iklan responsive
SOALAN:
Assalamualaikum ustaz.
Sy ada satu soalan nk tnya ustaz. Ada seorang hamba
Allah dtg bertanya kepada sy.
Ceritanya secara ringkas begini. Si isteri pulang ke
kampung dgn membawa anaknya sekali. Dan semasa di airport, isteri ada bertanya
kepada suami kenapa mesti memakai pakaian cantik2 sedangkan hnya ke airport.
Dan si suami membalas dgn berkata. “Nk keluar lah sekejap lagi, kan bujang hari
ni”. Tp hakikatnya hanyalah dgn niat gurauan tnpa ada maksud begitu.
Adakah kata2 nya itu sebenarnya telah terjatuh talak
kepada isteri dia?
Kerana ada kawan isterinya memberitahu walaupun dgn
gurauan, hakikatnya telah jatuh talak.
Boleh tuan mufti jelaskan. Sgt berharap tuan mufti
boleh mmberi penjelasan tentang perkara ini.
JAWAPAN:
Waalaikumusslam wbt,
Satu rukun daripada rukun-rukun talak ialah sighah,
yakni bentuk ucapan talak itu. Jika tiada sighah talak maka tidak jatuhlah
suatu talak. Sighah itu terbahagi kepada dua:
Pertama: Sighah Sarih
Sighah sarih bermaksud bentuk ucapan talak yang
jelas dan tidak menanggung maksud lain selain talak. Ini seperti perkataan
talak, cerai, berpisah. Kalimah-kaimah ini jika disebut tidak memerlukan kepada
niat untuk menjatuhkan talaq. Sekalipun jika seseorang menafikan selepas itu:
“Aku tidak berniat talak.” Maka tetap tidak diterima penafian itu.
Kedua: Sighah Kinayah
Kinayah bermaksud kiasan. Kalimah kiasan memiliki
banyak maksud dalam suatu masa. Justeru, ia memerlukan niat cerai sewaktu
dilafazkan perkataan kinayah itu. Jika tidak wujud niat talak sepanjang lafaz
kinayah itu disebutkan, maka tidak jatuh talak. Contohnya seperti si suami
berkata kepada isterinya: “engkau telah kosong,” “engkau bebas,” “baliklah ke
rumah ibu bapamu,” dan “engkau telah halal.”
Dalam kes diatas, mengaku bujang kami berpendapat
tidak termasuk dalam lafaz talak. Dan jika dimasukkan sekalipun termasuk dalam
lafaz kinayah yang sangat lemah. Ini kerana perkataan bujang membawa banyak
maksudnya:
• Boleh jadi maksudnya ialah bujang tiga bererti
lelaki yang sudah berkahwin satu boleh berkahwin lagi tiga.
• Boleh jadi juga membawa maksud dia ingin
menceraikan isterinya.
• Boleh jadi juga bermaksud dia menipu menyatakan
dia tidak pernah berkahwin, kerana mengaku bujang tidak sama jika mengaku duda.
• Mungkin juga maksudnya ialah dia berasa seperti
seorang bujang yang memiliki masa lebih lapang untuk urusan peribadi.
Begitulah seterusnya.
Justeru kami berpendapat tidak jatuh talak jika
seorang lelaki mengaku bujang kerana perkataan itu tidak termasuk dalam lafaz
sarih atau kinayah bagi talak. Jika termasuk sekalipun ia termasuk dalam makna
yang paling ganjil dan lemah kerana bujang bermaksud tidak pernah berkahwin dan
berbeza dengan duda. Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan orang
ramai agar sentiasa berhati-hati dalam memilih ucapan supaya selamat daripaad
sebarang kekeliruan.
Berikut adalah penjelasan hukum yang diberikan dan
telah diperakui oleh S.S. Mufti Dr. Juanda bin Jaya.
Soalan:
Saya muskil tentang hukum mengaku bujang atau duda
sedangkan sudah ada isteri
Jawapan:
Jika berbohong, maka ia termasuk salah satu dari
dosa-dosa besar.
Di bawah ini penjelasan ringkas berkenaan
permasalahan yang ada kaitan dengan soalan saudara.
Para ulama ada membicarakan hukum seorang yang telah
berkahwin, lalu ditanya kepadanya: “Kamu ada isteri?” lalu dia menjawab:
“Tidak.” Dengan niat berbohong, maka dia berdosa kerana berbohong namun tiada
apa-apa kesan terhadap hubungan dia dengan isterinya. Hal ini kerana lafaz
“Tidak” adalah termasuk dalam lafaz kinayah yang memerlukan niat, sedangkan
niatnya adalah berbohong bukan talak. Sama halnya jika dia berkata: “Saya tiada
isteri” termasuk di dalam lafaz kinayah.
Selebih itu, para ulama berbeza pandangan tentang
orang yang berbohong mengaku dengan lafaz yang jelas telah bercerai atau telah
mentalakkan isterinya. Sebahagian ulama berpandangan talak atau cerai itu
terlaksana secara Diyanatan[1] danQadha’an[2]. Pandangan ini seperti yang
disebut oleh Ibn Muflih dari mazhab Hambali di dalam al-Furu’ yang berkata:
“Jika seseorang ditanya: “Kamu telah mentalakkan
isterimu?” lalu dia menjawab: “Ya!”Atau dia ditanya: “Kamu ada isteri?” Lalu
dia menjawab: “Aku telah talakkan dia.”Sedangkan dia berbohong, maka talak itu
terlaksana.”
Manakala para ulama mazhab Hanafi, Syafie dan
selainnya berpandangan sesiapa yang mengaku bercerai secara dusta, maka cerai
itu terlaksana secara Qadha’antidak secara Diyanatan. Di dalam al-Bahr al-Ra’iq
dari mazhab Hanafi dinyatakan:
“Sekiranya dia mengaku talak secara berbohong, maka
terlaksana talak itu dari sudut Qadha’an (zahir/penghakiman).”
Di dalam Asna al-Matolib Syarh Raudh al-Tolib dari
ulama mazhab al-Syafie dinyatakan pula:
“Sekiranya dia mengaku talak secara dusta, tidak
tertalak isterinya batinan (Diyanatan), hanya berlaku talak zahiran
(Qadha’an).”
Pandangan pilihan:
Pandangan yang menjadi pilihan ialah pandangan ulama
mazhab al-Syafie dan Hanafi. Hal ini kerana sesuatu pengakuan mengandungi
kebarangkalian sama ada benar atau dusta. Maka orang yang membuat pengakuan
dusta dikenakan tindakan berdasarkan zahirnya di mahkamah. Manakala yang
didustakan itu tidak berlaku pengakuan tersebut di sisi Allah. Justeru talak
itu tidak terlaksana. Inilah pandangan yang lebih rajih.
Wallahu a’lam.
[1] Diyanatan (ديانة): iaitulah talak yang
benar-benar jatuh di sisi Allah SWT. Sekalipun dari sudut perundangan tidak
thabit talak tersebut disebabkan ketiadaan bukti yang jelas. Sebagai contoh
seorang isteri benar-benar yakin suaminya telah mentalakkannya sebanyak tiga
kali, maka dari sudut diyanatan isteri tersebut adalah haram buat suaminya
sehinggalah suaminya berkahwin dengan wanita lain terlebih dahulu. Maka
siisteri tadi wajib menjauhi suaminya dan tidak membiarkan berlaku hubungan
suami-isteri antara mereka, sekalipun dia tidak mampu menthabitkan perceraian
tersebut di hadapan hakim, sekalipun suaminya mengingkari dan mendatangkan
bukti palsu.
[2] Qadha’an (قضاء): iaitulah talak yang dihukumkan
jatuh oleh hakim atau Qadhi berdasarkan zahir disebabkan ketiadaan bukti
menunjukkan tidak ada niat atau seperti seseorang yang melafazkan talak kerana
terlajak cakap.
ikalan saiz 250
iklan adnow
0 Response to "Suami Mengaku Bujang/ Duda Walaupun Bergurau, Apa Hukumnya? MESTI Baca!"
Post a Comment