal “Pembawa Quran” di dalam
diri, seseorang perlu bertaqwa dan menjaga diri (penglihatan, pendengaran,
percakapan) daripada perkara maksiat.
Hati yang diharapkan untuk menampung kitabullah
haruslah suci, bersih dan jauh daripada hal-hal yang mengotorinya.
Perkara-perkara maksiat boleh menjadi titik hitam
pada hati dan ini menyukarkan diri sendiri untuk mengingati ayat-ayat Al Quran
yang suci.
Di samping itu, makan makanan yang halal lagi
berkhasiat (seperti madu, habatussawda, badam) untuk mempertajamkan ingatan.
#9 – Bersandar Hanya Pada Allah S.W.T
Berdoalah dengan yakin dan sabar hanya kepada Allah
S.W.T, kerana setiap kemudahan datang daripada-Nya.
Nikmati setiap bait-bait ayat yang sedang dan telah
dihafal. Perjalanan menghafal Al Quran jika dilakukan kerana Allah S.W.T
semata-mata adalah satu perjalanan yang menyeronokkan dan penuh dengan
pelajaran.
Antara pelajaran yang paling utama semasa proses
penghafalan adalah mempelajari ayat yang dihafal dan mengamalkan dalam kehidupan
seharian sebagai seorang Muslim.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru R.A bahawa
Rasulullah S.A.W bersabda:
Akan diseru kepada Shahib Al Quran : Bacalah dan
naiklah ke tingkat darjat Syurga yang lebih tinggi (hampir dengan para nabi),
bacalah dengan tartil (bertajwid dan yang berkaitan) sebagaimana kamu baca
dengan tartil ketika di dunia. Sesungguhnya martabat dan darjat kamu di syurga
adalah ayat terakhir yang telah kamu baca.
Hadith Riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud
Persoalannya: Berapakah tingkat darjat yang mampu
kita daki pada Hari Kebangkitan kelak? Berapa pula tingkat darjat yang kita
mahu daki sekarang?
*** Artikel ini saya tulis berdasarkan ringkasan
pembacaan buku Sehingga Al Quran Terpahat di Hati tulisan Mohd Solleh Ab Razak
dan buku Cara Mudah dan Cepat Menghafal Al Quran tulisan Dr Yahya n
‘Abdurrazzaq al-Ghautsani. Berkongsi pengalaman sendiri, saya baru sahaja
memulakan perjalanan menghafal Al Quran awal tahun ini tatkala berusia 38
tahun.
Alhamdullillah, bergelumang dengan kesibukan sebagai
seorang emak kepada 4 orang anak, menguruskan perniagaan sendiri secara
kecil-kecilan, di samping menghadiri beberapa kelas agama secara dalam talian,
saya telah berjaya mengkhatam hafalan Juzuk Amma dan kini meneruskan hafalan
kepada surah-surah lain.
Perjalanan saya masih jauh namun saya berharap
perkongsian ini dapat memberi motivasi kepada pembaca di luar sana yang ingin
turut sama menghafal Al Quran. Usia dan kesibukan bukan penghalang. Tekadkan
hati, teruskan usaha, insya Allah, Dia akan membuka jalan dan memberi
kemudahan. ***
KONGSIKAN ARTIKEL INI
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku
walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan
artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah ramai
yang akan mendapat manafaat.
ikalan saiz 250
iklan adnow
0 Response to "9 Tips Mudah Menghafal Al Quran. Amalkan supaya Mudah Menghafal Al- Quran"
Post a Comment