iklan responsive
Setiap dari kita mesti pernah buat dosa dan maksiat.
Buat setakat pernah, bahkan mengulangi lagi dosa-dosa itu. Sebab apa ulang?
Sebab rasa seronok. Tetapi, dalam dunia ini juga, setiap perbuatan dan tindakan
kita, PASTI akan ada kesan. Kesan sama ada baik, atau buruk. Jadi hari ini,
insyaAllah kami akan kongsikan KESAN daripada berbuat maksiat.
Untuk apa?
Supaya kita sama-sama muhasabah, dan berusaha sebaik
mungkin untuk tinggalkan maksiat. Moga Allah pelihara dan bantu kita untuk
tinggalkan maksiat sebelum kita jadi mayat.
1. Membantutkan potensi diri
Baca surat panjang Saidina Umar kepada Saad bin Abi
Waqqash semasa pembukaan kota Parsi.
2. Nafsu tidur akan bertambah
Kata Hassan al Basri,
“Sesungguhnya ketika seorang hamba melakukan dosa,
dia akan terhalang melakukan solat malam dan puasa di siang hari”.
(Al-Maqrizi, Mukhtasar Qiyaam-Allail)
3. Nafsu makan akan semakin liar.
Kata Ar Robi’ (semasa menambah kata-kata Imam
Syafie),
“Kerana yang namanya kenyang membuat badan menjadi
berat, hati menjadi keras, kecerdasan berkurang, lebih banyak tidur dan malas
ibadah.”
(Siyar A’lamin Nubala)
4. Banyak kerja tak menjadi.
Allah berfirman dalam surah Taha ayat 124,
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan
petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami
akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.
5. Allah tarik keberkatan rezeki.
“Seorang hamba dicegah dari rezeki akibat dosa yang
diperbuatnya.”
(Riwayat Imam Ahmad)
6. Hubungan dengan manusia makin rosak
Kata seorang salaf,
“Sesungguhnya aku bermaksiat kepada Allah, maka aku
lihat pengaruhnya pada perilaku binatang (kenderaan) dan isteriku.”
(Al-Jawabul kafi liman sa’ala ‘anid dawa as syafi)
7. Allah tarik nikmat kesihatan tubuh badan
Kata Ibnu Abbas r.anhu,
“Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan
kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan.
Sebaliknya, perbuatan buruk itu mengundang ketidakceriaan pada raut muka,
kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan
kebencian makhluk.”
(Al-Jawabul kafi liman sa’ala ‘anid dawa as syafi)
8. Ilmu susah nak masuk ke dalam hati.
Kata Imam Malik,
“Aku melihat Allah telah menyiratkan dan memberikan
cahaya di hatimu, wahai anakku. Janganlah engkau padamkan cahaya itu dengan
maksiat.”
(Al-Jawabul kafi liman sa’ala ‘anid dawa as syafi)
9. Otak malas berfikir.
Kata seorang ulama salaf,
“Perbuatan dosa dan maksiat mampu merosakkan akal
fikiran manusia kerana dalam akal fikiran ada cahaya, manakala perbuatan
derhaka dapat memadamkan cahaya. Apabila cahaya itu padam, akal fikiran menjadi
lemah..”
(Al-Jawabul kafi liman sa’ala ‘anid dawa as syafi)
10. Allah tarik keberkatan masa
Kata Ibnu Qayyim,
“Sungguh! Maksiat itu adalah sebab hilangnya
keberkatan rezeki dan waktu.”
11. Allah tarik nikmat beribadah
Lihat penerangan nombor 3.
12. Melengah-lengahkan solat terasa normal
Kata Ibnu Qayyim,
“Jika sudah seperti itu, hati kita akan melihat
maksiat begitu indah. Tidak ada keburukan sama sekali”
(Al-Jawabul kafi liman sa’ala ‘anid dawa as syafi)
13. Susah menerima teguran dan nasihat.
Allah berfirman dalam surah al-Muthaffifiin ayat 14,
“Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya)
bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab
(perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”
14. Rasa diri hebat dan paling betul.
Allah berfirman dalam surah as soff ayat 5,
Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata
kepada kaumnya: ” Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu
mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu?” Maka ketika
mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah
selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah
tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik – derhaka.
15. Semua orang dia nak komplen
Allah berfirman dalam surah al maarij ayat 19 -21,
Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah
gelisah (lagi bakhil kedekut);
Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah
gelisah,
Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil
kedekut;
16. Tak suka tengok kelemahan diri
Lihat pada poin 13 dan 14.
17. Suka cari kesalahan orang
Allah berfirman dalam surah yaasin ayat ke 18 dan
19,
Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami
merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak
berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan
merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang
tidak terperi sakitnya”.
Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu
adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi
peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang
kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu
adalah kaum pelampau”.
18. Sebulan tak baca Quran rasa normal
Lihat pada poin nombor 3.
19. Hati tak terasa apa-apa dengan kematian
Kematian itu sepatutnya menghidupkan hati. Tetapi
apabila hati tak terasa apa-apa dengan kematian, itu tanda hati dan mula
“nazak”.
20. Sukar bergaul dengan masyarakat
Lihat pada poin nombor 6
21. Jiwa cepat resah
Rasulullah sallahu alayhi wasallam bersabda,
“Mintalah fatwa pada jiwamu. Mintalah fatwa pada
hatimu (baginda menyatakannya sampai tiga kali). Kebaikan adalah sesuatu yang
menenangkan jiwa dan menenteramkan hati. Sedangkan keburukan (dosa) selalu
menggelisahkan jiwa dan menggoncangkan hati.”
(Riwayat Ahmad dan Ad Darimi)
22. Cepat putus asa
Allah berfirman dalam surah ar-Rum ayat 36 dan 37,
“Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu
rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka
ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka
sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.”
“(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa
mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi
sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau
sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima
dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang
beriman.”
23. Suka lari dari masalah
Lihat pada poin nombor 22
24. Suka mencarut
Rasulullah sallahu alayhi wasallam bersabda,
“Tidak lurus (istiqamah) iman seseorang hamba itu
sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.”
(Hadis riwayat Ahmad)
25. Cepat marah dan melenting
Rasulullah sallahu alayhi wasallam bersabda,
“Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan
itu diciptakan daripada api..”
(Riwayat Abu Daud)
Syaitan itu sifatnya sukakan maksiat. Mana ada
syaitan sukakan pahala dan amal soleh.
26. Subuh gajah terasa normal
Lihat pada poin nombor 12
27. Mengelak dari majlis ilmu
Lihat pada poin nombor 8 dan 9
28. Mengelak dari bersama orang yang soleh
Maksiat biasanya membuatkan kita SENGAJA menjauhkan
diri daripada orang-orang soleh sebab takut daripada ditegur atas maksiat.
29. Memendekkan umur dan keberkatan hidup
Kata Ibnu Qayyim,
“Ketahuilah bahwa maksiat dapat mengurangi umur dan
pasti dapat pula mengurangi keberkatannya, sebagaimana pula amalan kebaikan
dapat menambah umur. Itulah perbuatan dosa dapat mengurangi umur.”
(Al-Jawabul kafi liman sa’ala ‘anid dawa as syafi)
Bahagian ini, ulama’ ada selisih pandangan. Ada yang
kata kurangnya umur ni maksudnya kurangnya/tiada keberkatan hidup. Tiada
keberkatan hidup ni maksudnya hidup jauh dari Allah. Ada juga kata ia memang
hakiki kurang umur. Walaupun Allah dah tetapkan ajal, tetapi Allah juga ada hak
untuk panjangkan umur, dan pendekkan umur. berdasarkan apa yang Dia mahu. Sebab
memang ada hadis tentang panjangkan umur.
Wallahua’lam.
30. Maksiat menumbuhkan maksiat lain
Kata seorang ulama salaf,
“Jika seorang hamba melakukan kebaikan, maka hal
tersebut akan mendorongnya untuk melakukan kebaikan yang lain dan seterusnya.
Dan jika seorang hamba melakukan keburukan, maka dia pun akan cenderung untuk
melakukan keburukan yang lain sehingga keburukan itu menjadi kebiasaan bagi
pelakunya.”
(Al-Jawabul kafi liman sa’ala ‘anid dawa as syafi)
Moga Allah beri kita kekuatan untuk meninggalkan
segala maksiat dan ketagihan maksiat, lalu dengan pantas berlari kepada Allah
untuk bertaubat lagi dan lagi sampailah mati. Huhu.
Wallahua’lam
ikalan saiz 250

iklan adnow
0 Response to "Kesan Maksiat dan Dosa Yang Boleh Kita Lihat Dalam Diri Kita. Renung-renungkanlah"
Post a Comment