iklan responsive
“Ya Allah, cantiknya rumah kau ni macam hotel!”
“Alah, mana ada biasa jer ni.”
Ayat merendah diri walaupun hati dah kembang
setaman. Pujian tetamu yang bertandang memang matlamat utama. Berpuluh buku
dekorasi rumah, beratus ‘page Facebook’ dirujuk.
Semata-mata untuk menghias rumah. Tiada yang salah.
Malah Allah Al Badi yang mencipta segala keindahan, amat menyukai sesuatu yang
indah.
Persoalannya indah di mata manusia atau indah di
mata Sang Pencipta?
Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku adalah konsep
rumah Muslim yang wajar diutamakan. Bagaimana rupa syurga? Syurga dunia atau
syurga akhirat?
Persoalan yang mungkin bermain di minda. Rumah
seorang Muslim pastinya berbeza dengan rumah yang belum Muslim. Contohnya,
untuk penganut Budha, tokong merah kecil dengan limau hadapan rumah telah
menjadi ‘trademark’.
Penganut Hindu pula mempunyai kuil kecil dalam
rumah. Majoriti rumah Muslim atau bangsa Melayu umumnya dikenali dengan papan
tanda “Assalamualaikum” atau “Bismillah” di pintu utama.
Persoalan seterusnya, adakah itu sudah mencukupi
dianggap sebagai rumah Muslim?
Atau ia hanya sebagai kulit luaran sahaja
sebagaimana sebelum ini banyak kedai-kedai mamak yang menggantungkan
kalimah-kalimah Al Quran namun ternyata hanya untuk mengaburi mata. Pemilik
sebenar adalah penganut Hindu.
KPI (Key Performance Indicator) rumah seorang Muslim
adalah rumah dengan ‘roh masjid’
Ya! Jadikan rumah kita umpama masjid. Kerana masjid
itu rumah Allah dan penuh keberkatan. Bercirikan masjid tidak bermakna
rekabentuknya perlu berbentuk seperti masjid. Yang penting adalah pengisian di
dalam rumah.
Berikut 5 kaedah praktikal menjadikan rumah kita
umpama masjid:-
#1 -Lazimi Majlis Ilmu Di Rumah
Kewajiban menuntut ilmu itu adalah secara
berterusan. Ia terpakai kepada semua tanpa mengira umur. Mencintai ilmu harus
bermula di rumah.
Majlis ilmu tidak semestinya diketuai oleh
ustaz/ustazah. Di rumah, ibubapa wajar memainkan peranan.
Majlis Ilmu atas talian (Online)
Di zaman dunia tanpa sempadan, agamawan boleh
dijemput ke rumah melalui alam maya. Kini, hanya di hujung jari untuk mendengar
pelbagai majlis ilmu.
Saluran seperti Zon Kuliah, Audio Kuliah, Al Hujjah
dan Tazkirah.net antara saluran yang boleh dipilih. Secara peribadi, saya akan
memasang kuliah-kuliah agama usai kembali dari solat subuh berjemaah. Ia
dipasang ketika sekeluarga menikmati sarapan.
Jamuan Ringkas
Jadikan rutin sekurang-kurangnya 1 kali setahun,
menjemput jiran tetangga ke rumah untuk jamuan ringkas. Contohnya sambutan hari
lahir ahli keluarga. Namun ia diserikan dengan majlis ilmu bertemakan
kekeluargaan.
Sesi bercerita Kisah Para Anbia dan Para Sahabat
salah satu contoh majlis ilmu. Bagi yang mampu, anjurkan majlis ringkas seperti
Tadabbur Al Quran untuk Juz Amma sebagai permulaan setiap hujung minggu.
Ia umpama melakukan 2 sunnah dalam satu masa.
Menuntut ilmu dan menyambung silaturrahim dengan jiran tetangga.
#2 – Ruang Solat Keluarga Yang Lengkap
Kebiasaannya termasuk rumah saya sendiri, ruang
solat hanya di tepi katil dalam setiap bilik tidur. Maksudnya hanya ruang
‘surplus’ sekiranya ada. Setelah bilik tidur dilengkapi pelbagai kelengkapan.
Maka ruang solat berjemaah menjadi terlalu sempit.
Paling dibimbangkan langsung tiada ruang. Nauzubillah himin zallik.
Kami mohon keampunanMu Ya Allah atas kesombongan
kami yang tidak bertepi. Ketika kami leka menyusun atur setiap ruang rumah.
Ruang solat dikesampingkan. Ruang solat sewajarnya diberi keutamaan.
Tiba-tiba fikiran terbayangkan rumah Kekasih Allah
yang sempit sehingga Nabi S.A.W terpaksa mengalih kaki Siti Aisyah bagi
menunaikan solat. Rumah kecil penuh baraqah ini kini menjadi Masjid yang
dirindui. Masjid Nabawi. Itulah Baiti Jannati yang sebenar.
Rumah kami besar Ya Allah, tapi hakikatnya kosong.
Ruang solat sewajarnya satu ruang luas yang memuatkan seluruh ahli keluarga
untuk berjemaah.
Sebagaimana ruang makan untuk semua makan bersama.
Orang belum Muslim berpegang kepada prinsip ‘Family that eats together, stays
together.’
Keluarga Muslim sewajarnya memegang prinsip;
“Family that PRAYS TOGETHER, stay TOGETHER TILL
JANNAH.”
Kelengkapan ruang solat dalam rumah harus lengkap
sebagaimana kita melengkapi dapur dan bilik tidur kita. Jadikan ia ruang
keluarga bersantai bersama kerana solat itu satu kerehatan.
#1- Wujudkan sudut perpustakaan mini dan sudut
tilawah Al Quran;
#2- Hiasi dindingnya dengan kata-kata hikmah atau
doa harian;
#3- Pasangkan bacaan ayat-ayat suci Al Quran dan
zikir- secara tidak langsung kita dapat menghafal; dan
#4- Letakkan Set Lengkap Pengurusan Jenazah untuk
lelaki dan perempuan. Jika berminat, boleh dapatkan di Shoppe berharga
RM199/set. Ia sebagai peringatan harian bahawa mati itu dekat.
Semoga Allah permudahkan niat kita untuk
merealisasikan impian ini. Ianya tidak mustahil. Segalanya bermula dengan niat
dan impian menjemput Malaikat Rahmat ke rumah.
#3 – Tetapkan Waktu Bacaan Al Quran Berjemaah
Wajibkan untuk ahli keluarga kita untuk sesi bacaan
Al Quran berjemaah. Sekurang-kurangnya 1 kali seminggu. Ini bukan bermakna hari
lain tidak perlu membaca Al Quran.
Setiap hari setkan sasaran untuk baca minimum 1 muka
surat.Waktu bacaan Al Quran sekeluarga ini boleh ditetapkan antara waktu
Maghrib dan Isyak.
Waktu yang sering banyak godaan di TV. Penuh drama
fantasi hingga lalai realiti. Mungkin pada hari Jumaat malam Sabtu. Isikan
waktu singkat itu dengan bermanfaat.
Bagi yang telah lancar membaca, buat sesi Taddabur
Al Quran. Gunakan Al Quran Per Kata. Agar mudah menghafal makna setiap
perkataan walaupun tanpa asas Bahasa Arab.
Kini terdapat Teknik Faham Bahasa Al Quran Tanpa
Asas Bahasa Arab yang diasaskan oleh Dr Nadiyah Elias, Pensyarah UUM serta
Pengasas Yayasan Nusrah di Jitra, Kedah. Untuk yang berminat ‘Personal
Coaching’ boleh berhubung dengan saya melalui emel mindaitqan@gmail.com.
#4 – Sesi Pembacaan 1 Hari 1 Hadis
Jadikan pembacaan hadis satu rutin harian. Pastikan
hadis yang dipilih hadis sahih dan bukan palsu. Hadis popular tidak semestinya
sahih. Pastikan sumbernya boleh dipercayai. Lazimnya saya dapatkan melalui:
#1- E-Hadis dalam laman sesawang JAKIM
#2- Telegram IKRAM Johor
(telegram.me/hadisharian_ikram)
#3- Kitab Riyadhus Solihin, Karya Imam Nawawi (Edisi
Terjemahan);
#4- Buku Hadis 40 Imam Nawawi oleh Ustaz Zahazan
Mohamed dan Haji Muhammad Zakaria; dan
#5- Buku 70 hadis Mudah Hafal Mudah Amal keluaran
PTS Publication
Nasihat ustaz semasa Tazkirah Subuh, utamakan hadis
berkenaan kelebihan sesuatu amalan. Untuk inpirasi segera beramal soleh.
Fastabiqul Khairat.
Sesi membaca hadis ini sangat singkat, paling lama
30 minit. Kebiasaannya saya buat sewaktu menunggu waktu zohor dengan anak. Atau
sebelum Qaillullah (tidur sebentar sebelum zohor).
#5 – Tetapkan Waktu Solat Berjemaah Di Rumah
Keutamaan berjemaah untuk lelaki adalah di masjid.
Untuk solat fardhu. Bagi solat sunat seperti Solat Dhuha dan Solat Sunat Taubat
boleh dilakukan berjemaah di rumah.
Mungkin waktu Dhuha majoriti bekerja. Maka tetapkan
solat dhuha berjemaah di hujung minggu. Umpama kita beriadah di taman di hujung
minggu. Sebelum beriadah, tunaikan dulu solat dhuha berjemaah.
Para ibu yang menjadi pengurus rumahtangga sepenuh
masa boleh memperuntukkan solat fardhu berjemaah dengan anak-anak. Terutamanya
waktu zohor dan asar.
Waktu di mana si ayah lazimnya di pejabat. Jadikan
waktu ini ‘bonding time’ dengan anak-anak. Jika ada anak yang telah baligh,
latih menjadi imam. Kerana semuanya bermula di rumah.
Setiap kita adalah “imam” kepada diri sendiri. Saat
ini juga waktu untuk si ibu semak bacaan solat anak-anak. Mulakan sedari
anak-anak masih kecil. Jiwa mereka tika ini masih sesuci kain putih.
“Jangan jadikan rumah kita umpama tanah kubur.”
Alhamdullilah, semoga dengan perkongsian kali ini
memberi peringatan kepada diri saya dan memberi manfaat kepada semua.
Segala yang baik datang dari Allah, dan yang buruk
atas kelemahan diri saya sendiri.
KONGSIKAN ARTIKEL INI
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku
walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan
artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah ramai
yang akan mendapat manafaat.
ikalan saiz 250

iklan adnow
0 Response to "5 Tips Menjadikan Rumah Anda Umpama Masjid"
Post a Comment