iklan responsive
Soalan:
Salam Ustaz, mohon jawab persoalan ini.
Seseorang yang berhutang tanpa diketahui oleh
warisnya, jika meninggal, tiada siapa yg melunaskan hutang tersebut bagi pihak
dirinya, jadi bagaimana dosa hutang yang ditanggung tersebut, adakah
diselesaikan di akhirat nanti dgn cara membayar pahala amalan kepada si
penghutang
Semasa hidup, kalau kita merasakan kita ada hutang
dgn seseorang pada masa lampau tetapi kita telah lupa siapa orang yang menjadi
tempat kita berhutang itu atau org tersebut tidak diketahui di mana berada atau
tidak diketahui berapa jumlahnya, adakah boleh kita melangsaikan hutang yang
sudah dilupai itu dgn cara mengeluarkan sejumlah wang dan disedekahkan
(umpamanya utk pembinaan masjid) sbg pelunasan semua hutang yg tidak diingat
itu dan wang itu diniatkan sbg sedekah mewakili org yg memberi hutang atau bagi
pihak org yg memberi hutang. Adakah hutang tersebut terlunas dengan cara itu.
Mohon diperjelaskan. Terima kasih.
Jawapan:
Terdapat hadis menegaskan:
مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى
اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ
“Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan
untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya
dengan keinginan untuk memusnahkannya (yakni tiada keinginan untuk
membayarnya), Allah akan memusnahkannya” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah
RA. Soheh al-Bukhari, Kitab al-Istiqradh…, hadis no. 2387).
Menurut penjelasan ulamak; maksud “mengambil harta
orang lain’ merangkumi mengambilnya sebagai hutang, mengambilnya untuk menyimpanya
(wadi’ah), melalui melalui satu bentuk mu’amalah atau lain-lainnya. Ia tidak
terikat dengan mengambil secara zalim sahaja. Maksud; “dengan keinginan untuk
membayarnya” ialah; berniat untuk membayarnya ketika di dunia.
Maksud “Allah akan membayar bagi pihaknya” ialah;
Allah akan membantunya untuk membayarnya atau Allah akan melapangkan rezkinya
sehingga ia dapat membayar hak orang lain sebelum kematiannya. Atau boleh juga
difahami dengan maksud doa dari Nabi SAW, iaitu; “Semoga Allah akan membayar
bagi pihaknya”. Menurut Imam al-Munawi; makna zahir hadis ini menunjukkan
bahawa sesiapa berniat untuk menunaikan/membayar (hutang kepada orang lain yang
tertanggung atas bahunya), kemudian ia mati sebelum sempat membayarnya kerana
kesusahannya atau kerana matinya secara tiba-tiba, Allah tidak akan mengambil
dari kebaikan-kebaikannya di akhirat (untuk dibayar kepada pemilik hutang
tadi), akan tetapi Allah akan menjadikan pemilik hutang redha kepadanya (dan
tidak menuntut haknya)” (Faidhul-Qadier, hadis no. 8351).
Maksud “mengambil dengan keinginan untuk
memusnahkannya” ialah mengambil hak orang lain tanpa berniat membayarnya.
Maksud “Allah akan memusnahkan hartanya” ialah; Allah akan memusnahkan hartanya
di dunia dengan mentakdirkan banyak berlaku dugaan kepadanya, kerugian demi
kerugian, musibah dan terhapusnya barakah, dan di akhirat pula Allah akan
menghukumnya kerana hak orang lain tersebut.
Abu Hurairah RA menceritakan; Suatu hari Nabi SAW
pernah bertanya sahabat-sahabatnya; ‘Tahukah kamu siapa orang muflis?’. Mereka
menjawab; ‘Orang muflis mengikut kefahaman kami ialah seorang yang tidak
memiliki wang (untuk membayar hutangnya) dan tidak pula memiliki barang (untuk
digadai bagi membayar hutangnya)’. Lalu Nabi bersabda; “Seorang muflis dari
kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan solat, puasa
dan zakat, namun (pada masa yang sama) ia juga membawa dosa mencela orang ini,
menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah oang itu dan
memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian
dari pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian
pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar
dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan
ditapukkan ke atasnya hingga akhirnya ia dihumban ke dalam neraka (kerana
banyak dosa)” (HR Imam Muslim. Soheh Muslim, kitab al-Birri wa as-Shilah wa
al-Adab, hadis no. 2581).
Untuk soalan kedua; hendaklah berusaha mengingati
siapa pemilik hutang tersebut,kemudian mencarinya dan menyerahkan kembali
wangnya. Jika ia sudah meninggal hendaklah diserahkan kepada waris-warisnya.
Jika masih tidak berupaya mengingati siapa pemilik hutang itu atau ia tidak
dijumpai setelah puas mencarinya dan begitu juga waris-warisnya juga tidak
dijumpai, hendaklah duit hutang itu disedekahkan kepada fakir miskin atau
kepada mashalah-maslahah am agama dan kaum muslimin (pembinaan masjid, imarah
masjid, pengajian Islam, program dakwah dan seumpamanya) dan diniatkan sedekah
itu untuk pemilik hutang tersebut. Namun jika setelah disedekahkan hutang
tersebut, tiba-tiba muncul pemiliknya, wajib dibayar hutangnya dan pahala
sedekah tadi berpindah menjadi milik orang yang memberinya.
Rujukan:
Faidhul-Qadier (Syarah al-Jami’ as-Saghier), Imam
al-Munawi, hadis no. 8351.
Minhatul-Bari Fi Khidmati Soheh al-Bukhari (Syeikh
Mustafa al-Bugha), hadis no. 2275.
Subulus-Salam (Syarah Bulughul-Maram), kitab
al-Buyu’ Abwab; as-Salam wa al-Qardh wa ar-Rahn, no. hadis 876.
Fatwa Muhammad Sole
h al-Munajjid (http://www.islamqa.com), no. 132202.
Sumber: http://www.ilmudanulamak.blogspot.my/
ikalan saiz 250

iklan adnow
0 Response to "Bagaimana Jika Kita Mati Tanpa Kita Sempat Membayar Hutang.??"
Post a Comment