iklan responsive
Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan
mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat
beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan
tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh
mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan
enam perkara, iaitu :-
1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara
langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih,
kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami
atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat
komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka
mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan
sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.
Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di
dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan
perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung.
Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula
untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu
hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong
dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka
tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka
secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan
sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya
dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti
seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu,
bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara
tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz,
Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.
Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan
suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook.
Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung
mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca’ dan mengetahui
secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin’ dengan pasangannya.
Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya,
bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga
adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password
facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar
kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam
(delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal
yang wajar.
2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai
facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan
dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang
memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi
kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi
dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah
bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan
gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin.
Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan
pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran’ nafsu.
Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya
mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan
sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami)
tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar,
si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas
tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika
kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam
kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri
zina’.
Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus
dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna)
ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .
3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend
dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki
berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend’ seseorang wanita. Akibatnya, si
lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut.
Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi
wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah
tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki
ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan
berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.
Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana
merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya
kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya
membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut
masih terhad dan terjaga.
4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita
yang terlalu ‘bersepah’ difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun
gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah,
mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa’ yang menurut pandangan
ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih
berwaspada lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah
menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan …’DOSA’. Simpan
sahajalah gambar-gambar ‘kiut’ (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami.
Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak
perlulah tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari
di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke’kiut’an
anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain,
kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda
dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.
5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang
membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar
merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk
diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa
yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis
lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi
tulisan mereka.
Ini adalah kerana, terdapat ‘trend’ menyebarkan
gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam
gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di’tag’, akan muncul dan boleh
dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh
menontonnya.
Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit
mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru
penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.
b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama
keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam
rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid’, tetapi akibat ketidakperihatinan
sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian
tersebar. Sepatutnya, kita yang di’tanda’ boleh dengan segera delete ‘tag’ itu,
hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang
pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan
berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka
boleh ‘untagged’ nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun,
penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang
disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin
ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik
dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia
kini merupakan ‘seseorang’ yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata
masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya.
Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai,
sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan
gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu
sebelum siaran dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan
cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman
universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan
perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas
menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis,
adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam.
Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya
yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh
rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk
dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah
kata-kata, ‘zaman aku ekstrem’, ‘zaman solehah’, ‘waktu innocent’, zaman-zaman
suci’, ‘itu zaman kuno dulu’, ‘itu masa duduk bawah tempurung’ dan lain-lain
frasa yang sepertinya.
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya
sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak
lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah
mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu
istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya.
Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah
mendahulukan yang kurang baik.
KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala,
jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu
dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama,
sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra,
gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang
bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan
rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama ‘ukhuwah’ untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa
kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran.
Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah
di kalangan mukmin.
ikalan saiz 250

iklan adnow
0 Response to "Dosa Yang Kita Sering Lakukan Di Media Sosial Tanpa Sedar"
Post a Comment